My Status Now

offline
pliz komen ;D





Saturday, February 20, 2010

Endless Love 16


CHAE RIN menelan liur. Bengis muka Ji Hoon menikam wajahnya. Hatinya gentar tiba-tiba. Belum pernah lagi dia melihat wajah Ji Hoon yang sebegitu rupa.

         “ Jangan kau berani cuit dia walau sedikit pun!” keras nada yang dituturkan. Tangan Chae Rin dilepaskan secara mendadak. Panas hatinya dengan tindakan Chae Rin yang berani bertindak kasar dengan isterinya.

         “ Eun Hee? Eun Hee tak apa-apa?”

         Ji Hoon beralih kepada Eun Hee. Tanpa mempedulikan kehadiran Chae Rin dan ibunya, tubuh Eun Hee dipeluk erat. Berulang kali dia mengusap pipi isterinya yang merah akibat tamparan Chae Rin.

         Sebaik sahaja memikirkan bahaya buat Eun Hee berseorangan di rumah, Ji Hoon terus pulang ke rumahnya. Dia risau jika gadis itu ditimpa bahaya. Tepat sangkaan dia sebaik sahaja dia melihat ada sebuah kereta yang tidak dikenali terparkir di hadapan pintu pagar rumahnya. Terkejut Ji Hoon apabila melihat ibunya berada di dalam rumahnya dengan kehadiran Chae Rin. Tambah mengejutkan dia apabila melihat Chae Rin menampar isterinya.

         “ Ji Hoon! Kenapa awak bela dia? Sebab dialah, kita tak jadi kahwin, tahu tak?” marah Chae Rin. Sakit hatinya melihat gadis itu dalam pelukan Ji Hoon. Presiden Park masih diam tidak berkutik. Wajah anaknya yang sedang membengis apabila memandang wajah Chae Rin ditatap tanpa niat mahu bersuara.

         Ji Hoon ketawa sinis. “ Kau nak tahu kenapa?”

         Chae Rin terdiam. Nampaknya, apa yang akan keluar daripada mulut Ji Hoon merupakan berita buruk buatnya. Presiden Park pula menanti dengan penuh sabar apa yang akan terpacul keluar daripada mulut anaknya.

         Ji Hoon menghela nafas. Wajah ibunya dan Chae Rin dilihat silih berganti. Dia mula membuka mulut.

         “ Sebab dia isteri aku.”

         Apa yang keluar daripada bibir Ji Hoon mengejutkan mereka berdua. Lemah rasa lutut Chae Rin sebaik sahaja dia mendengar kata-kata itu. Dia menggelengkan kepalanya.

         “ Tak mungkin…”

         “ Kau takkan dapat menafikannya sebab aku dan dia suami isteri yang sah,” kata Ji Hoon lagi. Tubuh Eun Hee masih erat dalam dakapannya. Lemah sungguh keadaan isterinya saat ini. Mungkin kerana terkejut dengan serangan mendadak Chae Rin sebentar tadi.

         “ Kamu dah kahwin?”

         Mata Ji Hoon beralih pada wajah ibunya. Dia tidak dapat mengenal pasti perasaan ibunya ketika ini. Reaksi yang terpamer pada wajah tua itu tidak ditafsir. Sama ada terkejut atau marah, Ji Hoon tidak tahu.

         “ Gadis ni isteri kamu?” soal Presiden Park lagi. Tanpa berlengah lagi Ji Hoon mengangguk.

         “ Chae Rin, kamu keluar dulu,” arah Presiden Park tanpa memandang wajah Chae Rin. Chae Rin terkejut dengan arahan itu.

         “ Keluar!”

         Tegas nada Presiden Park memaksa dia akur. Dia mengangguk. Nak tak nak, dia terpaksa juga keluar dari rumah itu.

         “ Baiklah,” lemah Chae Rin bersuara. Sebelum dia keluar dari rumah itu, dia memandang wajah Eun Hee dengan kebencian yang bersarang di dada. Tingkahnya disedari Ji Hoon.

         “ Lebih baik kau keluar dari rumah aku sebelum aku heret kau keluar!” marah Ji Hoon. Tanpa berlengah lagi gadis itu keluar juga. Dia berjalan ke arah kereta yang masih menunggu di luar.

         Bibirnya diketap kuat. Bagaimana seorang gadis seperti Eun Hee boleh menambat hati Ji Hoon? Jika dibandingkan dengan dirinya, gadis itu jauh ketinggalan dari segi penampilan. Tak guna! Hatinya mendongkol geram.

         Di dalam rumah itu, keadaan masih seperti tadi. Tiada apa-apa yang berubah. Lama kemudian, Ji Hoon melepaskan pelukannya. Dia langsung tidak memandang wajah ibunya. Dia khuatir jika wanita itu marah.

         “ Betul ke gadis ni isteri kamu?” perlahan Presiden Park menyoal. Tajam matanya menikam muka Ji Hoon yang sudah kegelisahan.

         Ji Hoon mengangguk. Masa untuk dia berterus terang sudah sampai. Tiada gunanya jika dia menafikan apatah lagi wanita yang bergelar ibu itu sudah tahu di mana keberadaan dia sekarang. Dia sudah tidak dapat melarikan diri lagi.

         “ Dia isteri saya, mak…” Ji Hoon masih belum menghabiskan kata-katanya lagi tetapi ibunya sudah meluru ke arahnya. Beg tangan Presiden Park diangkat tinggi.

         “ Anak bertuah! Dahlah lari dari rumah, kahwin pulak tu! Bukannya nak beritahu mak kamu ni!” Berkali-kali tubuh Ji Hoon menjadi sasaran beg tangan ibunya. Erangan sakit Ji Hoon tidak dipedulikan. Eun Hee terkejut dengan tindakan melulu wanita yang merangkap ibu mertuanya itu. Ryu Min masih bersembunyi di belakangnya.

         “ Kamu fikir bagus sangat ke tindakan kamu ni? Mak boleh masuk hospital bila-bila masa je sebab kamu! Eiii!!!!”

         Wanita itu terus memukul tubuh Ji Hoon. Ji Hoon terpaksa memegang tangan ibunya bagi mengelakkan dia daripada terus dipukul.

         Presiden Park tersentak dengan tindakan anaknya itu. “ Lepaskan tangan mak, Ji Hoon!”

         “ Tak nak! Nanti mak pukul saya lagi.” Keanak-anakan alasan yang diberi. Presiden Park cuba melepaskan tangannya daripada genggaman Ji Hoon tetapi tidak berjaya. Kudrat tuanya tidak mampu mengalahkan Ji Hoon yang jauh lebih muda daripadanya.

         “ Lepaskan tangan mak!”

         Kaki Presiden Park yang disarungi kasut tumit tinggi itu memijak kuat kaki anaknya. Genggaman Ji Hoon terlepas serta merta daripada tangan ibunya. Dia terlompat-lompat menahan sakit.

         “ Padan muka kamu!” Sekali lagi beg tangan ibunya yang berat itu hinggap di badannya. Sakitnya! Mujur sahaja Ji Hoon tidak terjatuh dek serangan ibunya itu.

         “ Yalah! Yalah! Saya minta maaf! Saya minta maaf!” Ji Hoon mengaku kalah. Lagi lama dia dan ibunya begitu, lagi banyaklah serangan beg tangan itu akan hinggap di badannya. Boleh tahan juga serangan ibunya. Sakit!

         Presiden Park mendengus. Dia membetulkan sanggul rambutnya. Wajah anaknya tidak lekang daripada matanya.

         “ Macam ni ke cara kamu sambut mak kamu? Bukannya nak pelawa mak duduk!” marah Presiden Park. Ji Hoon kaku tiba-tiba. Kata-kata ibunya menyedarkan dia akan sesuatu.

         “ Err… mak tak marah ke?” teragak-agak dia bertanya. Beg tangan itu hinggap lagi di tubuhnya. Ji Hoon mengaduh kesakitan. Mukanya berkerut menahan sakit.

         “ Boleh kamu tanya mak soalan macam tu?”

         Presiden Park berjalan mendekati Eun Hee yang berdiri agak belakang. Eun Hee mula berdebar-debar. Bimbang jika wanita itu memarahinya. Tetapi, sangkaan dia meleset sama sekali.

         “ Ini ke menantu mak? Cantik. Pandai kamu pilih,” tutur Presiden Park lembut. Pantas Ji Hoon menoleh ke belakang. Terhincut-hincut dia berjalan mendekati ibunya dan Eun Hee.

         “ Kiranya, mak tak marahlah?” Ji Hoon mula tersengih-sengih. Presiden Park kembali menjeling wajah anaknya itu.

         “ Pandailah kamu!”

         “ Adoi!” Kepala Ji Hoon diluku ibunya. Dia menggosok-gosok tempat yang dirasakan sakit itu.

         “ Mak! Sakitlah,” kata Ji Hoon.

         “ Kamu nak kena lagi ke?” tanya Presiden Park sambil menyua buku limanya. Pantas Ji Hoon menggeleng. Wajah Eun Hee kembali ditatap Presiden Park.

         “ Macam manalah kamu boleh kahwin dengan anak mak yang tak betul ni? Tak susah ke hidup dengan dia?” tanya Presiden Park lembut. Berlainan sekali dengan nada ketika dia bercakap dengan anaknya tadi.

         Eun Hee mula mengukir senyum. Tiada apa-apa lagi yang perlu dirisaukan. Apa yang dia lihat setakat ini, hanya Ji Hoon yang menjadi mangsa serangan wanita itu. Kasihan pula melihat suaminya teruk dipukul tadi walaupun dia sudah geli hati.

         “ Nama kamu siapa?” tanya Presiden Park. Raut lembut dan naif Eun Hee telah memikat hatinya.

         Senyuman Eun Hee mati secara tiba-tiba. Bagaimana dia mahu menjawab soalan ibu mentuanya itu? Panggilan Ji Hoon mengalih perhatian Presiden Park.

         “ Eun Hee tak boleh bercakap, mak,” perlahan Ji Hoon berkata. Wajah isterinya ditatap dengan simpati di hati. 

         Presiden Park terkedu. “ Tak boleh bercakap?”

         Wajah Eun Hee dipandang tidak percaya. Ji Hoon mengangguk perlahan. Eun Hee tunduk merenung lantai. Pautan tangan Ryu Min tidak dapat menghalau hiba di hatinya. Presiden Park langsung tidak tahu apa yang patut dikatakan pada saat ini. Wajah Ji Hoon dan Eun Hee ditatap silih berganti.


PAK CIK NAM GIL terus mendiamkan diri. Dia langsung tidak berani memandang wajah majikannya itu.

         Sebaik sahaja rahsia Ji Hoon terbongkar, dia terus dipanggil menghadap Presiden Park. Debar di hati tidak boleh digambarkan. Dia begitu takut jika wanita itu memarahinya dengan teruk.

         “ Pak cik yang tolong Ji Hoon selama ini, kan?” kata Presiden Park. Nada suaranya terkawal walaupun hatinya sedang mendidih. Perlahan-lahan lelaki itu mengangguk. Presiden Park mendengus.

         “ Bukan Ji Hoon yang beritahu saya, saya cuma mengagak saja. Dan, kedatangan pak cik ke pulau ini beberapa minggu lalu semata-mata untuk menghadiri majlis perkahwinan Ji Hoon, betul? Bukannya perkahwinan anak saudara pak cik, kan?” duga Presiden Park lagi. Pak Cik Nam Gil hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa.

         Presiden Park mengeluh. “ Kenapa pak cik tak beritahu saya bahawa Ji Hoon berada di Pulau Jeju? Pak cik tahu yang saya mencari dia seolah-olah dia sudah hilang bertahun-tahun, kan? Kenapa pak cik langsung tidak beritahu saya?”

         “ Pak cik sekadar menghormati keputusan tuan muda yang mahu segalanya dirahsia,” jelas Pak Cik Nam Gil perlahan.

         Presiden Park menggelengkan kepalanya berkali-kali. Dia memicit-micit kepalanya. Sakit kepalanya menyerang lagi.

         “ Saya… saya tak tahu apa yang patut dilakukan sekarang. Ji Hoon dah kahwin dengan gadis bisu. Saya tak tahu apa yang difikirkan oleh Ji Hoon masa dia melamar Eun Hee,” luah Presiden Park.

         Sebaik sahaja mendapat tahu bahawa gadis itu bisu, Presiden Park merasakan dunianya terhenti seketika. Anak tunggalnya yang cukup sifat berkahwin dengan seorang gadis cacat? Dia tidak boleh menerima kenyataan itu.

         “ Puan dah lupa sesuatu. Puan pernah cakap bahawa puan tak kisah jika gadis yang dikahwini tuan muda itu bisu, pekak dan buta asalkan tuan muda bahagia dengan hidupnya. Dan, setakat yang pak cik nampak sepanjang perkahwinan tuan muda, tuan muda kelihatan begitu gembira. Seolah-olah tiada masalah langsung dalam hidupnya,” kata Pak Cik Nam Gil. Dia cuba untuk mengembalikan ingatan wanita itu sedikit masa lalu. Wanita itu juga yang berkata tidak kisah siapa bakal isteri Ji Hoon asalkan anak kandungnya itu bahagia dengan hidupnya.

         Presiden Park mengangguk lemah. Memang benar apa yang dikatakan oleh pembantunya yang setia itu. Dia harus mengotakan setiap kata-katanya.

         “ Puan,” celah Pak Cik Nam Gil sekali lagi. Presiden Park mengangkat wajah bertentangan dengan muka Pak Cik Nam Gil. Dia diam menunggu bicara lelaki itu. Nampaknya lelaki itu mahu mengatakan sesuatu yang penting.

         “ Puan muda tidak bisu sejak lahir lagi. Dia mempunyai sejarah hitam yang menyebabkan dia begitu. Puan muda sendiri yang menyaksikan bagaimana ibu bapanya dibunuh dengan kejam dan abangnya mati dalam letupan kereta. Tuan muda dah lama tahu perkara itu dan selain sebab mencintai puan muda, tuan muda juga mahu mengembalikan kegembiraan dalam hidup puan muda. Kerana dua sebab itulah tuan muda mengahwini puan muda. Pak cik sekadar mahu memberi nasihat, restulah hidup mereka kerana hanya seorang gadis bisu sahajalah cinta tuan muda yang sudah lama tuan muda hajatkan. Mereka sudah hidup bahagia. Takkan puan sanggup menghancurkan kebahagiaan mereka?” hujah Pak Cik Nam Gil panjang lebar. Raut Presiden Park berubah. Tidak langsung menyangka sebab Eun Hee sebegitu.

         “ Kiranya, dia…”

         Pak Cik Nam Gil mengangguk. “ Puan muda masih ada peluang untuk bercakap kembali dan tuan muda sedang mengusahakan perkara itu tanpa paksaan terhadap puan muda.”

         Wanita berkaliber itu tersandar pada kerusinya. Dia harus mengakui hakikat itu. Kejam sungguh dirinya jika menghancurkan kebahagiaan anaknya sendiri. Dia bukannya seorang yang kejam. Bukan!

         “ Pak cik,” Presiden Park kembali pada nada tegasnya. Wajah Pak Cik Nam Gil dipandang dengan penuh tekad.

         “ Tolong beritahu Ji Hoon, saya nak dia menghadiri majlis perasmian resort ni pada malam esok sebagai pengurus besar resort ini. Dia yang akan memantau perjalanan resort ini. Dan saya nak dia hadir dengan Eun Hee.”

         Wajah Pak Cik Nam Gil seakan-akan disimbah cahaya. Matanya bersinar. “ Betul ke, puan?” tanyanya tidak percaya. Ji Hoon akan kembali bekerja semula!

         Presiden Park mengangguk dan kembali bersuara. “ Saya mahu kenalkan Eun Hee sebagai menantu saya dalam majlis itu nanti.”

         “ Baiklah! Pak cik akan segera telefon tuan muda!” kata Pak Cik Nam Gil penuh semangat. Dia tunduk hormat sebelum keluar dari pejabat pemilik Royal Imperial Group itu dan masuk kembali ke dalam pejabatnya. Presiden Park hanya tersenyum melihat gelagat Pak Cik Nam Gil. Dia ketawa sendirian.    

5 salam untukku:

Yuki-chan said...

hehe
lucula time ji hoon gaduh ngan mak dia
sambung lg hana!!!

epy elina said...

hohoho....
a'ah...
mcm bdk2 lak dorng b rgaduh...
akhrnya mak ji hoon blh trma eun hee...

fallenmoon ( Liya Zafrina ) said...

Yay yay!
Mak Ji Hoon dh trima Eun Hee..
Padan muka Chae Rin
;D Best!

Unknown said...

nape x hntr cte awk ke penulisan2U.net kot x salah url dia... sbb dorg ske la cte2 cinta mcm awk buat ni sy rsa klu awk hntr msti dorg siar punyer....

akira_bita said...

hahahahah!! tak sangka, perempuan yang berkaliber boleh luku anak dia?? hahahah lawak2... comel gilerr la part ji hoon pegang tangan mak dia pastu kate tak nak, nnt mak pukul saya lagi.. hahahah!! comel!!

yeah!! showtime!! nak kenalkan sebagai menantu!!

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs