My Status Now

offline
pliz komen ;D





Saturday, January 9, 2010

Endless Love 9


DERINGAN telefon bimbit mengejutkan Pak Cik Nam Gil. Kelam kabut dia menutup pintu biliknya setelah menyedari Ji Hoon yang menelefonnya. Dia mengangkat panggilan tersebut. Sambil itu matanya liar memerhati di luar pejabatnya. Bimbang kalau-kalau ada orang yang menyedari tingkahnya yang aneh.

         “ Helo?” sapa Pak Cik Nam Gil. Namun, teriakan Ji Hoon mengejutkan dia.

         “ Kenapa dengan tuan? Tuan ada masalah ke?” tanya Pak Cik Nam Gil cemas. Teriakan Ji Hoon membuatkan dia berfikir bahawa anak muda itu ditimpa masalah. Namun, Ji Hoon hanya ketawa. Suaranya kedengaran ceria.

         “ Tak ada apa-apalah, pak cik. Err... minggu depan pak cik datang ke sini dengan Mak Cik Yu Soo? Ada hal pentinglah. Saya perlukan pak cik,” kata Ji Hoon.

         Dia sudah merancang segalanya. Dia dan Eun Hee akan berkahwin pada minggu seterusnya dan dia mahu suami isteri itu yang menyaksikan perkahwinannya. Majlis perkahwinannya akan diadakan secara ringkas. Cukup dengan acara di gereja dan sambutan di rumahnya. Dia tidak mahu berlebih-lebihan dalam perkara ini.

         “ Minggu depan? Kenapa?” Pak Cik Nam Gil kehairanan dengan permintaan Ji Hoon. Perkara apa yang penting sehinggakan anak muda itu menggesanya untuk ke Pulau Jeju. Bersama dengan isterinya pula tu.

         “ Err… saya…,” nafasnya tersekat di kerongkong. Macam mana nak beritahu ni? Fuh... tarik nafas... hembus nafas...errr...errr.... Macam mana ni? Susah betul nak cakap!

         “ Tuan?” panggil Pak Cik Nam Gil. Apasal tiba-tiba senyap ni?

         “ Err… sa… saya…” Ji Hoon tetap tidak dapat meneruskan kata-katanya.

         “ Tuan? Kenapa senyap je ni?” tanya Pak Cik Nam Gil lagi.

         Masih senyap.

         “ Tuan!” panggil Pak Cik Nam Gil. Nadanya dinaikkan sedikit. Walaupun begitu, Ji Hoon tetap terkejut. Habis terlepas semua yang tersekat tadi.

         “ Saya nak kahwin!” kata Ji Hoon cepat. Terlepas bagai kapal terbang Concorde. Nafasnya semput.

         “ Apa?” Kali ini giliran Pak Cik Nam Gil pula yang terkejut. Nak kahwin? Biar betul?

         Ji Hoon menekup mulut. Menyedari kesilapannya. Namun dia lega. Sekurang-kurangnya dia sudah memberitahu tujuannya. Lega...

         “ Kahwin? Dengan siapa?” tanya lelaki tua itu. Dia masih lagi terkejut dengan kenyataan Ji Hoon. Kahwin? Dengan siapa?

         “ De… dengan Eun Hee!”

         Mata Pak Cik Nam Gil yang sedia terbeliak bertambah bulat. Hampir terjojol keluar. “ Dengan perempuan tu?”

         “ Ya.”

         “ Tuan ni betul ke tidak? Atau tuan mengigau lamar dia semalam?” Pak Cik Nam Gil ketawa kecil. Takkanlah dalam masa sebulan kenal dah nak kahwin? Mustahil!

         “ Saya tak mengigaulah pak cik. Betul! Saya akan kahwin dengan Eun Hee minggu depan. Saya nak pak cik dan Mak Cik Yu Soo ada sekali sebab saya tak nak mak tahu. Saya tak nak keseorangan, saya nak salah satu ahli keluarga saya ada juga masa perkahwinan saya nanti,” kata Ji Hoon. Dia lebih tenang sekarang.

         Alamak! Betullah!

         “ Tapi, tuan tak fikir cepat sangat ke yang tuan cepat sangat nak kahwin dengan gadis tu? Tuan baru je kenal dia, kan? Pak cik tak nak kalau-kalau gadis tu terima lamaran tuan sebab harta yang tuan miliki.” Pak Cik Nam Gil memberi pendapat. Apa yang dikatakan datang daripada rasional, bukannya emosi. Apatah lagi Ji Hoon baru sahaja mengenali Eun Hee dan mustahil untuk gadis itu dapat mencintai Ji Hoon dalam tempoh sesingkat itu.

         “ Pak cik jangan bimbang. Dia kahwin dengan saya bukan sebab harta. Eun Hee sendiri pun tak tahu yang saya pewaris tunggal rangkaian hotel terkemuka. Jadi, boleh tak pak cik datang minggu depan?” Ji Hoon menyoal sekali lagi dengan penuh harapan. Janganlah Pak Cik Nam Gil menolak permintaannya. Dia tak nak berseorangan tanpa seorang ahli keluarganya pada hari bahagia dia.

         “ Pak cik bukannya ahli keluarga tuan. Pak cik rasa lebih baik kalau tuan beritahu Presiden Park elok-elok,” kata Pak Cik Nam Gil. Memujuk lelaki itu bersemuka dengan ibunya. Sampai bila Ji Hoon mahu menyembunyikan diri daripada ibunya? Lambat laun, Presiden Park akan dapat mengesan di mana keberadaan dia sekarang.

         “ Tapi… saya dah anggap pak cik sekeluarga macam keluarga saya sendiri. Lagi pun, pak cik pun tahu yang saya tak nak mak saya tahu,” kata Ji Hoon perlahan.

         “ Tapi…”

         “ Saya nak pak cik hadir kalau pak cik tak sibuk. Tapi, saya harap sangat pak cik ada.” Ji Hoon melihat ke luar tingkap. Hujan sudah turun renyai-renyai. Mintanya janganlah hujan ini berlarutan. Dia akan membawa Eun Hee ke bandar untuk mencari pakaian pengantin. Dia mahu membelikan Eun Hee sehelai gaun pengantin yang cantik. Itulah yang dirancangnya dari semalam lagi.

         “ Baiklah. Pak cik akan pergi ke majlis tu. Tuan jangan bimbang,” putus Pak Cik Nam Gil. Dia tidak sampai hati untuk menghampakan Ji Hoon yang terlalu berharap.

         “ Terima kasih, pak cik. Terima kasih.” Ji Hoon mula gembira.

         “ Pak cik akan ke sana hari Khamis. Majlis tu hari apa?”

         “ Hari Jumaat. Bolehlah pak cik tengok-tengokkan sikit. Saya pun ada perkara nak beritahu pak cik nanti. Err... jangan beritahu mak ye?” pinta Ji Hoon. Bimbang benar dia jika ibunya mengetahui hal ini. Mahu lari ke hujung dunia dia kalau ibunya mendapat tahu.

         “ Baik. Tapi, ada perkara yang pak cik perlu beritahu pada tuan.” Nadanya serius.

         Senyuman Ji Hoon mati. Tahap kegembiraan dia mula menurun. Dia tidak senang dengan percakapan Pak Cik Nam Gil. Seperti ada perkara buruk sahaja yang akan disampaikan.

         “ Apa dia?” Dia mula resah. Apa lagi ni?

         “ Presiden Park dah batalkan perkahwinan tuan dengan Cik Lee,” kata Pak Cik Nam Gil. Dia senyum geli hati. Dia dapat menangkap resah dalam nada Ji Hoon bercakap semasa lelaki itu menyoal apa yang terjadi. Sengaja dia bercakap sedemikian. Mahu mengetahui reaksi Ji Hoon.

         “ Apa?” Ji Hoon mula terkinja-kinja gembira. Memang itulah yang dia nantikan. Pembatalan perkahwinan dia dengan Chae Rin. Alangkah bahagianya...

         “ Kenapa mak batalkan?” tanya dia lagi. Walaupun dia gembira, namun dia mahu juga mengetahui apa sebabnya sehingga ibunya membatalkan perkahwinan itu. Tentu ada sesuatu di sebalik pembatalan itu.

         “ Presiden Park fikir sebab utama tuan menghilangkan diri tentu ada kaitan dengan perkahwinan ini. Masa dia fikir macam tu, pak cik terus cucuk jarum. Bukannya apa, pak cik pun tak nak tuan kahwin dengan Cik Lee,” kata Pak Cik Nam Gil. Dia mula ketawa.

         “ Terima kasih, pak cik. Err… apa lagi kata mak?”

         “ Pak cik rasa kalau tuan dengar yang ni, tentu tuan bertambah gembira.”

         “ Apa lagi?” tanya Ji Hoon tidak sabar.

         Pak Cik Nam Gil menghela nafas. “ Presiden Park cakap, dia tak kisah tuan kahwin dengan siapa. Tuan pilih, ibu tuan akan terima je. Dia kata, kalau miskin ke, buta ke, pekak ke, dia tak peduli. Asalkan tuan bahagia,” kata Pak Cik Nam Gil. Mengulang kembali kata-kata Presiden Park semalam. Siap dengan gaya wanita itu lagi.

         “ Iya?” Ji Hoon seolah-olah tidak percaya. Aku ni tengah mimpi ke? Dia mencubit pipi kirinya, sakit terasa. Dia menampar dengan kuat pula. Terasa pijar pipinya. Betullah aku tak mimpi!

         “ Tuan dah boleh senang hati sekarang. Ibu tuan dah tak kisah pasal ni,” ucap Pak Cik Nam Gil. Dia turut gembira.

         “ Bagusnya, pak cik.” Ji Hoon puas hati. Kalau dia perkenalkan Eun Hee kepada ibunya, tentu ibunya tidak kisah. Hari ni memang hari bertuah!

         “ Err… pak cik, saya nak keluar ni. Lain kali saya telefon pak cik, ye?” Jam tangan dikerling sekilas. Hampir tiba masanya untuk dia bertolak ke rumah Eun Hee. Dia tidak mahu terlambat.

         “ Tuan nak ke mana?”

         “ Saya nak ke bandar dengan bakal isteri saya. Mahu cari kelengkapan majlis,” terang Ji Hoon. pada Pak Cik Nam Gil tiada apa yang akan dirahsiakan. Lelaki tua itu amat setia orangnya. Sebab itulah Ji Hoon hanya memberitahu pada lelaki tua itu sahaja tentang perkahwinannya.

         Pak Cik Nam Gil ketawa. Dia dapat merasai bahagia yang dialami Ji Hoon. Tentu Ji Hoon amat bahagia sekarang. “ Baiklah. Hati-hati, ya?”

         Itulah pesanannya setiap kali perbualan ditamatkan.

         “ Baiklah. Saya pergi dulu.” Talian diputuskan. Ji Hoon mengambil kunci kereta dan keluar dari rumah. Dia bersiul girang. Terasa lambat waktu berjalan. Dia tidak sabar menunggu hari perkahwinannya.


“ AHLI lembaga pengarah dah bersetuju untuk melaksanakan projek itu. Melalui projek ini, syarikat kita akan bekerjasama dengan Royal Imperial Group. Resort yang akan dibina itu merupakan usaha sama antara Han Group dengan Royal Imperial Group. Royal Imperial Group yang akan menyelenggarakan resort itu dan Han Group pula hanya memantau keadaan. Lebih tepat lagi, Royal Imperial Group turut memegang separuh daripada saham resort tersebut.”

         Lelaki itu selesai berbicara. Menunggu komen lelaki yang berada di hadapannya. Lelaki di hadapannya tidak berkata apa-apa, sebaliknya hanya membelek fail yang diserahkan tadi. Dia mendongak.

         “ Kenapa bukan kita sahaja yang uruskan semuanya. Dengan cara itu, seratus peratus keuntungan milik kita,” tanya Hyun Min. Fail itu dibelek lagi.

         “ Seperti yang tuan tahu, inilah kali pertama syarikat kita terlibat dalam bidang hospitaliti dan perlancongan. Kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang ni. Sebab itulah Presiden Han mahu jalankan usaha sama tersebut. Mungkin tuan tidak tahu, tetapi Royal Imperial Group mempunyai rangkaian hotel yang diberi nama Royal Imperial Hotel dan agensi pelancongan mereka sendiri,” terang lelaki itu lagi.

         Hyun Min mengangguk mengerti. “ Macam mana dengan pembinaan resort tu?”

         “ Hampir sembilan puluh lima peratus siap. Mengikut jangkaan, resort itu akan mula beroperasi bulan hadapan. Promosi juga sudah diadakan.”

         “ Setahu saya, masa projek ni berada dalam peringkat permulaan, tiada sebarang usaha sama dijalankan. Bagaimana pula rangkaian hotel itu boleh terlibat?” tanya Hyun Min lagi. Hairan juga dia. Ayahnya langsung tidak memberitahu apa-apa mengenai perkara ini.

         Lelaki itu mengangguk. “ Apa yang dikatakan oleh tuan benar. Memang tiada sebarang usaha sama dijalankan pada peringkat permulaan projek ini. Perkara ini baru sahaja diputuskan oleh Pengerusi Han minggu lepas. Pengumuman rasminya pula baru sahaja diberitahu pagi tadi. Pemilik Royal Imperial Group juga sudah bersetuju.”

         Hyun Min menyandar pada kerusi. Sesuatu menganggu fikirannya. Setahu dia, bekas kekasih Chae Rin merupakan anak kepada pemilik rangkaian hotel enam bintang tersebut. Nampaknya, dia akan bersemuka dengan pesaing cintanya tidak lama lagi walaupun dia tahu lelaki yang dikejar Chae Rin itu sudah lama menghilangkan diri.

         Jujurnya, Hyun Min masih cintakan Chae Rin. Selepas hubungan mereka putus, dia ada bercinta dengan beberapa wanita lain, tetapi semuanya tidak menjadi. Entah kenapa dia merasakan Chae Rin itu merupakan cintanya yang satu. Walhal selama ini dia sering bertukar-tukar teman wanita. Sebab itulah dia masih mendekati Chae Rin.

         “ Awak boleh keluar sekarang,” arah Hyun Min. lelaki itu mengangguk. Fail itu kembali diambil. Dia keluar dari pejabat yang dilengkapi dengan peralatan mewah itu.

         Hyun Min membuka laci meja. Gambar dia bersama Chae Rin semasa mereka menuntut di luar negara diambil. Wajahnya dengan Chae Rin kelihatan begitu gembira. Masa itu cuti musim panas. London Eye menjadi destinasi percutian mereka berdua. Mereka berdua amat rapat. Sedangkan tujuan dia mendekati Chae Rin ketika itu sekadar mahu ‘bermain’ dengan gadis itu.

         Gambar itu disimpan kembali. Hyun Min mengambil telefon bimbitnya. Nombor  telefon Chae Rin didial. Lama dia menunggu sebelum panggilan diangkat. Dia mula bersuara.

         “ Helo, Chae Rin? Boleh kita jumpa?”


EUN HEE menunggu di luar rumah. Hujan sudah berhenti. Seperti yang dijanjikan, dia dan Ji Hoon akan ke bandar untuk membeli kelengkapan majlis. Ketika Ji Hoon kata mahu mengadakan majlis itu secara ringkas, langsung dia tidak kisah. Hanya lafaz ikrar perkahwinan sahaja sudah memandai baginya. Dan dia hanya berharap lelaki itu boleh membahagiakan dirinya.

         “ Eun Hee, tak pergi lagi?”

         Sapaan Pak Cik Dam Shik mengejutkan dia. Dia menoleh. Bapa saudaranya itu sedang berdiri di belakangnya. Eun Hee mengangguk.


         “ Baguslah kalau macam tu. Pak cik cuma harap, kamu akan bahagia dengan Encik Park. Maafkan pak cik sebab tidak mampu menggembirakan kamu,” kata lelaki itu. Sayu.

         Eun Hee menggeleng. Apa yang dikatakan oleh Pak Cik Dam Shik tidak betul. Dia gembira kerana masih ada orang yang sudi menjaganya dalam keadaannya sekarang. Dia beruntung kerana dia dibenarkan tinggal bersama keluarga lelaki itu.

         Pak Cik Dam Shik menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ada sesuatu yang ingin dikatakan oleh dia. “ Kalau kamu rasa kamu tak nak kahwin dengan Encik Park, jangan paksa diri kamu. Batalkan perkahwinan ini kalau kamu mahu. Pak cik takkan halang.”

         Kening Eun Hee bercantum. Kenapa bapa saudaranya berkata sedemikian rupa. Adakah lelaki itu tidak mahu melihat dia bahagia?

         Lelaki itu kembali bersuara. “ Pak cik nak beritahu kamu sesuatu. Kalau kamu ada masalah, datanglah ke rumah pak cik. Pak cik masih mengalu-alukan kedatangan kamu. Tapi, pak cik yakin bahawa Encik Park dapat membahagiakan kamu,” kata lelaki itu lagi. Eun Hee mengangguk mengerti.

         Pon! Pon!

         Mereka berdua sama-sama menoleh ke luar pagar rumah. Kereta Ji Hoon sudah berada betul-betul di depan pagar. Lelaki itu keluar dari kereta. Ji Hoon kelihatan segak walaupun hanya mengenakan T-shirt putih dan berseluar jeans. Seakan berjanji dengan Eun Hee yang mengenakan pakaian serba putih. Daripada blaus yang dipakainya sehinggalah skirt melepasi lutut yang dikenakan gadis itu. Itulah gaya sehari-hari gadis itu. Blaus dan skirt melepasi lutut. Tidak pernah mengenakan seluar.

         “ Selamat pagi, pak cik,” sapa Ji Hoon.

         Pak Cik Dam Shik mengangguk. “ Tolong jaga Eun Hee masa kamu berdua keluar ye?”

         “ Pak cik jangan bimbang. Oh ya! Mungkin kami akan pulang lewat, boleh saya ambil Ryu Min di sekolah?” tanya Ji Hoon meminta kebenaran. Dia teringat janji dia pada kanak-kanak itu. Hajat di hati mahu ke kedai mainan membeli apa yang dimahukan oleh Ryu Min.

         “ Baiklah. Pak cik nak pergi kerja ni, pak cik pergi dulu, ye? Selamat tinggal,” kata Pak Cik Dam Shik. Eun Hee dan Ji Hoon sama-sama mengangguk hormat. Lelaki itu keluar dari perkarangan rumah dengan berbasikal.

         “ Boleh kita pergi sekarang?” tanya Ji Hoon sebaik sahaja kelibat Pak Cik Dam Shik semakin menjauh. Eun Hee hanya mengangguk. Ji Hoon menggamit gadis itu ke kereta. Enjin dihidupkan. Kereta meluncur ke destinasi yang ditetapkan.     


ZACHARY meletakkan secawan kopi panas di atas meja sebelum dia melabuhkan punggungnya duduk bertentangan dengan Ji Hoon. Dulang diletakkan di sisi. Pandangan matanya berlabuh pada wajah Ji Hoon yang kelihatan ceria. Lelaki itu sedang merenung meja. Tetapi Zachary tahu, lelaki itu tengah berkhayal. Kalau tidak, takkanlah muka boleh senyum macamlah tiada orang lain dalam kafe ini. Orang nak kahwinlah katakan! Tentu senyumnya sampai ke telinga!

         Zachary berdehem. Ji Hoon masih belum sedar dengan khayalannya. Aku dehem kuat macam ni pun boleh tak sedar lagi? Memanglah mamat sorang ni!

         Dia berdehem sekali lagi. Kali ini lebih kuat. Apa yang mengejutkan Zachary, Ji Hoon langsung tidak memandangnya. Apatah lagi memberi tindak balas yang lain. Bersuara pun tidak.

         “ Hoi!” Ringan tangannya mengetuk kepala Ji Hoon. Ji Hoon tersentak. Dia mendongak melihat pada wajah Zachary.

         “ Kenapa kau ketuk kepala aku?” soalnya terkejut. Angin tak, ribut tak, tiba-tiba je ketuk kepala aku? Ada yang tak betul dengan Zack ke hari ni?

         “ Bukannya aku yang tak betul, tapi kau yang tak betul hari ni,” kata Zachary seolah-olah dapat membaca fikiran Ji Hoon. Kehairanan Ji Hoon semakin bertambah. Sederet keningnya kerana bercantum. Dahinya berkerut seribu.

         “ Apa aku pulak? Kaulah! Tiba-tiba je ketuk kepala aku,” kata Ji Hoon. Zachary tersengih.

         “ Kalau aku tak ketuk kepala kau, kau nak aku buat apa? Pukul kau? Kau tu angau! Aku panggil berapa kali pun tak sedar-sedar lagi,” ejek Zachary. 

         Ji Hoon mula tersenyum malu. “ Err… ye ke?”

         Zachary mula ketawa. “ Malaslah aku nak layan kau. Aku nak tanya pasal tempahan kek perkahwinan kau. Kau nak kek apa? Aku nak buat yang istimewa untuk kau.”

         “ Okey jugak cadangan kau! Boleh aku tengok senarai kek?”

         Zachary mengangguk. Dia bangun dan mengambil sesuatu pada kaunter. Sebuah katalog. Katalog itu diserahkan pada Ji Hoon. Ji Hoon membeleknya perlahan-lahan.

         “ Boleh kau cerita pada aku, macam mana boleh terlintas dalam fikiran kau untuk kahwin dengan gadis tu?”

         Sebaik sahaja Ji Hoon menelefonnya dan mengatakan mahu berkahwin minggu depan, dia terkejut. Beria-ria benar Ji Hoon ketika itu. Zachary ingin bertanya, tetapi dia tidak tahu sama ada sesuai atau tidak untuk bertanya soalan itu. Tidak dapat membendung keinginan, dia terpaksa juga meluahkan. Ada sesuatu yang penting yang ingin diketahuinya.

         “ Kenapa kau nak tahu?” soal Ji Hoon tanpa mengalih pandang daripada katalog itu. Pertanyaan Zachary tidak dijawab.

         “ Aku nak tahu jugak macam mana kau boleh terfikir nak kahwin dengan dia. Kau kenal dia pun baru hampir sebulan. Tup, tup, kau kata nak kahwin minggu depan.”

         “ Apa yang kau nak tahu?” Sedapnya kek-kek yang aku tengok ni! Yang ni nampak comel, yang tu pulak nampak menyelerakan tahap dewa! Macam mana kalau aku tempah semua? Haha!

         “ Kau yakin yang dia jodoh kau?”

         Fokus Ji Hoon terganggu dengan pertanyaan tersebut. Dia mengangkat wajah dan melihat pada Zachary yang sedang merenungnya. Matanya tidak berkelip. Katalog itu diletak pada paha.

         Ji Hoon menghela nafas. “ Aku yakin yang dia jodoh aku. Kalau dia bukan jodoh aku pun, aku tetap akan jadikan dia sebagai jodoh aku.”

         “ Betul-betul ke kau nak kahwin dengan dia? Aku tak nak kau cuma terbuai dengan perasaan suka yang seketika je. Kasihan gadis tu!”

         “ Apa maksud kau?”

         Serius percakapan mereka berdua. Ji Hoon hairan dengan pertanyaan Zachary, seakan lelaki itu tidak menyukai perkahwinan dia. Apa lagi yang Zachary ragu pada dia berkenaan perasaan dia pada Eun Hee?

         “ Dengar dulu! Aku cakap ni sebagai kawan kau, okey? Aku cuma nak tahu yang kau tak main-main, tu je. Aku nak tengok korang dua sama-sama bahagia. Aku nak tengok korang kekal sampai bila-bila. Itu maksud aku!”

         Ji Hoon mengeleng kepala. Percakapannya berubah menjadi serius. “ Kau tahu tak? Kau orang ketiga yang fikir aku cuma main-main je selain daripada Pak Cik Dam Shik dan Eun Hee sendiri.”

         Zachary terdiam.

         “ Aku tak main-main dalam menyatakan perasaan aku. Kau fikir semua orang boleh terima ke kalau orang yang mereka sayangi mempunyai kekurangan? Aku rasa tak. Dan aku nak kau fikir suatu perkara. Eun Hee tak boleh bercakap dan aku terima keadaan dia.”  

         “ Betul kau boleh terima kekurangan dia?” tanya Zachary lagi.  

         Ji Hoon mengangguk. “ Kau boleh terima kekurangan yang Julie ada, dan aku boleh terima kekurangan yang Eun Hee ada. Kalau ada orang fikir kesempurnaan tu syarat untuk bahagia dan mendapat cinta sejati, aku nak buktikan bahawa orang tu salah. Bukan semua orang sempurna. Pada zahir... atau pada jiwa,” kata Ji Hoon perlahan. Dia menunduk.

         Zachary mula mengukir senyum. “ Aku bangga ada kawan macam kau. Aku doakan perkahwinan kau bahagia sampai akhir hayat. Dan, kalau kau ada masalah, jangan cepat mengalah. Tempuhinya dulu sebab selepas itu kau akan mendapat kebahagiaan kau.”

         Ji Hoon juga tersenyum. Dia mengangguk setuju. “ Terima kasih atas nasihat kau. Oh ya! Aku nak Coffee Tiramisu tu dan Mousse Mango Delight tu.”

         Zachary menulis sesuatu pada buku notanya. Dia tersenyum sekilas sebelum kembali menghadap nota itu. “ Kau jangan bimbang, aku akan buat kek yang paling istimewa untuk kau!”

         “ Baguslah kalau macam tu. Kau nak beri percuma je, kan?”

         Berderai ketawa mereka berdua. Dalam bergembira, Zachary teringatkan mendiang isterinya. Teringat semasa mereka masih hidup bahagia. Hatinya mula berdetik.

         Julie, saya akan sentiasa kenangkan awak. Awak tak akan mati dalam hati saya walaupun awak sudah meninggalkan saya untuk selama-lamanya. Tiada siapa yang dapat mengantikan tempat awak dalam hati saya. Tiada siapa.     

         Dia melihat pula wajah Ji Hoon yang dibayangi dengan rasa bahagia. Ji Hoon kelihatan terlalu bahagia seperti tiada apa yang dapat meragut kebahagiaan itu. Hati Zachary terdetik lagi. Dia memohon agar hidup Ji Hoon bersama Eun Hee tidak diburu bayang-bayang kesulitan dan mereka berdua akan hidup bersama hingga akhir hayat. Dia tidak mahu mereka berdua berakhir seperti mana dia dengan Julie.

         Julie...

2 salam untukku:

akira_bita said...

ye! ye! ji hoon nak kawen!! huhuhu... x sabar tol la...

Unknown said...

best cte ni... hebat la awk menulis.... truskan menulis lagi ok!!! cerita mmg best!

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs