My Status Now

offline
pliz komen ;D





Friday, April 9, 2010

Endless Love 23


CHAE RIN melabuhkan duduk di hadapan Hyun Min. Sebaik sahaja Hyun Min memberitahunya bahawa dia akan pulang ke Seoul, terus Chae Rin mengatakan mahu berjumpa dengannya. Banyak perkara yang mahu ditanyakan pada Hyun Min.

         “ Aku rasa kau datang jumpa aku ni mesti sebab nak tanya pasal Ji Hoon, kan?” teka Hyun Min walaupun dia sudah maklum perkara yang sebenarnya. Anggukan Chae Rin membenarkan andaiannya.

         “ Tapi, sebelum aku tu biarlah aku tanya khabar kau. Dah hampir sebulan kita tak jumpa, kau okey ke kat sana?” Chae Rin mula menyoal. Hyun Min ketawa sahaja.

         “ Kerja bertambah banyak. Aku balik ke Seoul ni pun sekejap je, lusa aku akan terbang balik ke Pulau Jeju. Aku tak boleh tinggalkan kerja lama-lama. Tambahan lagi, resort tu baru je beroperasi,” kata Hyun Min.

         Walaupun dia kecewa kerana tujuan utama Chae Rin menemuinya adalah semata-mata kerana Ji Hoon, namun kekecewaan dia terubat juga. Sekurang-kurangnya gadis itu masih sudi bertemu dengannya. Dibuatnya Chae Rin menjauhkan diri daripadanya, boleh sengsara dia.

         “ Aku dengar resort tu ada masalah,” soal Chae Rin lagi. Hyun Min mengangguk.

         “ Bukannya melibatkan luaran. Masalah dalaman syarikat, ada pihak yang menggelapkan wang syarikat,” jelas Hyun Min. Jika dia menyorokkan hal itu sekalipun, lambat laun Chae Rin akan mengetahui juga. Gadis itu rapat dengan Presiden Park walau tidak dapat bergelar menantu kepada wanita itu.

         “ Teruknya. Habis tu, korang buat apa?”

         Hyun Min menjungkit bahu.

         “ Setakat ni masih dalam siasatan tapi sampai sekarang masih tak dapat mengesyaki siapa yang lakukan,” kata Hyun Min. Chae Rin mengangguk perlahan. Besar juga masalah yang dihadapi.

         “ Habis tu, Ji Hoon macam mana? Dia okey saja, kan?” Kali ini Chae Rin mula menyoal berkaitan dengan Ji Hoon. Tersentap juga Hyun Min mendengarkan soalan itu. Berubah air mukanya.

         “ Dia okey je. Lagipun, dia ada isteri kalau nak luahkan masalah,” datar sahaja Hyun Min bersuara. Chae Rin mencebik.

         Sabarlah hati. Ingat apa yang Ji Hoon pernah katakan, dia tak cintakan Chae Rin! Dia. Tak. Cinta. Pada. Chae. Rin! Ingat tu!

         “ Kau ni memang suka sakitkan hati aku, betul tak?” keras Chae Rin bertanya. Hyun Min hanya mengangkat kening. Dia bangun daripada kerusi menuju ke dapur.

         Chae Rin turut bangun mengikut langkah lelaki itu. Hati sudah mula panas dengan kata-kata Hyun Min sebentar tadi.

         “ Lupakan jelah niat kau tu. Ji Hoon tetap takkan balik pada kau walau isteri dia meninggal, aku percaya. Sia-sia saja usaha kau ni. Memang takkan berhasil,” kata Hyun Min lagi. Kali ini dia tidak melihat pada wajah Chae Rin.

         “ Dulu kau kata kau tak kisah! Kau bukannya siapa-siapa untuk bagi nasihat pada aku! Ini hidup aku, bukannya kau!” melahar marah gadis itu. Chae Rin mendengus marah. Hyun Min ketawa sinis.

         “ Apa sebab kau nak halang aku? Kau bukannya kekasih aku lagi!”

         Sebab aku cintakan kau!

         Terasa kuat jeritan hatinya namun Hyun Min gagal untuk menzahirkan kata hatinya. Dia mendiamkan diri sahaja. Tidak berniat untuk menjawab pertanyaan gadis itu. Dengusan Chae Rin kedengaran sekali lagi.

         “ Mulai bulan depan aku akan tinggal di Pulau Jeju. Aku berjaya pujuk bapa aku buka cawangan restoran di pulau tu. Aku akan jadi pengurus di sana dan aku akan mulakan misi aku. Kau takkan berjaya halang aku,” kata Chae Rin. Dia mula memperlahankan intonasi suaranya. Hyun Min tersentak. Pantas dia menoleh pada wajah gadis itu.

         “ Kau… kau akan ke sana?” tersekat-sekat dia menyoal.

         Dia gembira kerana Chae Rin akan turut berada di sana kerana itu bermaksud dia boleh bertemu dengan gadis itu setiap hari tetapi masih ada perkara yang dia risaukan. Gadis itu ke sana semata-mata Ji Hoon! Itulah yang menyakitkan hatinya.

         Chae Rin mengangguk pantas. Dia melihat tepat pada wajah lelaki itu. Dia mengukir senyum.

         “ Aku percaya misi aku akan berjaya. Suatu hari nanti Ji Hoon akan melutut pada aku, merayu untuk kembali pada pangkuan aku! Aku yakin dengan itu,” kata Chae Rin. Penuh keyakinan nada yang dilontar keluar.

         Keluhan Hyun Min kedengaran lagi.

         “ Banyak lagi lelaki lain di luar sana, kenapa kau tak cari satu je?” tanya Hyun Min kasar. Chae Rin mula ketawa.

         “ Aku kesal sebab setiap kali kita berjumpa, mesti pertengkaran akan berlaku. Aku nak balik.” Chae Rin berlalu ke ruang tamu. Ambil sahaja tas tangan yang terletak di atas sofa, kakinya terus melangkah keluar.

         Hyun Min masih kekal di dapur. Langsung tidak berniat untuk mengejar gadis itu walau dia sedang menanggung sesal di hati. Dia menggeleng perlahan. Kalaulah masa boleh diputar kembali, dia pasti akan melakukannya. Kembali semasa mereka bahagia dan masih bergelar pasangan kekasih.

        
PINTU pagar itu dibuka. Kelihatan Ryu Min sedang menyiram pokok bunga di halaman rumahnya. Menjerit kesukaan kanak-kanak itu sebaik sahaja melihat Ji Hoon dan Eun Hee masuk. Pantas Ryu Min meluru ke dalam pelukan Eun Hee.

         “ Ayah ada?” tanya Ji Hoon.

         “ Ada. Tengah tidur. Semalam dia pulang lewat,” petah Ryu Min berkata. Ji Hoon mengangguk. Beg kertas di tangan dihulur kepada Ryu Min.

        “ Tadi abang dan Kak Eun Hee ke pasar raya, abang ada belikan mainan untuk Ryu Min,” kata Ji Hoon dengan senyuman di wajah. Sekali lagi Ryu Min menjerit kegembiraan.

         “ Terima kasih, abang. Terima kasih, kak.”

         Berseri-seri wajah Ryu Min sebaik sahaja dia melihat apa yang berada di dalam beg kertas itu. Pantas saja tangannya mengeluarkan satu persatu mainan pemberian Ji Hoon dan Eun Hee.

         “ Terima kasih, Ryu Min suka,” ucap Ryu Min. Ji Hoon ketawa perlahan.

         Tiga pasang mata melihat pada permainan yang dilonggok oleh Ryu Min di atas lantai beranda. Dua anak patung beruang, sebiji bola dan satu anak patung porselin. Jenis barang permainan untuk kanak-kanak.

         “ Oh ya! Kalau Ryu Min sunyi sorang-sorang kat rumah, Ryu Min datanglah ke rumah kami. Temankan Kak Eun Hee juga. Abang selalu balik lewat kalau hari berkerja.” Ji Hoon membuat pelawaan. Berkerut-kerut muka Ryu Min memikirkan pelawaan itu.

         “ Tapi, kena tanya ayah dulu. Ryu Min takut ayah marah kalau dia tak benarkan,” kata Ryu Min. Leka dia bermain dengan anak patung beruang itu.

         “ Apa salahnya. Kalau kamu nak pergi, ayah benarkan.”

         Sapaan di belakang membawa ketiga-tiga kepala menoleh. Pak Cik Dam Shik sedang berjalan ke arah mereka.

         “ Ayah!”

         Pak Cik Dam Shik tersenyum. Dia melabuhkan duduk di sisi Ryu Min. Kepala anak gadisnya itu digosok sebelum dia kembali memandang pasangan suami isteri itu.

         “ Apa khabar, pak cik? Maaflah, kebelakangan ni saya banyak kerja, tak dapat bawa Eun Hee melawat sini,” ucap Ji Hoon. Sebelah tangan Pak Cik Dam Shik diangkat. Lelaki itu menggelengkan kepala.

         “ Tak apa. Biasalah orang bekerja. Pak cik pun selalu balik lewat seminggu dua ni. Kesian pulak Ryu Min tinggal sorang-sorang kat rumah. Bila pak cik balik, Ryu Min dah tidur,” celah Pak Cik Dam Shik.

         “ Tengok ni ayah, Abang Ji Hoon dan Kak Eun Hee yang bagi,” kata Ryu Min. Dia menunjuk pada permainan yang masih tergeletak di atas lantai.

         “ Bazirkan duit kamu je, Ji Hoon. Bukannya satu kamu beli, banyak ni,” kata Pak Cik Dam Shik sambil menggelengkan kepalanya. Ji Hoon mula ketawa.

         “ Tak apalah, pak cik. Bukannya selalu. Ryu Min pun dah macam adik saya,” kata Ji Hoon. Pak Cik Dam Shik ketawa. Dia melihat saja anak bongsunya bermain.

         Lengan Ji Hoon dicuit Eun Hee. Dia menoleh ke tepi. Gadis itu menunjuk ke arah dapur. Ji Hoon membenarkan saja.

         “ Biar pak cik je yang buat air. Kamu berdua tetamu pak cik,” kata Pak Cik Dam Shik apabila melihat Eun Hee bangun daripada duduknya. Eun Hee menggeleng. Dia tetap melangkah ke dapur.

         Pak Cik Dam Shik mengeluh. Dia mengalih pandang pada Ji Hoon.

         “ Macam mana dengan hidup kamu suami isteri? Kamu dapat biasakan dengan Eun Hee?” tanya Pak Cik Dam Shik. Ji Hoon mengangguk. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Pak Cik Dam Shik.

         “ Semuanya okey. Kami tak ada masalah komunikasi. Eun Hee pun seorang isteri yang baik, pandai uruskan rumah tangga. Saya bertuah sebab kahwin dengan dia.” Melangit pujian Ji Hoon buat isterinya. Ketawa Pak Cik Dam Shik meletus keluar. Jelas di matanya bagaimana Ji Hoon amat menyayangi Eun Hee.

         “ Baguslah kalau macam tu. Pak cik dah senang hati. Masa mula-mula kamu kahwin dengan Eun Hee, pak cik selalu fikirkan bagaimana hidup kamu berdua. Kalau kamu kata tak ada masalah, tak apalah kalau begitu,” kata Pak Cik Dam Shik lagi. Ji Hoon menekur ke lantai. Senyuman jelas terukir pada wajahnya.

         Pang!

         Ji Hoon dan Pak Cik Dam Shik sama-sama menoleh ke arah bunyi itu. Kuat kedengaran dari dapur. Ryu Min turut berhenti bermain. Wajah Ji Hoon mula pucat.

         “ Eun Hee!”
   
         Pantas dia berlari ke dapur. Dia mula tidak sedap hati apabila mendengar bunyi tadi. Kuat kedengaran sehingga ke luar rumah.

         Kaki Ji Hoon berhenti melangkah. Dia terkejut apabila melihat Eun Hee terduduk di atas lantai. Ada cerek air berdekatan dengan gadis itu. Dia meluru ke hadapan Eun Hee. Wajah gadis itu pucat. Seakan-akan tidak akan mengeluarkan darah walau ditoreh.

         “ Eun Hee, kenapa ni?” tanya Ji Hoon. Dia mula cemas. Jari Eun Hee menuding ke luar dapur. Ji Hoon menoleh seketika sebelum keluar daripada pintu belakang. Matanya liar melihat sekeliling.

         Tak ada apa-apa pun, dia mengetus. Ji Hoon masuk kembali ke dapur. Kelihatan Pak Cik Dam Shik dan Ryu Min berlari mendapatkan Eun Hee yang masih duduk di atas lantai.

         “ Apa yang dah berlaku?” tanya Pak Cik Dam Shik. Dia juga kelihatan panik.

         Ji Hoon menjungkit bahu. Perlahan-lahan dia menggosok belakang Eun Hee. Wajah gadis itu masih pucat. Ji Hoon nampak bagaimana tubuh itu menggeletar teruk.

         “ Eun Hee macam nampak sesuatu yang menakutkan di luar rumah. Dia tunjuk ke arah semak tu tapi bila saya jenguk, tak nampak apa-apa,” cerita Ji Hoon. Dia membantu isterinya untuk bangun.

         “ Mungkin bayangan dia saja. Bahagian laman belakang tu memang gelap, pokok tumbuh tinggi. Pak cik pun dah lama tak tebas lalang-lalang tu.”

         Ji Hoon mengangguk. Kuat pautan tangannya pada bahu Eun Hee. Keadaan gadis itu lemah, sama seperti ketika diserang oleh Chae Rin tempoh hari. Hati mula berdetik simpati.

         “ Saya boleh tolong pak cik tebas semak samun tu kalau pak cik nak. Bahaya kalau biarkan je. Manalah tahu ada ular yang buat sarang dalam tu,” pelawa Ji Hoon. Mereka kembali ke beranda rumah. Eun Hee didudukkan di situ. Gadis itu menurut saja.

         “ Tak apalah, Ji Hoon. Lebih baik kamu bawa Eun Hee pulang sekarang. Kasihan betul pak cik tengok dia dalam keadaan macam tu. Pak cik boleh lakukan kerja tu sorang-sorang. Pak cik pun dah biasa buat kerja berat,” bantah Pak Cik Dam Shik. Ryu Min di sisi kekal membisu.

         “ Tak apa ke, pak cik? Laman belakang tu luas,” tanya Ji Hoon. Dia benar-benar ikhlas menawarkan bantuan. Pak Cik Dam Shik tetap menggeleng.

         “ Kamu bawa je Eun Hee balik. Pak cik boleh uruskan, ya?”

         Ji Hoon berfikir sejenak. Dia mengangguk perlahan.

         “ Baiklah. Tapi, kalau pak cik perlukan saya, telefon je. Kami pulang dulu,” kata Ji Hoon lagi. Pak Cik Dam Shik dan Ryu Min menghantar mereka keluar. Selepas membantu Eun Hee duduk, Ji Hoon tidak terus masuk ke dalam kereta sebaliknya berjalan kembali pada Pak Cik Dam Shik.

         “ Saya bawa Eun Hee pulang dulu. Kalau ada apa-apa, tolong beritahu saya. Eun Hee nampak terkejut sangat,” kata Ji Hoon. Pak Cik Dam Shik hanya mengangguk. Ji Hoon tersenyum kecil. Dia masuk ke dalam kereta.

         “ Kak Eun Hee, jaga diri,” pesan Ryu Min sebelum kereta Ji Hoon bergerak. Eun Hee mengangguk lemah. Terketar-ketar bibirnya ketika mengukir senyuman.

         “ Eun Hee tak apa-apa?” soal Ji Hoon sambil memapah Eun Hee masuk ke dalam rumah. Eun Hee menggeleng sambil tersenyum kecil. Wajahnya masih pucat. Ji Hoon menghela nafas.

         “ Abang ke dapur sekejap. Jangan ke mana-mana. Rehat je kat sini,” kata Ji Hoon lagi dan sekali lagi Eun Hee mengangguk. Lelaki itu berlalu ke dapur. Eun Hee menyandar pada sofa,

         Dia melihat pada tangannya. Masih terketar-ketar. Dia masih ingat apa yang berlaku tadi. Dia mahu mengambil bekas yang menyimpan gula dalam kabinet dapur Pak Cik Dam Shik. Bekas gula itu terjatuh. Sebaik sahaja dia bangun, matanya terus memandang ke luar tingkap. Apa yang dilihat benar-benar mengejutkan dia.

         Ada seorang lelaki yang berpakaian serba hitam sedang berdiri dalam semak samun belakang rumah Pak Cik Dam Shik! Wajah lelaki itu tidak kelihatan namun Eun Hee cam, lelaki itu sama dengan yang dilihatnya tempoh hari. Kerana terkejut, dia terlanggar cerek yang terletak di atas meja.

         Bukan dia sengaja mahu terkejut, tetapi dia ketakutan. Lelaki itu kelihatan berbahaya. Matanya terasa tajam menikam wajah Eun Hee. Ingatan lalu menerpa minda pada saat itu juga. Pada malam pembunuhan ibu bapanya. Tapi, kenapa dia harus muncul lagi di halaman belakang rumah itu. Adakah dia mahukan sesuatu?

         “ Eun Hee?”

         Eun Hee tersentak. Dia mengangkat wajah. Senyuman Ji Hoon yang dilihat menghalau sedikit resah di hatinya. Lelaki itu sedang melambai di hadapannya. Ada segelas air di tangan lelaki itu.

         “ Abang panggil banyak kali pun tak dengar? Nah, minum air dulu,” kata Ji Hoon. Gelas dihulur sebelum dia mengambil tempat di sisi Eun Hee. Eun Hee menyambut saja.

         “ Eun Hee nampak apa di laman belakang rumah Pak Cik Dam Shik? Pucat sangat muka Eun Hee masa abang masuk dapur tadi,” tanya Ji Hoon. Rambut Eun Hee yang panjang mengurai diusap perlahan. Eun Hee menggeleng.

         “ Tak nak beritahu abang?” tanya Ji Hoon lagi.

         Eun Hee kaku seketika. Dia menoleh pada wajah suaminya. Ji Hoon sudah banyak bersabar dengan dirinya. Lelaki itu sering mengalah jika ada kesulitan. Eun Hee bimbang jika suaminya akan berkecil hati jika dia meneruskan kelakuan sebegitu.

         “ Jangan fikirkan lagi perkara ni. Abang nak Eun Hee rehat je, jangan buat apa-apa kerja. Masuk bilik, tidur sekejap. Mari,” lembut Ji Hoon mengeluarkan bicara. Gelas di tangan Eun Hee diletakkan di atas meja manakala sebelah tangannya lagi menarik tangan Eun Hee.

         Eun Hee mengekori langkah suaminya naik ke tingkat atas. Pintu bilik dibuka. Mereka berdua duduk di sisi katil. Eun Hee masih bimbang jika Ji Hoon berkecil hati. Dia perlu melakukan sesuatu. Benar jika dia katakan Ji Hoon akan senyum saja jika pertanyaannya tidak dijawab, tetapi Eun Hee tidak tahu apa yang terkandung dalam hati lelaki itu.

         Diari yang terletak di atas meja diambil lalu ditunjuk pada Ji Hoon. Kening Ji Hoon bercantum.

         “ Kenapa dengan diari tu?” tanya Ji Hoon hairan.

         Ji Hoon masih ingat lagi akan diari itu. Itu merupakan diari pemberian dia yang disertakan sekali dengan sebuah patung beruang. Eun Hee mengukir senyuman penuh rahsia. Lama Ji Hoon berfikir barulah dia dapat menangkap maksud Eun Hee.

         “ Eun Hee nak tulis dalam diari tu?”

         Tekaan Ji Hoon tepat apabila melihat Eun Hee mengangguk. Diari itu kembali ditatap. Dia masih ingat kata-katanya apabila dia memberi diari itu pada Eun Hee.
        

         “ Abang nak Eun Hee tulis apa yang Eun Hee rasa dalam diari ni. Setiap perasaan Eun Hee. Tidak kira sedih atau gembira. Dan, kita akan sama-sama baca diari ni pada waktunya, ya?”


         “ Dan… kita akan baca sama-sama. Abang ingat lagi,” kata Ji Hoon perlahan. Semakin melebar senyumannya. Kesudian Eun Hee untuk mencurahkan perasaannya pada setiap helaian diari itu melapangkan dadanya. Setidak-tidaknya, gadis itu ada sedikit perubahan.

         Eun Hee mengangguk. Sudah tiba masanya untuk dia meluahkan segala-galanya. Sampai bila dia mahu bersendirian dalam melayan masalah. Dia masih belum boleh melupakan silam yang perit itu tetapi sekurang-kurangnya dia sudah kuat sedikit dalam mengharungi semuanya. Dia punya Ji Hoon yang amat memahami dirinya.

         “ Eun Hee ambillah masa Eun Hee tapi sekarang abang nak Eun Hee rehat je. Tidur sekejap, okey?” Kepala Eun Hee diusap lagi. Eun Hee mengangguk.

         Ji Hoon bangun daripada katil itu. Wajah isteri ditatap penuh kasih walau simpati sudah menggunung.

         “ Kalau Eun Hee perlukan apa-apa, abang ada kat bawah. Abang tak ke mana-mana hari ni, duduk kat rumah je,” pesan Ji Hoon. Eun Hee mengangguk sekali lagi. Ji Hoon keluar dari bilik itu. Mata Eun Hee mengekor setiap langkah suaminya.

         Diari itu ditenung lagi. Eun Hee tersenyum sendirian. Dia sama sekali tidak dapat menyangka tindakannya sebentar tadi. Spontan sahaja tangannya mengambil diari yang terletak di atas meja apabila melihat wajah Ji Hoon. Permukaan diari itu diusap sebelum helaian demi helaian dibuka. Masih kosong tanpa sebarang coretan.

         Eun Hee membaringkan tubuh. Diari dan patung beruang itu dibawa dalam pelukan. Kedua-dua benda itu merupakan pemberian Ji Hoon dan dia amat menghargainya. Hati Eun Hee tersentuh dengan setiap tindakan lelaki itu semata-mata mahu menyelami isi hatinya. Dia terlelap. Setitis mutiara jernih mengalir keluar. 

2 salam untukku:

epy elina said...

hohoho....
crta mkin mnarik....
trdpt unsur saspen.....
bilalah smua ni trungkai....
x sbr nak thu.....
bila pndritaan eun hee brakhr??
hrp2 ji hoon sntsa di sisi eun hee wlau apa pun yg brlaku.....

Unknown said...

eh! cte2 awk tulis ni dpt idea kt mne? sy kalau tulis cte merepek2 mcm cte hantu tu bleh la klu macam cte awk ni sy x reti ape2pun awk mmg hebat!!! :)

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs