TELEFON dikeluarkan daripada kocek seluar. Tae Hwan terus mendail nombor dan melekapkan telefon pada telinga. Lama dia menunggu sebelum talian di sebelah sana diangkat. Suara garau seorang lelaki menyambut panggilannya.
“ Helo?” garau suara itu kedengaran pada telinga Tae Hwan.
“ Kau nak tahu atau tidak pasal orang yang kau cari tu?” terus Tae Hwan memberitahu tujuan dia menelefon. Tiada langsung masa untuk bersapa.
“ Kau… kau dah jumpa dia?” gelabah suara di hujung talian menyoal. Tae Hwan mengiakan.
“ Di mana? Cepat! Beritahu aku!”
Tae Hwan tersenyum sinis. “ Kat tempat kau berada sekarang.”
“ Apa?”
Tutt!!!
Talian diputuskan sebelum sempat lelaki itu meneruskan soalan. Tae Hwan ketawa sinis. Dia berjalan masuk ke dalam pub itu. Beberapa orang lelaki sedang menunggunya di dalam.
“ Macam mana?” tanya salah seorang daripada mereka.
Tae Hwan mengangguk. “ Beres.”
Dia mengambil tempat duduk di sisi seorang gadis pelayan pub berkenaan. Arak diteguk berkali-kali. Senang hatinya. Kerja yang bertangguh lama dahulu sudah selesai. Biarlah lelaki itu mencari sendiri orang ingin ditemuinya. Klu di mana lelaki itu berada sudah diberikan.
“ KAU nak ke mana?” Hyun Min kembali menyoal. sudah beberapa kali dia menyoal Chae Rin sepanjang perjalanan mereka. Wajah Chae Rin di sisi dipandang sekilas. Gadis itu santai mengenakan kemeja T dan seluar pendek.
“ Kau juga yang kata nak ikut aku. Tak payahlah nak banyak soal,” tutur Chae Rin acuh tidak acuh. Perhatiannya hanyalah pada jalan raya di hadapan. Kalau kereta dia terbabas, dia juga yang akan dipersalahkan kerana yang memandu kereta sekarang ini dia! Bukannya Hyun Min yang enak duduk di sebelah.
Hyun Min mendengus. Dia berpaling ke sebelah kanannya. Laut terbentang luas di hadapan mata. Kelihatan ramai orang di sekitar pantai yang dilalui. Kebanyakannya berjemur sahaja. Tidak kurang juga yang berjalan-jalan di sekitar pantai.
“ Kau ada jumpa Pak Cik Nam Gil?” tanya Chae Rin tanpa memandang Hyun Min. Hyun Min mengangguk.
“ Bukan itu ke lelaki yang kau kata baik dengan bakal suami tak jadi kau tu?” sinis nada itu dituturkan. Chae Rin mendengus geram. Stereng kereta dipegang kuat. Tidak suka dengan apa yang dikatakan oleh Hyun Min.
“ Aku rasa dia tahulah kat mana Ji Hoon sekarang,” Chae Rin mengandai sendiri. Kereta dibelok ke selekoh. Berderet bangunan menyambut kedatangannya.
“ Kenapa kau fikir macam tu?”
Sebuah kompleks beli belah kelihatan di hadapan mata. Hyun Min mengeluh dalam hati. Ini tidak bukan, pasti Chae Rin mahu membeli belah. Gadis ini memang boros berbelanja. Boleh dikatakan semua fesyen yang terdapat di pasaran, gadis itu tahu semuanya. Koleksi fesyen yang baru dikeluarkan semalam, esok sudah berada di dalam almarinya. Memang gadis ini gila fesyen!
“ Aku kenal Pak Cik Nam Gil tu. Berbanding dengan Presiden Park, dia lebih banyak meluangkan masa dengan Ji Hoon. Jika Ji Hoon ke mana-mana atas urusan kerja, pasti dia ada sama. Jadi, aku fikir dia mesti tahu di mana Ji Hoon berada sekarang,” jelas Chae Rin. Kereta memasuki ruang parkir di tingkat atas. Tidak banyak kenderaan yang berada di situ. Mungkin kebanyakan pelanggan kompleks beli belah itu menggunakan ruang parkir di tingkat bawah. Pintu kereta dibuka.
“ Macam mana kalau bekas kekasih kau tu ada di sini?”
Soalan Hyun Min mengejutkan Chae Rin. Dia yang baru sahaja melangkah, terus mati langkahnya. Wajah Hyun Min dipandang serius.
“ Apa maksud kau?” keras dia bertanya. Hyun Min tersenyum sinis.
“ Aku cakap je,” katanya selamba sebelum mendahului Chae Rin berjalan masuk ke dalam bangunan itu. Dengusan Chae Rin kuat sampai di telinganya.
“ Kau tahu ke kat mana dia sekarang?” tanya Chae Rin lagi. Kata-kata Hyun Min mendatangkan sangsi bagi dirinya. Kenapa kata-kata itu pula yang terpacul keluar. Adakah Hyun Min tahu di mana Ji Hoon berada sekarang? Mustahil!
Hyun Min tidak berkata apa-apa sebaliknya terus berjalan. Perilaku Hyun Min meningkatkan suhu hati Chae Rin yang sudah sedia mendidih. Tangannya kuat direntap Chae Rin. Hyun Min terpaksa menoleh.
“ Kalau kau tahu dia kat mana sekarang, cakaplah!” gesa Chae Rin. Hyun Min menggelengkan kepalanya. Wajahnya berubah riak. Kelihatan tegang.
“ Kau fikir aku ni pengasuh dia ke untuk tahu dia di mana?” soal Hyun Min tanpa menghiraukan amarah Chae Rin. Tangannya dilepaskan daripada genggaman gadis itu. Sakit hatinya kerana Chae Rin lebih mengutamakan bekas kekasihnya daripada dia.
Memang benar dia dan Chae Rin telah berpisah. Tetapi, dalam diam-diam dia cuba mendapatkan gadis itu kembali. Sudah lama dirasakan hidupnya kosong. Walau beribu-ribu gadis yang melutut di kakinya, dia tetap mahukan Chae Rin walaupun gadis itu tidak cintakannya malah dia tahu gadis itu juga bukannya seorang pencinta yang setia. Jika mereka kembali bersama, mungkin pada masa akan datang mereka akan berpisah kembali.
Muka Chae Rin sudah masam. Langkahnya diatur panjang meninggalkan Hyun Min. Hyun Min ketawa kecil. Dia hanya mengekori gadis itu daripada belakang. Asyik dia bersiul riang sebelum dia hampir melanggar Chae Rin. Tiba-tiba sahaja gadis itu statik tidak bergerak.
“ Kenapa dengan kau ni? Aku boleh jatuh terlanggar kau, tau tak?” Hyun Min beralih ke tepi. Wajah Chae Rin yang kelihatan terkejut ditenung lama. Berkerut-kerut dahinya.
“ Kau tengok apa tu?”
Hyun Min turut meluruskan pandangan ke hadapan. Mencari-cari sesuatu yang mungkin boleh mengakukan Chae Rin seperti patung. Tidak perlu lama dia mencari. Seperti mana Chae Rin, Hyun Min turut kaku di tempatnya sebaik sahaja dia melihat apa yang disaksikan oleh Chae Rin.
“ Tak mungkin…”
JI HOON tertoleh-toleh ke belakang berulang kali. Topinya direndahkan sedikit menutupi wajah. Dia memasuki sebuah restoran yang agak lengang. Tidak ramai pelanggan yang berada di dalam restoran itu. Keadaan itu memudahkan dia untuk menemui Pak Cik Nam Gil.
Pak Cik Nam Gil yang ternampak kelibat Ji Hoon memasuki restoran itu segera melambai kepada lelaki itu. Ji Hoon pantas mendekati lelaki tua itu. Pak Cik Nam Gil mengambil tempat duduk yang agak tersorok.
“ Pak cik nak beritahu saya apa sehingga cemas macam ni?” soal Ji Hoon sebelum dia melabuhkan duduk bertentangan dengan Pak Cik Nam Gil. Kolar bajunya diangkat melindungi wajah.
Pak Cik Nam Gil tidak terus menjawab soalan lelaki itu sebaliknya mengemukakan satu pertanyaan buat Ji Hoon. Pertanyaan dibalas pertanyaan.
“ Setakat ni, ada sesuatu terjadi tak?” tanya Pak Cik Nam Gil. Lelaki itu kelihatan tidak senang duduk. Dahi Ji Hoon berkerut kehairanan.
“ Kenapa, pak cik? Ada sesuatu dah berlaku ke?”
Ji Hoon sudah mengandai dalam hati. Tentu ada sesuatu yang serius telah berlaku. Jika tidak, masakan Pak Cik Nam Gil tergesa-gesa mahu menemuinya. Seawal tujuh pagi tadi dia telah menerima panggilan Pak Cik Nam Gil. Tergesa-gesa lelaki itu mahu berjumpa dengannya. Apabila ditanya sebabnya, Pak Cik Nam Gil tidak lekas menjawab sebaliknya hanya meminta Ji Hoon menemuinya secepat mungkin.
“ Sebenarnya… err… pak cik tak tahu nak cakap macam mana,” kata Pak Cik Nam Gil. Dia benar-benar kelihatan gelisah. Sudah beberapa kali dia membetulkan kot yang dipakainya.
“ Pak cik beritahulah. Tentu perkara tu penting sangat, kan?” duga Ji Hoon. Pak Cik Nam Gil mengangguk perlahan. Dia tunduk seketika sebelum kembali memandang anak muda di hadapannya itu.
“ Pak cik?” panggil Ji Hoon sekali lagi. Lelaki itu masih lagi mendiamkan diri,
“ Pak cik?”
Pak Cik Nam Gil mengeluh. Berat keluhan itu terhembus keluar. Hendak tidak hendak terpaksa juga dia memberitahu Ji Hoon. Dia berdehem berkali-kali sebelum membuka mulut.
“ Sebenarnya… Presiden Park dah tahu tuan ada di sini.” Akhirnya kata-kata itu keluar juga daripada mulut Pak Cik Nam Gil. Ji Hoon terpana. Matanya terbeliak. Dia menelan liur. Nampaknya, semua dah terbongkar tapi bagaimana?
“ Macam mana mak saya boleh tahu?” tanya Ji Hoon perlahan tetapi tegas nadanya. Mustahil ibunya boleh tahu jikalau tiada orang yang memberitahunya. Lainlah jika ibunya ternampak dia di mana-mana. Kalau ingin dikatakan Pak Cik Nam Gil yang membocorkan rahsia, mati hidup semula pun dia tidak akan percaya. Lelaki itu terlalu setia dengan dirinya. Dia kenal siapa Pak Cik Nam Gil.
“ Malam semalam, pak cik nak jumpa ibu tuan di dalam pejabatnya. Belum sempat pak cik masuk, pak cik dengar suara Cik Lee di dalamnya,” jelas Pak Cik Nam Gil. Jika tadi Pak Cik Nam Gil yang gelisah, kini dia pula yang tidak senang duduk.
“ Maksud pak cik, Chae Rin yang tahu saya ada di sini?” tanya Ji Hoon. Dalam hatinya sudah dikutuk gadis itu. Macam mana gadis itu dapat tahu? Jika ibunya sendiri yang tahu di mana keberadaan dia sekarang, dia tidak kisah. Tetapi, Chae Rin pula yang menjadi tukang lapor pada ibunya. Tidak bolehkah dia damai dalam hidupnya tanpa gangguan gadis itu?
“ Pak cik tak berapa dengar butiran percakapan mereka, tetapi daripada apa yang sedang dibicarakan, ianya menyentuh soal tuan. Pak cik dengar Cik Lee kata dia tahu tuan ada di sini. Bagaimana dia mendapat tahu, pak cik tak pasti,” cerita Pak Cik Nam Gil lagi. Dia risau dengan keadaan Ji Hoon. Lelaki itu kelihatan seperti menanggung amarah yang amat.
Ji Hoon menggelengkan kepala berulang kali. Dia masih memikirkan bagaimana gadis itu mendapat tahu keberadaan dia. Lama dia memerah otak sebelum dia teringat sesuatu.
“ Saya rasa saya tahu macam mana Chae Rin boleh mengetahuinya,” perlahan Ji Hoon menutur ayat itu. Kali ini matanya bukan pada Pak Cik Nam Gil lagi, sebaliknya pada lantai restoran. Dia berasa tegang dan seperti tidak dapat mengawal perasaannya.
“ Macam mana?” soal Pak Cik Nam Gil pula. Ingin juga dia tahu apa sebabnya. Ji Hoon menghela nafas berulang kali. Dia meraup wajahnya.
Mata Ji Hoon kembali pada wajah tua di hadapannya kini. Pak Cik Nam Gil kelihatan teruja mahu mengetahui sebabnya.
“ Tengah hari semalam, lepas pak cik pulang dari rumah saya, saya dan Eun Hee ke pasar raya. Macam biasalah, beli barang-barang dapur. Kalau nak difikirkan, itu sahaja tempat yang logik untuk Chae Rin terserempak dengan saya. Kalau nak dikatakan di kawasan rumah saya, apa tujuan dia untuk ke sana pula? Kalaulah betul dia nampak di situ, masalah boleh timbul...” Ji Hoon berhenti seketika. Dia beralih pandang pada luar restoran. Menembusi dinding kaca restoran itu.
“ Apa masalahnya?”
Ji Hoon tidak berkata apa-apa. Dia betul-betul tidak tahu apa yang patut dibuat sekarang. Perlahan-lahan, dia bersuara.
“ Eun Hee...”
Riak wajah Pak Cik Nam Gil berubah terkejut. Dia langsung tidak terfikir bahawa jika Presiden Park mendapat tahu bahawa Ji Hoon telah berkahwin tanpa pengetahuannya, pasti wanita itu mengamuk sakan. Pak Cik Nam Gil terangguk-angguk.
“ Memang masalah yang besar.”
Ji Hoon mengiakan. Fikirannya melayang pada Eun Hee yang berada di rumah sekarang. Janganlah ada apa-apa yang buruk menimpa gadis itu semasa ketiadaan dia.
EUN HEE duduk bersimpuh di atas lantai. Bakul yang penuh berisi pakaian terletak di sisinya. Teratur tangannya melipat pakaian satu demi satu tanpa tergesa-gesa. Pakaian dia dan Ji Hoon diasingkan. Yang mana perlu digosok, dia letak di atas katil. Sekejap lagi, dia akan beralih ke papan penggosok pula. Lama dia melakukan kerjanya. Bakul itu juga sudah hampir kosong.
Pakaian yang sudah berlipat elok itu dibawa ke almari. Sesudah dia menyusun pakaian tersebut, dia turun pula ke tingkat bawah. Dia mahu menyediakan bahan-bahan untuk makan tengah hari. Dia sudah berkira mahu memasak apa untuk tengah hari ini. Baru sahaja kakinya memijak lantai dapur, bunyi loceng pintu ditekan sampai di telinganya. Eun Hee beralih arah ke ruang tamu pula.
Dia berjalan perlahan-lahan ke ruang tamu. Loceng pintu ditekan lagi. Eun Hee mula tertanya-tanya. Siapa pula yang datang ke rumahnya pagi-pagi sebegini? Entah kenapa hatinya terasa berdebar-debar. Janganlah ada perkara buruk yang akan berlaku.
Tombol pintu dicapai. Sebaik sahaja daun pintu dikuak luas, dia...
“ Kak Eun Hee!” Ryu Min meluru untuk mendakap gadis itu. Eun Hee mengurut dada. Terkejut dia dengan sergahan Ryu Min secara tiba-tiba.
“ Kak Eun Hee terkejut ke? Maaflah,” tutur Ryu Min sambil tersengih. Dakapan dia pada Eun Hee dilepaskan. Eun Hee menguntum senyum.
“ Ryu Min bosanlah kat rumah. Ayah tak ada pergi kerja. Ryu Min pulak cuti sekolah hari ni,” adu Ryu Min. Wajahnya dimonyokkan. Eun Hee membawa Ryu Min ke ruang tamu. Pintu rumah ditutup kembali.
“ Kak Eun Hee dah tak pergi kedai bunga ke?” soal Ryu Min. Biasanya, pada waktu-waktu begini, gadis itu masih berada di kedai bunga mendiang ibu Eun Hee. Kedatangan dia ke rumah ini juga sekadar mengagak bahawa Eun Hee barada di rumah. Tidak sangka pula tekaan dia betul.
Eun Hee menggeleng. Kini dia jarang ke kedai bunga itu kerana merasakan tugasnya kini hanyalah sebagai seorang suri rumah, bukannya penjual bunga. Ji Hoon juga ada meminta dia berada di rumah sahaja dan tidak perlu bekerja lagi. Alasan Ji Hoon, keadaan kewangan dia sudah lebih daripada cukup untuk menyara hidup mereka berdua.
Dia beralih ke dapur pula. Meninggalkan Ryu Min yang leka menonton televisyen. Ada siaran untuk kanak-kanak pada waktu ini. Dia membiarkan sahaja kanak-kanak itu menonton tanpa gangguan.
Pintu peti sejuk dibuka. Sayur-sayuran dan daging ayam dibawa keluar dan diletakkan di tepi sinki. Sebotol madu asli dicapai dari dalam kabinet dapur. Hajatnya mahu memasak ayam madu untuk makan tengah hari ini. Dia juga mahu Ryu Min menyertai makan tengah hari mereka. Sudah lama mereka tidak makan bersama-sama semenjak dia bergelar isteri Ji Hoon.
Bunyi loceng pintu ditekan kedengaran lagi. Dahi Eun Hee berkerut. Dia menghentikan kerjanya dan berjalan ke ruang tamu. Ryu Min sudah meluru ke hadapan pintu.
“ Mungkin Abang Ji Hoon yang pulang,” duga Ryu Min. Betul juga kata Ryu Min. Sudah lama Ji Hoon keluar dari rumah. Entah ke manalah lelaki itu pergi.
Tombol pintu dipulas. Ryu Min sudah bersuara girang.
“ Abang Ji Hoon ke ma...“
Kata-katanya putus di situ. Bukan wajah Ji Hoon yang menyapa pandangan mereka berdua, sebaliknya dua orang wanita yang berpakaian anggun sedang berdiri di hadapan muka pintu. Seorang kelihatan hampir sebaya dengan Eun Hee sedangkan yang seorang lagi boleh dikatakan berpangkat ibunya. Dahi Eun Hee berkerut. Siapa mereka?
“ Perempuan nilah penyebab Ji Hoon melarikan diri!” keras wanita muda itu bersuara. Jarinya dituding tepat pada wajah Eun Hee yang sedia kebingungan. Dia mula keliru.
Wanita yang agak berusia itu mengerutkan dahinya. Tanpa dipelawa mereka berdua melangkah masuk ke dalam rumah itu. Ryu Min berlari bersembunyi di belakang Eun Hee. Eun Hee menelan liur.
Siapa mereka? Apa salahnya sehingga ditengking sebegitu rupa? Malah, mereka berani masuk ke dalam rumahnya tanpa dipelawa. Dan, wanita muda itu menyebut nama suaminya. Adakah...
Pang!
Eun Hee tergamam. Perit rasa pipi kanannya akibat tamparan wanita muda itu. Ryu Min terkejut dengan perilaku wanita itu. Wanita tua yang berdiri di sisi gadis itu juga kelihatan terkejut dengan tingkah laku mendadak temannya itu.
“ Chae Rin! Jangan tampar dia!” marah wanita tua itu. Gadis yang digelar Chae Rin itu tidak mengendahkan larangan wanita tua terbabit sebaliknya terus menatap wajah Eun Hee tajam.
“ Kalau bukan sebab kau, Ji Hoon tak akan lari. Kau tahu tak!” Kuat tengkingan wanita muda itu sehingga bahu Eun Hee terhinggut kerana terkejut. Tapak tangannya diletak pada pipi yang masih terasa pijar.
Wanita yang dipanggil Chae Rin itu berjalan mendekati dia. Dekat sahaja jarak mereka berdua. Jika Eun Hee melangkah setapak ke hadapan, dia boleh terlanggar gadis itu. Wajah wanita muda itu membengis.
“ Aku akan ajar kau sebab kau rampas Ji Hoon daripada aku! Rasakan!” Tangan Chae Rin sudah dibawa ke atas. Dia mahu menampar wajah gadis yang dilihatnya bersama dengan Ji Hoon semalam. Sakit hatinya apabila melihat adegan mesra mereka berdua. Tapak tangannya laju dibawa ke pipi Eun Hee dan...
Pap!
Chae Rin tergamam. Kuat tangannya digenggam seseorang bagi menghalang tindakannya. Dia memalingkan wajah ke tepi, mahu melihat siapa yang begitu berani menghalang tindakannya. Matanya terbeliak sebaik sahaja melihat wajah itu.
“ Jangan kau berani sentuh dia!” keras Ji Hoon bersuara.
Chae Rin terkejut. Begitu juga dengan Presiden Park yang sudah terlopong. Bengis muka lelaki itu menikam wajahnya. Chae Rin menelan liur. Gentar.
9 salam untukku:
woo!!!
chae rin kena marah!
bgus2x
nak lg ;D
Waa..
Dramatik sungguh msa Ji Hoon halang Chae Rin..
;D
Best2!
haha!
best sangat!
wah review dlm bahasa melayu, ini sudah sangat bagus,hanakimi, fighting!!!
wah! mmg best!!! hehehe x sabar nk tunggu sambungan seterusnya....
awk byk cte2 mcm niklu di dramakan msti best... tahniah!!! teruskan menulis..
to aoi, moon, yuki-chan n' matt > arigatou ;D
to nick> drama? awakla jd pgarah. biar hantu2 tu masuk sekali :D
sy jd pengarah why not? tp awk kna jd penerbit la.... hhehehehe
ye ye!! chea rin kene marah.. padan muka.. sesuka ati dia je penampar org.. huh!! suka ji hoon!!!
Post a Comment