My Status Now

offline
pliz komen ;D





Friday, April 2, 2010

Endless Love 22


TERASA ada cahaya yang tepat mengenai wajahnya. Perlahan-lahan Eun Hee membuka mata. Alamak! Segera dia bangkit daripada pembaringannya. Matahari sudah terik memancar. Jam di hujung katil segera diambil. Terbeliak biji matanya apabila melihat angka sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi.

         Macam manalah aku boleh lewat bangun ni?

         Tangannya mencari tubuh suaminya tanpa melihat di sisi. Dia mahu mengejutkan Ji Hoon daripada lena. Pasti lelaki itu boleh terlewat jika tidak dikejutkan dengan segera.

        Eh?

         Terasa sejuk sahaja pada tempat tidur Ji Hoon. Eun Hee menoleh ke sisi. Terkejut dia apabila melihat lelaki itu tiada di tempat tidur. Dia melihat pula pada almari. Sut pejabat yang digosok semalam masih elok tergantung di hadapan almari. Eun Hee turun daripada katil.

         Entah ke manalah  suaminya pergi awal-awal pagi sebegini. Apa yang lagi menghairankan Eun Hee, kenapa dia tidak dikejutkan oleh Ji Hoon jika benar lelaki itu sudah lama bangun.

         Eun Hee masuk ke bilik air. Dia menggosok gigi sebelum mencuci mukanya dengan air suam. Tuala yang sudah tersedia diambil lalu dilap perlahan pada wajahnya. Dia berhasrat untuk turun ke dapur.

         Dia tergamam sebaik sahaja masuk ke dapur. Suaminya sedang berada di dapur. Malah lelaki itu sedang menyediakan sarapan pagi! Perlahan-lahan Eun Hee mendekati suaminya. Derap tapak kakinya menarik perhatian Ji Hoon.

         “ Eun Hee dah bangun? Tengok apa yang abang beli. Roti segar, panas lagi,” kata Ji Hoon sebaik sahaja wajah isterinya dijamah dalam pandangan. Dahi Eun Hee berkerut.

         “ Tak payahlah nak hairan. Abang pergi beli di kafe Zachary tadi, tart telur pun abang ada beli sekali. Duduklah,” kata Ji Hoon lagi. Kerusi dibawa keluar sebelum dia menarik Eun Hee duduk.

         Eun Hee mengangguk sekilas. Wajah Ji Hoon tidak lekang daripada pandangan. Lelaki itu kelihatan berbeza daripada semalam. Kelihatan lebih relaks dan ceria. Berlainan sekali dengan semalam, kelihatan muram.

         “ Kenapa asyik tenung abang je? Takkanlah Eun Hee marah sebab abang tak kejutkan Eun Hee? Tengok ni, abang siap sediakan sarapan lagi,“ usik Ji Hoon. Dia menuang teh panas ke dalam cawan sebelum disua kepada isterinya.

         Eun Hee mengukir senyum lalu menggeleng perlahan. Buat apa dia marah? Dia senang dengan perubahan mood Ji Hoon pada pagi ini. Inilah suaminya yang sering menyakatnya, bukannya seorang yang sentiasa muram seperti semalam.

         “ Eun Hee nak apa? Roti bermentega, sandwich atau tart telur?” tanya Ji Hoon apabila Eun Hee masih belum menjamah makanan. Eun Hee tersentak. Senyumannya dimatikan. Dia mengambil dua biji tart telur lalu diletakkan di atas pinggan.

         Ji Hoon ketawa kecil. Dia menyisip sedikit air teh itu sebelum kembali bersuara.

         “ Abang bangun sebelum pukul enam lagi. Bila tengok Eun Hee tidur lagi, pelik juga abang sebab biasanya waktu macam tu Eun Hee dah bangun. Abang keluar berjoging di pantai sebelum ke kafe Zachary. Manalah tahu bila abang balik, Eun Hee tidur lagi. Eun Hee pun nampak letih sangat,” katanya perlahan. Eun Hee mengangguk. Mulutnya masih mengunyah makanan.

         Ji Hoon ketawa lagi. Dia turut mengunyah makanan. Sebenarnya, bukan itu sahaja sebab kenapa dia beria-ria mahu menyediakan sarapan pada pagi ini. Bila memikirkan kembali apa yang dia lakukan malam semalam, rasa bersalah mula menyelubungi hati. Dia tahu Eun Hee tidak lena tidur semalam kerana memikirkan sikap dia yang berlainan semalam. Dia yang perasan bagaimana gadis itu terkebil-kebil dalam kegelapan. Hanya Eun Hee saja yang tidak perasan bahawa dia turut berjaga.

         “ Abang minta maaf sebab risaukan Eun Hee semalam, ya?”

         Eun Hee menggeleng. Dia tidak perlukan ucapan maaf Ji Hoon. Perubahan sikap Ji Hoon yang kembali ceria sudah cukup buat dirinya. Dia sendiri tidak betah dengan sikap muram Ji Hoon semalam. Dia lebih biasa dengan usikan dan perwatakan lelaki itu yang ceria.

         “ Eun Hee makanlah dulu. Abang nak naik tukar baju, lepas ni nak ke pejabat pula. Makan banyak-banyak. Eun Hee tu kurus sangat, tahu tak?” kata Ji Hoon. Perlahan dia menepuk bahu isterinya sebelum bergegas naik ke atas. Eun Hee mencebik seketika.

         Agak-agak, apa sebenarnya yang berlaku sehingga sikap Ji Hoon berubah semalam? Walau dia gembira kerana lelaki itu kini kembali ceria, dia tetap mahu tahu. Tentu masalah yang dihadapi Jin Hoon kali ini amat besar.

         Tolonglah, jangan kerana masalah itu, hubungan aku dengan suamiku renggang. Tolonglah...

         Eun Hee melihat ke atas. Ji Hoon masih belum turun dari tingkat atas. Masih bersiap barangkali. Dia menggeleng perlahan. Ingatan dahulu kembali menjengah minda.


“ MACAM mana boleh jadi macam ni?”

         Kedengaran keluhan terhembus. Berat sekali bunyinya. Presiden Park masih menanti bicara anaknya. Boleh hilang kesabarannya jika Ji Hoon kekal mendiamkan diri.

         “ Maaf, mak. Saya dan Pak Cik Nam Gil dah lama siasat perkara ni tapi sampai sekarang tak  ada suspek yang boleh disyaki,” perlahan dan teratur Ji Hoon menutur kata. Kali ini Presiden Park pula yang mengeluh.

         “ Nak tak nak, mak terpaksa juga beritahu Pengerusi Han. Walau dia mahu singkirkan kita daripada pengurusan projek itu, tak apa-apa sebab kita tak rugi. Kita lebih berpengalaman dalam bidang ni manakala mereka baru saja mengorak langkah dalam bidang ni. Lagi pun, kerjasama antara kita dengan Han Group hanya untuk beberapa tahun saja,” kata Presiden Park cuba menenangkan resah yang melanda anak lelakinya. Ji Hoon mengangguk. Dia menguman perlahan.

         “ Nampaknya, orang tu memang sengaja mahu pihak atasan sedar tentang perkara ni. Apa yang lebih menghairankan, macam mana dia lakukan perkara ni. Seolah-olah semuanya sudah lama dirancang,” kata Ji Hoon lagi.

         “ Tak apalah. Mak tahu kamu komited dengan syarikat kita tapi tak payahlah risau macam ni. Mak sendiri akan uruskan soal ni, ya?” perlahan Presiden Park bersuara. Ji Hoon menguman lagi.

         “ Baiklah kalau mak cakap macam tu. Saya pergi dulu, ada mesyuarat sebentar lagi.”

         “ Baiklah. Selamat tinggal.”

         Sesudah menjawab ucapan selamat ibunya, talian segera dimatikan. Presiden Park mengeluh. Pak Cik Nam Gil yang mendengar segala perbualan mereka sebentar tadi masih mendiamkan diri. Presiden Park memicit kepalanya yang terasa berdenyut.

         “ Sepanjang lebih separuh abad kumpulan syarikat kita beroperasi, inilah kali pertama kita dilanda masalah sebegini. Siapalah yang nak sangat tengok kita jatuh, saya pun tak tahu,” kata Presiden Park. Suaranya direndahkan.

         “ Pak cik akan lebih giat menjalankan siasatan, puan. Tapi, apa yang lebih pak cik risaukan jika semua ini bertujuan untuk mengenakan seseorang. Kita tidak tahu siapa musuh dalam selimut kita. Kita kena lebih berhati-hati,” nasihat Pak Cik Nam Gil. Presiden Park mengangguk lemah.

         “ Peperangan baru saja bermula tapi malangnya kerana kita tidak mengenali siapa musuh kita. Pasti kita boleh menyerang balik kalau kita dapat mengetahui ular mana yang ingin melihat kita jatuh. Nampaknya, ular itu tidak akan keluar daripada sarangnya dengan mudah. Ia akan kekal menunggu sebelum mematuk mangsanya buat kali terakhir,” kata Presiden Park. Penuh makna setiap kata-katanya kali ini.

         “ Pak cik lebih bimbangkan tuan muda, puan. Adakah elok jika pak cik ke sana? Mungkin lebih senang bagi pak cik menjalankan siasatan kalau pak cik turut berada di sana,” kata Pak Cik Nam Gil. Pantas Presiden Park menggeleng.

         “ Kita biarkan saja ular itu bertindak dulu. Pak cik akan ke sana bila masanya sesuai,” jelas Presiden Park. Pak Cik Nam Gil mengangguk walau dia tidak bersetuju. Presiden Park merupakan majikannya manakala dia hanyalah pekerja sahaja.

         “ Pak cik boleh keluar sekarang. Tolong sediakan kereta. Saya mahu ke Han Group, perkara ini harus dimaklumkan dengan segera kepada Pengerusi Han. Sedikit sebanyak imej syarikat kita boleh terjejas hanya kerana permainan musuh kita ni.”

         Pak Cik Nam Gil mengangguk lalu memberi tunduk hormat. Penuh tertib dia keluar dari pejabat itu.

         Presiden Park berjalan menuju ke tingkap. Dia melihat pemandangan di luar. Sudah banyak bangunan pencakar langit kelihatan gah di luar. Dia mengeluh perlahan.

         “ Ular yang berbisa biasanya akan menyerang musuhnya tanpa menunggu namun ular yang tidak berbisa akan lebih tenang dalam tindakannya dan lebih licik. Kita perlu fikirkan ular yang lebih licik. Strategi perang kali ini haruslah mengikut rentak ular licik itu. Selamat berjaya, anakku,” tutur Presiden Park perlahan. Dia berdiri berpeluk tubuh. Matanya masih melihat di luar.


AIR yang terhidang di hadapan tidak dijamah. Perhatian dia lebih kepada lelaki yang sedang duduk bertentangan dengannya. Walau berhadapan dengan dia, lelaki itu kelihatan tenang sahaja.

         “ Serius sampai macam tu sekali?” tanya Hyun Min. Ji Hoon mengangguk.

         Selepas selesai bermesyuarat, dia terus ke pejabat Hyun Min demi membincangkan masalah itu. Lelaki itu mempelawa dia ke kafe yang tersedia di resort itu. Ji Hoon hanya menurut sahaja.

         “ Sudah hampir sebulan saya dan Pak Cik Nam Gil menjalankan siasatan namun sampai sekarang kami tidak dapat mengesyaki siapa yang terlibat,” tutur Ji Hoon tenang dan teratur. Hyun Min menghela nafas.

         “ Mana-mana syarikat pun akan mengalami masalah yang sama. Kedua-dua syarikat akan mengalami kesannya.”

         “ Maafkan kecuaian pihak kami.”

         Pantas Hyun Min menggeleng.

         “ Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kita kena terus menyiasat hal ni. Kewangan resort ni masih terkawal. Saya percaya jumlah sebenar wang yang digelapkan bukannya hanya sebanyak itu, namun lebih banyak lagi,” kata Hyun Min lagi. Ji Hoon mengangguk.

         “ Ini merupakan kali pertama Royal Imperial Group bekerjasama dengan Han Group. Kami tidak mahu masalah ini menjejaskan hubungan kedua-dua belah pihak,” kata Ji Hoon. Dia tunduk hormat. Pantas Hyun Min mengangkat tangan.

         “ Ini bukannya masa untuk mengatakan sesuatu seperti itu. Kita akan sama-sama menyiasat kes ini, Encik Park,” ucap Hyun Min.

         “ Saya mahu pulang ke pejabat. Masih ada urusan yang harus saya selesaikan,” tutur Ji Hoon sopan. Dia bangun daripada duduknya namun dihalang oleh Hyun Min.

         “ Ya?”

         Hyun Min mengukir senyum. “ Boleh tak kalau kita jangan terlalu formal?”

         Ji Hoon ketawa kecil lalu mengangguk. “ Awak boleh panggil saya Ji Hoon.”

         “ Terima kasih. Dan saya ada satu soalan lagi.”

         Kening Ji Hoon terjungkit sebelah, tertanya-tanya apa soalan yang akan diutarakan. Hyun Min nampak teragak-agak mahu melontarkan soalan. Tepat matanya menikam wajah Ji Hoon.

         “ Awak masih cintakan Chae Rin?”

         Dahi Ji Hoon berkerut. Kadang-kadang dia akan terlupa bahawa Hyun Min merupakan kekasih Chae Rin sewaktu belajar di luar negara dahulu. Perlahan-lahan dia menggeleng. 

         “ Cinta saya hanya untuk isteri saya. Chae Rin hanyalah kisah lampau malah sewaktu dia meluahkan perasaannya kepada saya, saya masih menganggap dia sebagai adik saya. Dia tidak ubah seperti seorang adik. Jangan bimbang,” kata Ji Hoon perlahan. Senyuman masih tidak lekang daripada wajahnya.

         Hyun Min mengeluh. “ Maaf. Dia tinggalkan awak sebab saya.”

         Bagaikan tidak percaya sahaja Ji Hoon dengan kata-kata yang keluar daripada mulut Hyun Min. Jarang bagi seorang lelaki itu meminta maaf daripada kaum mereka sendiri jika membabitkan perempuan.

         “ Awak tak perlu minta maaf. Saya tak salahkan awak tapi saya mengaku, hati saya sakit bila Chae Rin putuskan hubungan kami. Namun sekarang saya sudah punya seorang isteri yang setia dan itu sudah cukup buat saya. Chae Rin bukan milik siapa-siapa, awak boleh memiliki dia.”

         Hyun Min mengangguk. Ji Hoon mengangguk sekilas sebelum keluar dari kafe itu. Lega hatinya dengan pengakuan Ji Hoon. Sudah jelas bahawa Chae Rin yang beria-ria mahukan Ji Hoon sedangkan lelaki itu sama sekali tidak pernah berniat untuk kembali ke pangkuannya lagi. Sekurang-kurangnya, pengakuan Ji Hoon sedikit sebanyak menjadi jaminan untuk dia mengambil hati gadis itu kembali.      

4 salam untukku:

epy elina said...

hohoohoho...
sape la msuh dlm slimut 2???
hyun min brsahala pkat chae rin.....

Sharinginfoz said...

singgah jap.. memang suka menulis ya.... teruskan..

E-mail Akan Pupus????

Sedap Ke Makan McD????

Unknown said...

to epy> siapa ye? tggu...
Hyun Min! Go! Go!

to Sharinginfoz> ha'ah.. mmg minat sgt

akira_bita said...

hana, huh! geram sungguh la.. spelah nak nyusahkan ji hoon tu?? sian dia...

hyun min mungkin boleh dpt wanita lebih baik dari chea rin kot.. huhuhuh.. just an oppinion... hahaha!! sbb hyun min tu baik lah... heheheh

smbg lg hana..!!

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs