My Status Now

offline
pliz komen ;D





Friday, April 30, 2010

Endless Love 24


JI HOON bangun daripada kerusinya secara mendadak. Khabar yang diterima boleh membuatkan denyutan jantungnya terhenti begitu saja. Dia menelan liur. Wajah Da Wei dipandang cemas.

         “ Tapi… aku tak buat semua tu! Kau sendiri tahu yang aku tak akan buat perkara-perkara kotor macam tu!” katanya lantang. Kuat tapi berunsur cemas.

         “ Tenanglah. Aku percayakan kau. Duduk dulu,” kata Da Wei.

         Ji Hoon kembali duduk. Dia meraup wajah berulang kali. Dia bersandar pada kerusi. Lemah saja rasa badannya saat ini.

         “ Macam mana aku boleh dituduh?”

         Perlahan saja nada yang dilontar keluar. Dia masih terkejut dengan apa yang berlaku. Da Wei mengeluh.

         “ Alasannya, kau yang bertanggungjawab dalam pengurusan resort ni. kau sendiri tahu, setiap hari nilai dalam akaun semakin menurun. Semua fail sulit hanya dipegang oleh kau. Pihak lembaga pengarah mula tidak senang duduk, mereka bimbang saham kumpulan syarikat kita akan menurun jika perkara ini diketahui. Mereka juga risau jika para pelabur akan menarik diri,” jelas Da Wei.

         Ji Hoon mengangguk. Ketika Da Wei memberitahunya bahawa dia merupakan suspek utama dalam kes ini, terasa dunianya gelap serta merta. Sepanjang tempoh dia bekerja dalam syarikat ibunya, rekod kerjanya bersih. Sekali dituduh dengan kes berat seperti ini, benar-benar boleh mencabar kewibawaan dirinya.

         “ Mak aku cakap apa?”

         “ Mak cik tengah usahakan untuk tolong kau. Ahli lembaga pengarah lain bersetuju kau dikenakan tindakan walaupun kau merupakan waris sah syarikat. Kau kan tahu, kau boleh disumbat ke dalam penjara jika sabit kesalahan,” kata Da Wei lagi.

         “ Aku tahu.”

         Da Wei mengeluh. Dia kasihankan sepupunya itu. Dia kenal siapa Ji Hoon. Lelaki itu mempunyai keperibadian yang baik malah sering menjadi contoh dalam segala hal. Daripada kecil sehingga dewasa, kelakuan baik Ji Hoon tidak pernah pudar. Mustahil untuk Ji Hoon menggelapkan wang syarikat sedangkan harta lelaki itu sudah menggunung. Itu belum lagi jika dicampur dengan harta warisan nanti.

         “ Aku rasa lebih baik kau balik rehat kat rumah hari ni. Urusan lain, biar aku yang uruskan. Pergilah, waktu-waktu macam ni kau perlukan rehat,” kata Da Wei lagi. Ji Hoon mengangguk lemah. Benar apa yang dikatakan oleh Da Wei. Dia tidak dapat menumpukan pada soal kerja jika situasi sebegini berlaku. Emosinya akan terjejas.

         “ Aku pulang dululah. Terima kasih sebab membantu.”

         Kot yang tersangkut pada kerusi diambil. Da Wei turut bangun dan keluar dari pejabat itu. Mereka beriringan keluar dari pejabat. Sebaik sahaja pintu dibuka, Ji Hoon terkejut kerana melihat Hyun Min sedang berdiri di hadapan muka pintu. Riak lelaki itu tenang sahaja.

         “ Boleh kita bercakap? Berdua?” tanya Hyun Min.

         Ji Hoon senyap seketika sementara Da Wei hanya membantu. Perlahan-lahan dia mengangguk. Ji Hoon mengukir senyum nipis.

         “ Baiklah.”

         Bahu Da Wei ditepuk perlahan sebelum dia berjalan mengekori Hyun Min. Sama seperti pertemuan mereka dahulu, Hyun Min membawanya ke kafe. Suasana di kafe lengang sahaja. Mereka berdua mengambil tempat di suatu sudut yang agak tersorok. Mencari privasi.

         “ Aku ada dengar pasal tuduhan tu. Betul ke?” tanya Hyun Min memulakan bicara. Ji Hoon mengangguk. Dia mengeluh.

         “ Maaf. Aku rasa perkara ini boleh menjejaskan produktiviti kedua-dua syarikat,” kata Ji Hoon. Hyun Min menggeleng. Seorang pelayan mendekati mereka berdua. Hyun Min memesan minuman manakala Ji Hoon tidak mahukan apa-apa. Tekaknya tidak boleh terima apa-apa dalam keadaan tertekan sebegini.

         “ Aku tak rasa kau yang lakukan,” kata Hyun Min.

         Ji Hoon mendongak. Wajah Hyun Min dipandang. Mencari kebenaran dalam setiap patah kata-katanya.

         “ Walaupun kita baru saja berkenalan, tapi aku yakin semua ni hanyalah tindakan daripada orang lain. Mungkin orang tu tak sukakan kau,” kata Hyun Min.

         Suasana sepi seketika. Ji Hoon resah untuk berkata-kata. Dia melontar padangan ke luar tingkap. Pelayan tadi kembali. Secawan kopi panas dihidang di hadapan Hyun Min. Setelah mengucapkan terima kasih, pelayan itu berlalu. Kesepian masih menyelubungi.

         “ Kau jangan bimbang, aku tak salahkan awak. Perkara ni masih lagi disiasat,” ujar Hyun Min sebelum meminum kopi. Ji Hoon mengangguk.

         “ Aku hargai kepercayaan kau,” kata Ji Hoon. Rasanya, itu sahaja yang mampu diungkap sekarang. Matanya kembali melihat pada Hyun Min.

         Hyun Min ketawa kecil. Dia mengacau kopi menggunakan sudu kecil. Matanya lekat pada warna hitam kopi itu. Dia tersenyum.

         “ Chae Rin dah ada di pulau ni.”

         Perlahan saja nada yang dituturkan namun itu sudah cukup untuk didengari Ji Hoon. Ji Hoon terkedu. Chae Rin ada di sini?

         “ Dia ada kat sini?” tanya Ji Hoon pula. Dahinya berkerut. Macam mana pula gadis itu boleh berada di sini?

         Hyun Min mengangguk. “ Dia berjaya pujuk bapanya untuk buka sebuah restoran di sini. Dia sendiri yang akan mengurus restoran tu. Setakat ni, restoran tu masih belum beroperasi tapi dia akan sampai ke sini petang hari ni.”

         “ Hyun Min, aku…”

         “ Tujuannya untuk mendekati kau. Itulah apa yang diberitahu pada aku,” kata Hyun Min perlahan. Sayu mula terasa.

         “ Aku tak cintakan dia, kau sendiri tahu perkara tu,” tegas Ji Hoon. Dia tidak mahu persahabatan yang baru saja terjalin antara dia dan Hyun Min musnah begitu saja hanya kerana seorang wanita.

         “ Aku tahu kau tak cintakan dia. Aku masih berusaha nak pikat dia kembali,” jelas Hyun Min. Ji Hoon menyandar pada kerusi.

         “ Pasal Chae Rin, aku dah lama kenal dia. Sejak kecil lagi kami berkawan. Dia seorang gadis yang keras kepala. Mungkin sukar bagi kau untuk pikat hati dia,” kata Ji Hoon berterus-terang. Perlahan namun kedengaran tegas. Hyun Min mengangguk.

         “ Aku cintakan dia. Selama ni, aku tak pernah rasa macam ni. Dah banyak aku bertukar teman wanita, tapi bila timbul soal Chae Rin, aku akan terlupa pada teman wanita aku,” kata Hyun Min. Jauh di sudut hatinya, dia malu kerana mengaku perkara sedemikian pada Ji Hoon. Ji Hoon bukannya kaki perempuan sebagaimana dia.

         “ Kau pikatlah dia secara perlahan-lahan. Aku yakin dia akan kembali pada kau,” kata Ji Hoon.

         Hyun Min mengangguk.

         Ji Hoon bangun daripada duduknya. “ Aku pulang dulu. Masa sekarang, aku tak boleh nak tumpukan pada resort. Aku hanya fikirkan pasal hal tu je.”

         “ Kau jangan risau. Kalau ada apa-apa, aku boleh rujuk pada Da Wei,” kata Hyun Min.

         Ji Hoon mengangguk sekilas sebelum berjalan keluar dari kafe. Pintu Nissan Skyline GTR dibuka. Dia memandu terus ke jalan menuju ke rumahnya. Fikirannya benar-benar kusut saat ini. Apabila memikirkan tuduhan yang dihadapi, membuatkan dia merasa kerdil. Bukannya kecil tuduhan yang dikenakan terhadap dia, tetapi besar. Silap hari bulan, meringkuk di penjara jawabnya kalau dia gagal membuktikan bahawa dia tidak bersalah.

         Ji Hoon mengeluh lagi. Dia sering bertanya sendirian, kenapa perkara seperti ini boleh menimpa dirinya? Dia menggeleng perlahan. Mata ditumpu pada jalan raya.


EUN HEE menjenguk ke luar. Bunyi kereta memasuki garaj menarik perhatiannya. Dia yang sedang memotong sayur menghentikan kerja. Setelah membasuh tangan, dia berlalu ke ruang tamu. Dahi mula berkerut apabila melihat Ji Hoon keluar daripada kereta,

         Dia melihat pula pada jam di ruang tamu. Baru saja menunjukkan pukul 11.15 pagi. Jika Ji Hoon mahu pulang untuk makan tengah hari sekalipun, biasanya lelaki itu akan muncul pada pukul 12 tengah hari. Jarang benar dia pulang seawal ini.

         Ji Hoon mengukir senyum nipis sebaik saja melihat wajah Eun Hee. Eun Hee berjalan perlahan mendekati suaminya. Lelaki itu nampak tertekan saja. Barangkali ada masalah di pejabat.

         “ Abang kerja separuh hari je. Rasa tak sihat,” kata Ji Hoon sebelum menarik Eun Hee masuk bersamanya ke dalam rumah. Eun Hee mengangguk perlahan.

         Seperti biasa, Ji Hoon melabuhkan duduk di sofa. Butang baju dibuka. Dibiarkan saja sejuk udara menyapa tubuhnya. Kepanasan terasa sejak tadi lagi. Matanya dipejamkan. Eun Hee menggeleng perlahan. Entah apa lagi yang berlaku.

         “ Abang tak apa-apalah. Cuma pening sikit je,” kata Ji Hoon tanpa membuka mata. Eun Hee meletakkan belakang tangannya pada dahi Ji Hoon. Ji Hoon tersentak dengan perlakuan gadis itu. Dia membuka mata. Ada kerisauan pada sepasang mata itu.

         Eun Hee masuk semula ke dapur. Tertanya-tanya juga Ji Hoon, apa yang ingin dilakukan oleh Eun Hee. Eun Hee kembali semula dengan sebekas kecil air suam dan sehelai tuala kecil. Ji Hoon diarahkan untuk baring. Tanpa berkata apa-apa, Ji Hoon menurut saja.

         Perlahan saja tingkah Eun Hee ketika mengelap rambutnya. Bau lemon mula menusuk hidung. Eun Hee mencampurkan sedikit perahan lemon dalam air itu. Menurut orang, campuran itu boleh melegakan pening kepala. Ji Hoon juga sudah mula demam. Panas terasa semasa dia meletakkan belakang tapak tangan pada dahi lelaki itu tadi.

         Ji Hoon kekal diam. Dia memejamkan mata kembali. Eun Hee mula memicit dahinya pula. Lebih baik dia melupakan masalahnya sekarang. Bagaikan bayi saja dia dilayan oleh Eun Hee. Sebelum dia terlelap, Eun Hee naik ke tingkat atas dan muncul kembali dengan sehelai selimut. Berhati-hati selimut itu dihampar menutupi tubuh suaminya, Ji Hoon mula lena.

         Melihat pada wajah damai suaminya, Eun Hee menarik nafas lega. Dia perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan Ji Hoon kebelakangan ini. Ji Hoon lebih kerap termenung dan mengeluh. Namun, lelaki itu tidak memberitahu masalah yang dihadapi. Jika dia mendekati suaminya, Ji Hoon akan lekas-lekas tersenyum dan mula bergurau dengannya.

         Eun Hee mengeluh. Dia tidak boleh menduga apa yang sedang difikirkan oleh Ji Hoon. Dia masih ingat pada hari Ji Hoon pulang lewat dari pejabat. Seperti hari ini, lelaki itu nampak tidak bermaya dan seperti menanggung masalah yang berat. Kalaulah dia boleh meringankan masalah Ji Hoon, sudah pasti dia akan melakukannya.


“ DIA dah mula rasa betapa berat masalah yang dihadapi. Aku gembira dengan kerja kau,” ucap lelaki itu. Tawa sinis Tae Hwan kedengaran daripada hujung talian.

         “ Aku memang pakar dalam hal macam ni. Apa tindakan kau yang seterusnya?” Tae Hwan melontar pertanyaan.

         Jika rancangan lelaki itu berjaya, dia juga yang akan merasai penangannya. Setakat ini, dia boleh dikatakan hidup mewah melalui upah yang diberikan oleh lelaki itu. Kebanyakan pakaiannya juga sudah ditukar kepada beberapa jenama terkenal.

         “ Buat masa sekarang, aku nak biarkan dulu. Kalau dia meringkuk dalam penjara pun dah cukup untuk puaskan hati aku. Bayaran untuk kerja kau kali ni aku dah masukkan. Pandai-pandailah kau simpan rahsia.”

         Tae Hwan ketawa lagi. “ Aku bukannya bodoh untuk pecahkan rahsia kita.”

         Lelaki itu tersenyum sinis. Talian diputuskan tanpa mengucap apa-apa. Telefon bimbit disimpan dalam kocek. Memang itulah kebiasaannya. Lelaki itu akan menamatkan perbualan tanpa berkata-kata. Tapi, itu bukannya masalah yang besar buat Tae Hwan. Dia sudah cukup gembira dengan ganjaran yang diberikan.

         Nampaknya, bolehlah dia berbelanja sakan hasil kerja kotornya itu. Tae Hwan ketawa lagi.  

p/s: seperti yang dijanjikan, new entry akan menyusul tak lama lagi :)

3 salam untukku:

epy elina said...

hohho...
kciannya ji hoon...
pe hbngn ji hoon ngn tae hwan??
smp brdndm mcm 2....

fallenmoon ( Liya Zafrina ) said...

Kenapa Tae Hwan jahat sgt?!
Kesian dkt Ji Hoon..
Hish2..

Anonymous said...

tae hwan tuh just upahan je..rs da wei yg upah dia

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs