My Status Now

offline
pliz komen ;D





Sunday, December 27, 2009

Endless Love 7


JI HOON membuka pintu kedai bunga itu perlahan-lahan. Tepat seperti jangkaannya, Eun Hee dan Ryu Min berada dalamnya. Mereka berdua langsung tidak menyedari kehadirannya. Terjengket-jengket dia mendekati kaunter. Eun Hee dan Ryu Min sedang berdiri membelakangi kaunter. Ryu Min sedang mengatakan sesuatu pada Eun Hee. Ji Hoon cuba mendengar perbualan mereka. Nada suara Ryu Min berbaur resah. Mungkin ada sesuatu telah berlaku. Ji Hoon cuba untuk tidak membunyikan apa-apa.

         “ Kak Eun Hee, betul ke kakak nak jual kedai ni?”

         Ji Hoon terkejut. Dia terpaku. Jual kedai ni?

         Dia melihat Eun Hee mengangguk sugul. Wajahnya muram. Ryu Min mendekati Eun Hee. Lengan Eun Hee diraih.

         “ Tapi, kak… kedai ni satu-satunya milik mendiang ibu bapa Kak Eun Hee yang masih tinggal. Takkan kak tak sayang nak jual?” tanya Ryu Min lagi.

         Eun Hee tidak menunjukkan reaksi apa-apa. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. Ji Hoon kekal tidak bersuara. Dia masih mahu mendengar perbualan mereka berdua. Namun, dia masih lagi merasa terkejut.

         Seperti mana yang pernah Pak Cik Dam Shik memberitahunya, kedai bunga ini merupakan milik ibu Eun Hee. Kini, Eun Hee yang memilikinya. Hanya kedai bunga ini sahajalah perkara untuk Eun Hee kenangkan kerana semua harta benda milik keluarganya musnah. Rumah itu musnah dalam kebakaran pada malam yang menyayat hati itu.

         “ Ryu Min tahu yang Kak Eun Hee nak tolong ayah Ryu Min selesaikan hutang dia. Tapi, takkan dengan cara ni? Ryu Min pun fikir yang ayah tak akan setuju,” kata Ryu Min lagi. Suaranya serak.

         Eun Hee meraih Ryu Min ke dalam pelukannya. Ryu Min dipeluk erat. Mukanya dibenamkan pada kepala Ryu Min. Dia mula menangis. Berlagu pilu. Esakannya mengundang Ji Hoon untuk mula bersuara.

         “ Awak nak jual kedai ni?”

         Eun Hee tersentak. Dia segera menoleh ke belakang. Ji Hoon sedang tegak berdiri di belakangnya. Lelaki itu merenungnya tajam. Tepat ke dasar matanya. Eun Hee tergamam. Belum pernah dia melihat lelaki itu sebegitu.

         “ Awak nak jual kedai yang satu-satunya milik mendiang ibu bapa awak? Sampai hati awak?” tanya Ji Hoon lagi. Kedai ini satu-satunya kenangan yang Eun Hee miliki untuk mengingati ibu bapanya. Tergamak dia nak menjualnya? Jika dia menjual kedai bunga ini, apa lagi yang tinggal untuk Eun Hee selain daripada memori indah bersama keluarganya?

         Eun Hee segera tunduk memandang lantai. Langsung tidak berani melihat wajah tegang lelaki itu. Sungguh. Dia tidak pernah melihat lelaki itu sebegitu rupa. Ji Hoon benar-benar berbeza saat ini. Wajah lelaki itu tegang.

         “ Abang Ji Hoon…” Ryu Min mencelah, “… jangan cakap macam tu. Kak Eun Hee terpaksa.”

         Riak wajah Ji Hoon masih tidak berubah. Dia kekal merenung Eun Hee. Apa yang dikatakan oleh Ryu Min langsung tidak diendahkan.

         “ Takkan semata-mata alasan nak tolong bapa saudara awak bayar hutang sampai awak nekad nak jual kedai ni?” tanya Ji Hoon lagi. Eun Hee kekal merenung lantai. Hatinya pedih.

         “ Tentu kalau boleh awak nak cakap yang saya ni tak faham kesusahan awak, kan?” kata Ji Hoon sarkastik. Selama perkenalan dia dengan Eun Hee, belum pernah dia menggunakan nada sedemikian. Inilah kali pertama.

         Eun Hee menggeleng.

         “ Atau, kalau boleh awak nak kata ini bukan urusan saya?”

         Eun Hee menggeleng lagi. Kali ini gelengan dia begitu kuat. Mahu menghapuskan tuduhan Ji Hoon padanya. Dia sayangkan kedai ini. Kalau boleh, dia tidak mahu menjualkannya, tetapi dia terpaksa. Dia terpaksa.

         “ Awak nak saya tolong awak selesaikan masalah ni?” tanya Ji Hoon lagi. Kali ini, suaranya berubah lembut. Eun Hee mendongak, memandang wajah Ji Hoon. Raut wajah Ji Hoon sudah bertukar lembut.

         “ Kalau awak nak, saya boleh tolong selesaikan,” kata Ji Hoon.

         Eun Hee termangu. Dia kaku sejenak. Akhirnya, dia menggeleng. Dia tak nak bergantung pada siapa-siapa. Apatah lagi pada lelaki yang sedang berdiri di hadapannya kini. Ji Hoon masih lagi kenalan barunya.

         “ Eun Hee?”

         Eun Hee menggeleng sekali lagi. Dia segera berlalu ke bilik kecil itu. Pintu ditutup. Ji Hoon ditinggalkan begitu sahaja. Ji Hoon mengeluh. hujung lengan bajunya ditarik Ryu Min.

         “ Abang Ji Hoon, tolong jangan marah Kak Eun Hee. Kak Eun Hee pun sedih sebab terpaksa jual kedai ni,” kata Ryu Min. Ji Hoon tersenyum hiba. Ryu Min didukung dalam pelukannya.

         “ Abang tak marah. Cuma abang kesal. Kedai ni satu-satunya yang tinggal untuk Kak Eun Hee kenangkan keluarga dia. Apa lagi yang dia untuk dia kalau kedai ini dijual?” kata Ji Hoon lembut. Kepala Ryu Min diusap lembut. Ryu Min mengangguk mengerti.

         “ Eh? Siapa yang telefon?” kata Ryu Min tiba-tiba.

         Telefon di kaunter berdering secara tiba-tiba. Ji Hoon mengangkat telefon. Seorang lelaki berada di hujung talian. Ji Hoon menurunkan Ryu Min daripada dukungan sebelum kembali bercakap dengan lelaki itu. Wajahnya berubah serius.

         “ Dia kat mana sekarang?” tanya Ji Hoon. Nadanya resah. Ryu Min menarik hujung bajunya. Tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.

         “ Abang Ji Hoon, apa yang berlaku?” tanya Ryu Min. Namun, pertanyaannya tidak dihiraukan. Ji Hoon lebih fokus pada apa yang sedang dicakapkan oleh lelaki itu.

         “ Baik, baiklah. Saya akan datang sekarang!” Talian diputuskan. Telefon kembali diletakkan pada gagang telefon. Dia berjalan menuju ke bilik kecil itu. Ryu Min mengekorinya dari belakang. Pintu bilik itu diketuk berulang kali.

         “ Eun Hee, buka pintu ni! Penting! Eun Hee!” Pintu bilik diketuk kuat. Namun begitu Eun Hee masih belum membuka pintu.

         “ Eun Hee, tolonglah! Ni pasal pak cik awak!” laung Ji Hoon lagi. Pintu dibuka. Gadis itu tercegat berdiri di hadapannya. Ji Hoon terkesima. Matanya merah. Mungkin lepas baru menangis.

         “ Kita balik ke rumah awak. Tadi, jiran sebelah rumah awak telefon, katanya pak cik awak cedera teruk,” kata Ji Hoon tergesa-gesa. Eun Hee terkejut. Begitu juga Ryu Min. Eun Hee bergegas keluar dari bilik kecil itu. Tangan Ryu Min diraih sebelum keluar dari kedai itu. Ji Hoon mengejar gadis itu yang sudah jauh berlari. Tangan Eun Hee ditarik. Menghalang Eun Hee daripada terus berjalan.

         “ Jangan tergesa-gesa. Lambat kalau awak nak tunggu bas atau teksi. Biar saya yang hantar awak dengan Ryu Min pulang,” kata Ji Hoon. Dia menoleh ke belakang. Melihat pada Paradise Florist.

         “ Saya rasa…” Dia kembali merenung wajah gelisah Eun Hee, “… lebih baik awak kunci dulu pintu kedai bunga tu. Awak tentu tak nak pencuri masuk ke dalam kedai awak, kan?”

         Eun Hee tersentak. Betul juga kata Ji Hoon. Kerana terlalu bimbangkan keadaan pak ciknya, dia terlupa untuk mengunci pintu kedai itu. Tangannya dilepaskan daripada gengaman Ji Hoon. Dia kembali ke kedai untuk mengunci pintu. Ji Hoon mendapatkan keretanya yang diparkir tidak jauh dari kedai bunga tersebut. Dia memandu keretanya betul-betul di hadapan Paradise Florist.

         “ Naiklah,” pelawa Ji Hoon apabila melihat Eun Hee teragak-agak untuk menaiki keretanya. Ryu Min menarik tangan Eun Hee, memaksa gadis itu menaikinya. Eun Hee menurut sahaja. Wajahnya kelihatan resah. Beberapa kali dia meraup wajahnya.

         “ Awak jangan bimbang, pak cik awak tak akan apa-apa,” kata Ji Hoon. Dia cuba menenangkan perasaan gadis itu. Eun Hee mengangguk perlahan. Ji Hoon memandu keretanya keluar dari kawasan parkir. Keretanya meluncur laju di atas jalan raya menuju ke kawasan perumahannya. Sesekali dia mengerling ke arah Eun Hee. Gadis itu masih kelihatan gelisah. Mereka hanya membisu sepanjang perjalanan.


“ AYAH tak apa-apalah. Yang kamu menangis macam ayah dah mati ni kenapa?” kata Pak Cik Dam Shik lembut. Ryu Min masih lagi menangis teresak-esak dalam pangkuannya. Lelaki itu masih kelihatan lemah. Bahagian tubuhnya yang luka sudah dibaluti Eun Hee. Paksaan Ji Hoon untuk membawanya ke hospital ditolak walaupun sudah berulang kali Ji Hoon menawarkan bantuan.

         Ji Hoon duduk bersila di hadapan lelaki itu. Dia hanya mendiamkan diri. Sebaik sahaja mereka memasuki rumah ini, dia amat terkejut apabila melihat keadaan lelaki itu. Mukanya penuh dengan lebam manakala tubuhnya pula mengalami luka-luka. Tubuhnya pula teramat lemah.

         “ Maafkan pak cik sebab menyusahkan encik,” kata Pak Cik Dam Shik dengan suara yang lemah. Wajah anak muda di hadapannya direnung. Sudah dua kali Ji Hoon datang ke rumahnya. Dan kedatangan anak muda itu hanyalah sebagai penyelamat keadaan. Pertama, ketika Ryu Min ditimpa bahaya beberapa hari yang lalu dan kedua... untuk menghantar Ryu Min dan Eun Hee ke rumah setelah mendapat tahu bahawa dirinya berada dalam kesusahan.

         Ji Hoon mengangguk perlahan. Pak Cik Dam Shik masih enggan memanggil namanya yang sebenar. Panggilan encik masih lagi digunakan lelaki itu. “ Saya cuma membantu. Kebetulan, saya ada masa panggilan tu diterima. Eun Hee memang nak pulang dengan teksi je. Tapi, kalau nak harapkan masa tunggu teksi tu dah lama, lebih baik kalau saya yang hantar mereka.”

         Pak Cik Dam Shik mengangguk. Dia meleraikan pelukan Ryu Min yang masih menangis. Dia melihat pada anak saudaranya berada di sisi Ji Hoon. Riak wajah Eun Hee tidak kelihatan seresah tadi.

         “ Eun Hee, tolong bawa Ryu Min masuk bilik,” pinta Pak Cik Dam Shik. Eun Hee akur dengan permintaan pak ciknya. Ryu Min dibawa ke biliknya yang terletak di bahagian belakang rumah itu. Pak Cik Dam Shik dan Ji Hoon memerhati langkah mereka berdua sehingga hilang daripada pandangan.

         “ Isteri pak cik mana? Saya tak pernah nampak pun,” kata Ji Hoon memulakan bicara.

         “ Isteri pak cik dah meninggal. Dia meninggal masa Ryu Min umur tiga tahun. Sekarang ni cuma tinggal pak cik je,” balas Pak Cik Dam Shik. Dia berengsot sedikit daripada pembaringannya, mahu bangun. Ji Hoon yang menyedari kesusahan lelaki itu lekas membantu.

         “ Tentu encik nak tau apa yang terjadi pada pak cik, kan?” teka Pak Cik Dam Shik. Ji Hoon mendiamkan diri. Tidak mahu membalas soalan lelaki itu. Namun, hatinya mahu mengetahui apa yang terjadi.

         Pak Cik Dam Shik ketawa kecil. “ Kalau boleh, pak cik nak minta tolong encik.”

         “ Minta tolong apa, pak cik? Kalau saya boleh tolong, saya akan tolong.”

         Pak Cik Dam Shik diam sejenak. Merangka ayat yang patut dikeluarkan. Ji Hoon sabar menunggu. Akhirnya, lelaki itu membuka mulut.

         “ Kalau boleh, pak cik nak pinjam wang encik. Pak cik tahu, tentu sukar untuk encik beri, kan? Tapi, pak cik betul-betul terdesak. Pak cik akan kerja dengan encik kalau itu sahajalah caranya untuk membayar wang encik itu,” kata Pak Cik Dam Shik berterus-terang. Mukanya terasa tebal namun dia terpaksa mengeluarkan permintaan itu. Hanya kepada Ji Hoon sahaja dia boleh meminta pertolongan.

         Ji Hoon terkejut. Apa yang dikatakan oleh Pak Cik Dam Shik tidak pernah dijangkakan langsung. Dahinya berkerut. “ Pak cik perlukan duit tu untuk apa? Ada kaitan dengan keadaan pak cik sekarang ke?”

         “ Ya. Pak cik akan ceritakan apa yang berlaku sebenarnya.”

         Ji Hoon mengangguk. Dia hanya mendengar apa yang diceritakan oleh lelaki itu. Lama Pak Cik Dam Shik bercerita sebelum semuanya selesai. Akhirnya, dia  mengangguk mengerti.


SUDAH banyak kali panggilan telefon dibuat. Namun jawapan yang diterima semuanya sama. Presiden Park mengeluh. Dia meletakkan telefon setelah selesai bercakap. Pak Cik Nam Gil setia berada di sisinya.

         “ Macam mana, puan?” tanya Pak Cik Nam Gil. Namun dia dapat mengagak jawapannya berdasarkan wajah wanita di hadapannya. Air muka wanita itu keruh. Presiden Park menggeleng.

         “ Semua kawan-kawannya tak tahu dia kat mana sekarang. Saya dah tak tahu nak buat macam mana lagi. Cuba tanya dengan pihak bank, mereka tak boleh beritahu lokasi wangnya dikeluarkan atau di mana dia menggunakan kad kreditnya. Telefon dia pun tak diangkat,” keluh Presiden Park. Sudah hampir sebulan Ji Hoon menghilangkan diri daripada pengetahuannya. Presiden Park benar-benar bimbangkan keadaan anak tunggalnya itu. Namun, apakah dayanya. Semuanya hasilnya sia-sia sahaja.

         “ Puan dah fikir apa sebabnya dia menghilangkan diri?” tanya Pak Cik Nam Gil. Dia masih merahsiakan keberadaan Ji Hoon. Malah, panggilan Ji Hoon kepadanya juga dirahsiakan. Dia hanya menuruti permintaan Ji Hoon yang tidak mahu diganggu.

         Presiden Park mengeluh berat. “ Saya rasa satu-satunya sebab dia menghilangkan diri hanyalah kerana soal perkahwinan dia dengan Chae Rin. Sudah banyak kali dia membantah. Tetapi saya buat tidak endah je.”

         “ Apa tindakan puan sekarang? Kalau puan mahukan pendapat, saya akan cadangkan.”

         “ Boleh juga. Apa pendapat pak cik?”

         “ Puan boleh batalkan perkahwinan ni. Kalau Tuan Ji Hoon kahwin juga, tentu dia tak bahagia. Takkan puan tak tau apa yang terjadi antara Tuan Ji Hoon dengan Cik Lee sehinggakan mereka berpisah,” kata Pak Cik Nam Gil, sekadar mahu membantu Ji Hoon melepaskan diri daripada masalah ini.

         “ Betul jugak kata pak cik. Apa yang penting kebahagiaan Ji Hoon. Kalaulah macam ni, saya akan ikut cakap pak ciklah. Saya akan batalkan perkahwinan tu. Saya akan beri Ji Hoon kebebasan untuk memilih calon isterinya sendiri. Tak kiralah anak siapa pun. Kalau miskin ke, buta ke, pekak ke, saya tak peduli. Asalkan Ji Hoon bahagia,” kata Presiden Park lemah. Dia memicit kepalanya yang terasa pening tiba-tiba. Semenjak kehilangan Ji Hoon, pening kepalanya semakin menjadi-jadi. Nasib baik dia tidak mempunyai penyakit kronik yang lain. Jika tidak, mungkin sudah lama dia terlantar di hospital.

         Riak Pak Cik Nam Gil berubah gembira. “ Maksudnya, puan tak kisahlah tuan muda kahwin dengan siapa pun?” tanyanya riang. Kalau begitu, peluang Ji Hoon untuk mengahwini gadis idamannya itu terbuka luas tanpa sebarang halangan. Senanglah Ji Hoon nanti.

         Fikiran Presiden Park yang sedang kusut tadi berubah hairan. Dia memandang wajah pembantunya itu serius. “ Aik? Kenapa pak cik gembira sangat bila saya cakap macam tu?”

         Pak Cik Nam Gil tersentak. Menyedari kealpaannya. Dia tersengih serba salah. Wajah serius Presiden Park di hadapannya tidak dipandang. Dia tunduk merenung lantai marmar pejabat itu.  


KACA televisyen yang memaparkan berita semasa dipandang sepi. Fokusnya tiada pada kata-kata pembaca berita di hadapannya yang sedang memaklumkan bencana alam di Afrika. Ji Hoon lebih senang melayan fikirannya tika ini. Dia teringatkan apa yang dikatakan oleh Pak Cik Dam Shik tadi.


         “ Sebenarnya… pak cik berhutang dengan ceti haram,” kata Pak Cik Dam Shik memulakan cerita. Ji Hoon diam tekun mendengar apa yang cuba disampaikan.

         “ Pak cik pinjam duit itu pun untuk bayar kos pembedahan Ryu Min awal tahun ni. Ryu Min cedera di kepalanya dan dia memerlukan pembedahan segera. Pak Cik tiada pilihan lain selain daripada pinjam daripada dia. Kebetulan, ceti haram tu memang pak cik dah lama kenal.”

         “ Apa ugutan dia kalau pak cik tak bayar?” tanya Ji Hoon serius. Kumpulan itu menabur janji manis ketika ada orang yang mahu meminjam wang, tetapi akan mula bertindak ganas jika wang masih belum dibayar. Malah, kumpulan itu juga sanggup membunuh!

         Pak Cik Dam Shik duduk menekur. Air matanya mula mengalir. “ Dia akan ambil Eun Hee… dia akan ambil Eun Hee untuk dijadikan pelayan kelab malam. Paling teruk, dia akan jadikan Eun Hee sebagai pelacur!” Suara Pak Cik Dam Shik serak. Dia menekup muka. Kesal dengan apa yang berlaku.

         Ji Hoon terkedu apabila mendengar kenyataan itu keluar dari mulut lelaki itu. Dia terpana.

         “ Ke… kenapa dia mahukan Eun Hee?” tanyanya tersekat-sekat. Memikirkan gadis itu diselubungi kegelapan dunia itu menyakitkan hatinya. Tidak mudah bagi gadis senaif Eun Hee untuk mengalaminya. Tidak mudah!

         “ Dia kata… Eun Hee cantik dan masih terlalu muda. Kalau dia ambil Eun Hee dan bawa ke kelab malam miliknya tentu Eun Hee akan jadi rebutan ramai dan menguntungkannya. Dia tahu yang pak cik tak mampu untuk bayar hutang tu, sebab tu dia minta Eun Hee sebagai balasannya,” kata Pak Cik Dam Shik lagi. Matanya berubah merah. Air mata sudah banyak keluar dari matanya.

         “ Eun Hee tahu tentang ni?”

         Pak Cik Dam Shik menggeleng. “ Dia cuma tahu pak cik ada masalah hutang. Tu je. Yang lain-lain pak cik tak berani nak beritahu dia. Pak cik tak nak dia sedih.”

         “ Sebab tulah dia nak jual kedai bunga milik mendiang ibunya?”

         Pak Cik Dam Shik mengangguk. Ji Hoon diam memikirkan sesuatu. Dia mahu menolong Pak Cik Dam Shik melunaskan hutangnya. Namun, apa yang penting sekali Eun Hee tidak dijadikan sebagai boneka di kelab malam tersebut.

         “ Pak cik, saya akan tolong pak cik lunaskan hutang pak cik. Tapi, saya ada satu syarat dan saya benar-benar harap pak cik akan turuti permintaan saya,” kata Ji Hoon. Nadanya serius. Dia sudah memikirkan penyelesainya. Walaupun mungkin Pak Cik Dam Shik akan menganggapnya gila atau pentingkan diri, dia tidak peduli. Dia tetap dengan keputusannya.

         “ Apa permintaan Encik Park?”

         Ji Hoon menarik nafas sebelum mula berbicara. “ Izinkan saya… menikahi Eun Hee sebagai syaratnya!”

         Riak wajah Pak Cik Dam Shik berubah terkejut. Permintaan Ji Hoon sebagai balasannya dianggap tidak masuk akal. Wajah serius Ji Hoon diperhatinya dalam.


         Ji Hoon tersentak daripada lamunannya. Telefon bimbitnya berdering. Tangannya mencapai Nokia 6710 Navigator malas. Nombor yang dilihat tertera di skrin mengejutkannya. Mak! Tanpa menunggu apa-apa lagi dia segera meletakkan Navigator itu kembali di atas meja. Itulah yang akan dilakukan oleh Ji Hoon jika ibunya menelefon. Panggilan itu tidak akan ditolak dan tidak juga diangkat. Dia biarkan sahaja sehingga deringan berakhir. Dia masih belum bersedia untuk berbicara dengan ibunya.

         Sebaik sahaja deringan berhenti, Ji Hoon lekas menukar ke mod senyap. Dia tidak mahu diganggu. Ji Hoon bangun menuju ke beranda. Menikmati pemandangan malam. Pagi esok, dia akan menelefon Pak Cik Nam Gil dan menceritakan apa yang berlaku di rumah bapa saudara Eun Hee tadi. Dia mahu meminta pendapat lelaki tua itu. Esok juga dia akan menemui Pak Cik Dam Shik. Dan... dia juga berharap agar Eun Hee setuju untuk berkahwin dengannya.  

0 salam untukku:

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs