My Status Now

offline
pliz komen ;D





Friday, January 1, 2010

Endless Love 8


JERITAN Chae Rin yang bergema mengejutkan pembantu rumahnya yang sedang mengemas bilik sebelah. Chae Rin benar-benar terkejut dengan berita yang disampaikan. Dia mundar-mandir di dalam bilik. Telefon masih lagi melekap pada telinga. Geramnya! Dahlah awal-awal pagi lagi dia diganggu. Berita yang diperoleh pula hanyalah menyakitkan hati sahaja!

         “ Batal? Kenapa?” tanyanya tidak percaya. Suaranya masih lagi meninggi.

         Pak Cik Nam Gil yang berada di sebelah sana talian sudah menjarakkan telefon sekaki jauh daripada telinganya. Jeritan Chae Rin tadi telah menyakitkan telinganya. Presiden Park yang minta dibatalkan. Presiden Park sudah beritahu pada bapa Cik Lee dan Encik Lee sudah setuju.”

         Pagi itu, Pak Cik Nam Gil terus menelefon Chae Rin untuk memberitahu bahawa perkahwinan antara Ji Hoon dan dia akan dibatalkan. Arahan Presiden Park sebelum dia keluar dari pejabat wanita itu tengah hari semalam masih jelas di dalam mindanya.

         “ Apa alasannya? Cuba beritahu saya apa alasannya,” kata Chae Rin lagi dengan nada yang kuat. Tidak langsung berniat untuk merendahkan nada suaranya. Dia mahukan penjelasan. Impiannya untuk berkahwin dengan Ji Hoon musnah dan dia tidak dapat menerima hakikat itu. Dia mesti mengahwini Ji Hoon! Mesti!

         “ Maaf, Cik Lee. Pak cik tidak dapat menjelaskannya dengan lebih lanjut. Pak cik rasa, lebih baik Cik Lee tanya sendiri pada bapa cik.”

         “ Apa? Sudahlah kalau macam tu! Selamat tinggal!” Chae Rin segera memutuskan talian tanpa menunggu Pak Cik Nam Gil menghabiskan percakapannya. Hatinya panas. Senangnya perancangan perkahwinan dia dan Ji Hoon dibatalkan. Tanpa diberitahu sebarang sebab pula tu!

         Di pejabat Ji Hoon, Pak Cik Nam Gil hanya mengeluh sambil menggelengkan kepalanya. Kesal dengan sikap tidak sopan Chae Rin. Gadis itu begitu berani meninggikan suara pada seorang tua sepertinya. Tiada rasa hormat langsung!

         “ Memang patutlah Ji Hoon tak mahukan kau. Harapkan cantik je tapi perangai macam monyet dalam hutan. Terpekik terlolong macamlah dunia ni kau punya,” kata Pak Cik Nam Gil sendirian. Dia menggelengkan kepala.

         Nasib baik Presiden Park membatalkan perkahwinan tersebut. Ji Hoon dan Chae Rin memang tidak padan! Ji Hoon seorang yang menghormati orang tua dan orang-orang disekelilingnya tanpa mengira darjat sedangkan Chae Rin langsung tiada rasa hormat pada orang lain, apatah lagi dengan orang yang lebih tua daripadanya. Pak Cik Nam Gil ketawa dalam hati mengenangkan apa yang dikatakan terhadapa perilaku Chae Rin tadi. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan monyet di zoo. Pak Cik Nam Gil ketawa geli hati.


CEK yang sudah ditandatangani itu diserahkan kepada lelaki di hadapannya. Pak Cik Dam Shik mengeluh. Dia memerhati pada nilai yang ditulis pada cek tersebut. Matanya terbeliak.

         “ Ini sekali ganda daripada yang pak cik perlukan,” kata Pak Cik Dam Shik tidak percaya.

         Ji Hoon mengangguk. “ Anggaplah itu sebagai hadiah daripada saya. Mungkin kalau pak cik bayar lebih daripada jumlah asal, ceti haram itu takkan ganggu pak cik lagi. Macam mana dengan permintaan saya? Boleh ditunaikan?”

         Wajah Pak Cik Dam Shik kelihatan muram. Cek yang diserahkan tadi dihulur kembali pada Ji Hoon. Ji Hoon kehairanan.

         “ Kenapa, pak cik?”

         “ Pak cik tak jadi minta tolong encik. Pak cik tak mahu korbankan Eun Hee sebagai balasannya. Pak cik tak nak hidup Eun Hee susah,” jelas Pak Cik Dam Shik. Dia tidak mahu mengorbankan Eun Hee sebagai balasan atas pertolongan Ji Hoon. Nasib gadis itu sudah cukup kasihan.

         Keluhan terhembus dari mulut Ji Hoon. Cek itu kembali dibawa ke genggaman Pak Cik Dam Shik.

         “ Saya nak pak cik fikir sesuatu. Sama ada pak cik serahkan kepada lelaki tu untuk dijadikan pelacur atau pak cik izinkan Eun Hee jadi isteri saya? Kita tak akan tahu apa yang akan menimpa Eun Hee kalau dia dijadikan pelacur. Kalau dia jadi isteri saya, sekurang-kurangnya pak cik tahu yang dia akan selamat jika bersama saya,” kata Ji Hoon sopan. Dia mengalih pandang pada luar kafe. Pandangannya menembusi kaca kafe itu. Menunggu Pak Cik Dam Shik menyambung bicara.

         “ Memang betul apa yang encik katakan, tapi pak cik tidak dapat jamin yang Eun Hee akan bahagia dengan encik. Apatah lagi encik tidak cintakan dia. Encik cuma buat permintaan tu tanpa berfikir panjang! Pak cik tak nak Eun Hee sengsara kalau suatu hari nanti encik buang dia daripada hidup encik,” balas Pak Cik Dam Shik.

         “ Pak cik fikir saya minta pak cik kahwinkan saya dengan Eun Hee tanpa sebab? Hanya untuk suka-suka? Macam tu? Kalau pak cik fikir macam tu pak cik silap,” kata Ji Hoon tidak sabar. Nadanya suaranya masih tidak ditinggikan, namun sopan pada percakapannya hampir hilang. Dia cuba mengawal diri. Dia tidak mahu berkelakuan kurang ajar. Dia sudah dididik mendiang bapanya untuk menghormati orang lain tanpa mengira darjat.

         Pak Cik Dam Shik diam. Lidahnya kelu untuk berkata-kata.

         Ji Hoon merenung tepat pada wajah lelaki itu. Lidah Pak Cik Dam Shik kelu untuk berkata-kata. “ Sebab kenapa saya minta pak cik kahwinkan saya dengan Eun Hee adalah… sebab saya cintakan dia.”

         Pak Cik Dam Shik terkejut. Pantas dia menggelengkan kepalanya. Tidak percaya.

         “ Saya mohon pak cik percaya cakap saya. Saya tidak main-main apabila saya katakan saya cintakan Eun Hee. Mungkin pak cik fikir saya tidak waras jika saya katakan saya cintakan dia sejak kali pertama berjumpa dengannya. Tapi, itulah hakikatnya. Saya cintakan Eun Hee dan saya nak jaga dia. Saya nak jaga dia untuk seumur hidup saya,” lirih Ji Hoon bersuara. Dia tekankan pada ayat terakhirnya.

         “ Tak mungkin…” kata Pak Cik Dam Shik. Tetapi, dia dapat melihat kesungguhan pada wajah anak muda di hadapannya. Nampaknya, apa yang Ji Hoon katakan benar. Dia memang cintakan Eun Hee. Tetapi...

         “ Kalau macam tu…” Pak Cik Dam Shik berhenti seketika, dia meraup wajah, “ ... pak cik izinkan kamu menikahi Eun Hee. Pak cik dah beritahu dia tentang lamaran kamu semalam.”

         “ Apa katanya?” tanya Ji Hoon tidak sabar. Hatinya berdebar.

         “ Dia tak kata apa-apa. Mungkin terkejut,” kata Pak Cik Dam Shik. Kopi panas di hadapannya langsung tidak disentuh.

         “ Kat mana dia sekarang?”

         “ Pantai. Dengan Ryu Min. Pak cik rasa dia nak tenangkan fikiran,” kata Pak Cik Dam Shik. Ji Hoon bingkas bangun dari kerusinya. Bergegar meja itu kerana dia terlanggar semasa ingin bangun. Duit bayaran minuman diletakkan di atas meja.

         “ Saya nak pergi jumpa dia,” kata Ji Hoon.

         Pak Cik Dam Shik mengangguk membenarkan. Ji Hoon terus melangkah pergi. Namun tidak lama. Pak Cik Dam Shik kembali memanggilnya. Ji Hoon berpaling.

         “ Betul ke…” Pak Cik Dam Shik mula bersuara, “… yang encik akan jaga dia dengan sepenuh hati encik? Tanpa mempedulikan kekurangannya?” tanyanya sayu. Suaranya serak.

         “ Ya!” Ji Hoon mengangguk nekad. Dia kembali melangkah pantas keluar dari D’Amour Cafe. Dia berlari menuju ke pantai. Dia mahu menemui Eun Hee secepatnya. Dia mahu tahu apa jawapan gadis itu! Akhirnya, dia menemui gadis itu sedang duduk berhadapan dengan laut. Ryu Min ada di sisinya. Dia melaung memanggil gadis itu.

         “ Eun Hee!”

         Eun Hee tersentak. Dia menoleh ke arah bunyi laungan itu. Tambah mengejutkan dia Ji Hoon sedang berlari menuju ke arahnya. Eun Hee bingkas bangun. Dia segera menarik tangan Ryu Min mengikutinya. Ryu Min yang turut terkejut dengan perilaku spontan Eun Hee tidak dapat berbuat apa-apa. Ryu Min hanya mengikut langkah pantas Eun Hee. Eun Hee tidak mahu menemui Ji Hoon. Dia tidak mahu menemui Ji Hoon lagi. Hatinya sakit.

         Semalam, Pak Cik Dam Shik memberitahunya bahawa Ji Hoon ingin melamar dia menjadi isterinya sebagai balasan Ji Hoon memberi wang untuk melunaskan hutang bapa saudaranya. Dia gembira kerana bapa saudaranya tidak akan dibebani hutang lagi, tetapi dia sakit hati apabila Ji Hoon meminta dia sebagai balasannya. Bagi Eun Hee, Ji Hoon tidak ikhlas mahu meperisterikan dia. Lelaki itu hanya mahukan balasan sahaja! Lelaki itu fikir dia tidak berperasaan kerana kekurangannya!

         “ Eun Hee, jangan lari!” Ji Hoon berjalan pantas di belakang Eun Hee. Dia terkejut dengan tingkah gadis itu yang melarikan diri daripadanya. Tercungap-cungap dia mengawal nafas.

         “ Saya nak tanya awak pasal perkahwinan kita!” kata Ji Hoon lagi.

         Eun Hee semakin mempercepatkan langkahnya. Hampir sahaja Ryu Min tersembam ke pasir pantai kerana langkah kakinya. Ji Hoon semakin terdesak. Dia hairan dengan sikap Eun Hee yang berlainan apabila menemuinya .Dia segera meraih tangan Eun Hee. Langkah Eun Hee terhenti. Dia berpaling berhadapan Ji Hoon. Mukanya merah menahan marah.

         “ Awak setuju atau tidak?” tanya Ji Hoon. Rontaan Eun Hee minta dilepaskan tidak dihiraukan. Dia menguatkan cengkaman tangannya. Ryu Min yang berada di sisi melihat dengan penuh perasaan bimbang.

         Eun Hee menguatkan lagi rontaannya. Dia mahu pulang ke rumah dan tidak mahu berjumpa dengan Ji Hoon. Dia berjaya melepaskan diri daripada cengkaman kuat Ji Hoon. Dia menggeleng berulang kali. Ji Hoon terkedu.

         “ Kenapa awak tak setuju?” tanyanya hampa. Bukan itu jawapan yang dia mahukan daripada Eun Hee. Bukan! Dia mahu Eun Hee mengangguk sebagai jawapannya dan mengukir senyuman buatnya. Itu yang dia mahukan sejak semalam lagi. Sejak lamaran dia dibuat.

         Gadis itu terus melangkah. Sakit tangannya dicengkam Ji Hoon tidak dihiraukan. Kalau boleh, mahu sahaja dia lenyap dari tempat itu tika itu juga. Ji Hoon tidak berhenti-henti mengejarnya.

         “ Saya tahu kenapa awak menolak!” Ji Hoon berjalan di belakang gadis itu. Eun Hee langsung tidak menoleh.

         “ Awak fikir saya cuma nak main-mainkan awak, kan?” duga Ji Hoon. Langkah Eun Hee terhenti. Dia terkejut dengan apa yang dikatakan Ji Hoon. Bagaimana lelaki itu boleh menduga isi hatinya?

         “ Betul tak apa yang saya katakan?” Ji Hoon turut berhenti melangkah. Mungkin itu satu-satunya sebab kenapa Eun Hee menolak lamarannya. Dia melihat kepala Eun Hee mengangguk mengiakan apa yang dikatakan tetapi, gadis itu tetap tidak berpaling kepadanya.

         “ Saya tak main-main!” kata Ji Hoon lagi. Suaranya dikuatkan. Dia mahu Eun Hee sedar bahawa dia tidak main-main. Dia benar-benar cintakan gadis itu. Eun Hee menggeleng. Dia tidak percaya! Hidupnya penuh dengan kisah yang menyayat hati. Dia tidak mahu kisah itu bertambah lagi jika dia membuat kesilapan dalam mengahwini Ji Hoon. Dia tidak mahu! Cukuplah dengan silamnya yang membuatkan dia hidup menderita.

         Bibir Ji Hoon diketap kuat. Geram. Tangan Eun Hee dipegang sekali lagi. Eun Hee cuba meronta tetapi gadis itu gagal. Kejap pegangan Ji Hoon di tangannya. Dia mendongak merenung wajah lelaki itu. Mata lelaki itu redup merenungnya.

         “ Saya cintakan awak.” Kata-kata Ji Hoon mengejutkan Eun Hee. Dia terpaku. Redup pandangan mata lelaki itu menikam jiwanya.  

         “ Sebab saya meminta Pak Cik Dam Shik mengahwinkan kita berdua bukan kerana saya nak main-main. Sebab saya setuju menolong Pak Cik Dam Shik juga bukan kerana saya kasihankan dia sahaja. Tapi, sebab ini! Sebab saya cintakan awak!” kata Ji Hoon lantang.

         Eun Hee menggeleng perlahan. Hatinya sebak. Dia tunduk merenung pasir pantai yang memutih. Kelihatan suci dan bersih. Air matanya bergenang di tubir mata. Merah matanya menahan mutiara itu daripada berlinang. Dia tidak mampu untuk mempercayainya. Bagaimana seorang lelaki yang sempurna seperti Ji Hoon mencintai seorang gadis yang mempunyai kekurangan sepertinya? Bagaimana? Kata-kata lelaki itu bohong belaka! Tipu!

         “ Saya maksudkan kata-kata saya. Saya cintakan awak! Saya nak awak jadi isteri saya! Jadi separuh daripada jiwa saya! Saya nak jaga awak untuk seumur hidup saya!” luah Ji Hoon lagi. Kedua-dua belah bahu Eun Hee dipegang erat. Dia sudah tidak dapat menahan perasaannya lagi. Dia mahu Eun Hee tahu betapa dia cintakan gadis itu. Dan dia juga mahu Eun Hee percaya pada cintanya.

         Eun Hee tidak menunjukkan reaksi apa-apa. Menggeleng tidak, mengangguk pun tidak. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Dia merasakan tangan Ji Hoon perlahan mengangkat dagunya, meminta gadis itu bertentang mata dengannya.

         “ Saya tahu awak takkan percaya tapi saya dah cintakan awak pada kali pertama kita berjumpa di hospital. Saat kita bertentang mata saya sudah jatuh cinta pada awak dan saya nak awak percaya walaupun bagi awak ianya mustahil!”

         Eun Hee mengelengkan kepalanya. Keluhan berat terhembus dari bibir Ji Hoon. Sukarnya mahu menakluk hati seorang Song Eun Hee. Walaupun begitu, dia tidak akan mengalah! Wajah Eun Hee ditatap lagi.

         “ Saya nak jaga awak. Saya nak jaga awak untuk seumur hidup saya, sehingga nafas terakhir saya terhenti,” Ji Hoon mengulangi lagi kata-katanya. Suaranya bertambah serak. Setitis mutiara jernih mengalir dari matanya.

         Eun Hee diam. Dia masih keliru. Dia merasakan apa yang dikatakan oleh Ji Hoon itu semuanya benar, dan dia nampak keikhlasan dari sepasang mata itu. Tetapi dia takut untuk memulakannya. Dia seorang gadis yang mempunyai kekurangan dan Ji Hoon merupakan seorang lelaki yang sempurna. Amat sempurna padanya.

         Apa yang patut aku lakukan? Aku takut. Bagaimana jika dia mengecewakan aku? Dia bertanya dalam hati. Eun Hee tersentak. Hujung lengan blausnya ditarik Ryu Min. Dia mengalih pandang pada Ryu Min. Kanak-kanak itu sedang memandangnya sayu.

         “ Kak Eun Hee, berilah peluang pada Abang Ji Hoon. Kakak berhak untuk bahagia,” tutur Ryu Min. Dia juga sedih. Sudah banyak episod duka yang dilalui oleh gadis yang berdiri di hadapannya ini. Walaupun dia masih lagi mentah, tetapi dia juga mahu melihat Eun Hee bahagia dengan hidupnya.

         “ Kak Eun Hee jangan bimbang,” Ryu Min mula tersenyum, “ ... kalau kakak sunyi masa kakak tinggal kat rumah Abang Ji Hoon, Ryu Min akan temankan kakak. Lagipun, Ryu Min nak merasa juga ada abang sepupu.”

         Gurauan Ryu Min mengundang tawa Ji Hoon. Dia melihat pada wajah naif itu. Gadis itu sudah mengukir senyuman untuknya. Ji Hoon memegang tangan Eun Hee. Lembut.

         “ Awak sudi menjadi isteri saya? Dan membenarkan saya untuk menjadi penjaga awak untuk seumur hidup awak?” tanya Ji Hoon lembut. Hatinya mula gembira. Eun Hee mengangguk. Dia tersenyum menahan malu. Tanpa disedarinya, tubuhnya sudah berada dalam pelukan Ji Hoon. Dia tersentak. Namun dia merasa bahagia akan tiba untuknya.

         “ Terima kasih…” ucap Ji Hoon, “… terima kasih sebab awak sudi menjadi separuh dari jiwa saya,” ucapnya romantis. Pelukannya dileraikan. Ji Hoon duduk mencangkung memandang Ryu Min yang sudah mula ketawa.

         “ Abang kena belanja Ryu Min sebab Ryu Min dah tolong abang pujuk kakak,” gurau kanak-kanak itu. Ji Hoon mengusap kepala Ryu Min.

         “ Baiklah. Ryu Min nak mainan ke?” Ji Hoon bersetuju. Dia melihat sekilas pada Eun Hee sebelum kembali memandang Ryu Min. Senyuman tidak lekang daripada wajah gadis itu. 

         Ji Hoon bangun. Dia mendukung Ryu Min dan kembali memegang tangan Eun Hee. Ryu Min tidaklah terlalu berat untuk didukung. Walaupun sudah berusia hampir sepuluh tahun, tubuh Ryu Min masih seperti kanak-kanak berumur enam hingga tujuh tahun.

         “ Kita pulang dulu ke rumah, ye?” tanya Ji Hoon pada Eun Hee. Eun Hee hanya mengangguk. Mereka berdua berjalan masuk ke kawasan perumahan mereka. Eun Hee sudah memikirkannya. Apa yang dikatakan oleh Ryu Min tadi benar, dia berhak untuk bahagia. Eun Hee sedar, bahagia akan kunjung tiba jua buatnya.        

2 salam untukku:

fallenmoon ( Liya Zafrina ) said...

Waa..romantiknya!

Yay! Eun Hee nk kahwin dgn Ji Hoon..

Unknown said...

wah!!! best la cte ni! mmg romantik!! x sabar nk tunggu sambungana... hehhehe

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs