My Status Now

offline
pliz komen ;D





Friday, March 19, 2010

Endless Love 20


KELUHAN Hyun Min kedengaran lagi. Bosan sungguh dirasakan hidup di pulau ini. Dia tidak begitu mengenali sesiapa di sini. Hanya Ji Hoon dan Da Wei sahaja yang boleh dikatakan rapat dengan dirinya. Itu pun ketika di pejabat. Pada masa lain, dia lebih gemar berkurung dalam biliknya saja.

         Telefon di atas katil diambil. Hajat di hati mahu menelefon Chae Rin. Sekadar melepaskan kebosanan yang semakin beraja di hati.

         Tangan mahu menekan butang hijau tetapi niatnya terhenti. Hyun Min mula teragak-agak. Dia teringatkan perbualan dia dengan Chae Rin ketika mereka menghadiri majlis perasmian tempoh hari.

         Hyun Min mengeluh lagi. Telefon bimbit dicampak semula ke atas katil. Pintu almari dibuka lantas jaket dicapai. Dia mahu keluar ke bandar. Mungkin dia boleh mencari hiburan di sana.

         Resort itu ada menyediakan kelab hiburan bertaraf antarabangsa tetapi Hyun Min tidak betah untuk berhibur di situ. Tambahan lagi dia masih belum punya kawan di sini.

         Kereta dipandu keluar dari kawasan resort itu laju ke lebuh raya. Kelihatan limpahan cahaya dari kawasan pantai. Hyun Min memasang radio. Dia tenggelam dalam lamunannya.

        
MUKA Chae Rin dilihat lagi. Jelas kelihatan kebencian pada wajah anggun itu. Mata gadis itu tidak lepas daripada Ji Hoon dan Eun Hee. Kepanasan hatinya semakin meningkat apabila melihat dengan mesranya Ji Hoon merangkul pinggang gadis itu ketika menari waltz.

         “ Sudah-sudahlah tu. Aku yakin dia tak akan kembali pada kau,” kata Hyun Min. Dia merendahkan suaranya sedikit.

         “ Yang kau sibuk dengan hal aku ni kenapa?” marah Chae Rin namun nada suaranya masih terkawal. Dia tidak mahu menjadi tumpuan ramai jika dia memuntahkan kemarahannya pada Hyun Min.

         Hyun Min ketawa sinis. Dia turut memerhati pada pasangan yang menari di tengah-tengah dewan itu. Jelas dalam matanya betapa Ji Hoon amat mencintai isterinya itu. Lembut sahaja gerak tari Ji Hoon seolah-olah menampakkan perasaan di hati.

         “ Aku benci tengok perempuan tu di samping Ji Hoon. Sepatutnya aku yang berada di sisi Ji Hoon sekarang, bukannya perempuan tu!” rungut Chae Rin penuh kebencian.

         “ Kau pernah kata, lelaki kat luar sana tu berlambak kalau kita berpisah, kenapa kau tak cari satu je?” sinis Hyun Min bertanya. Dalam keadaan seperti ini dia lebih suka mengatakan sesuatu yang boleh menambahkan kemarahan Chae Rin.

         Chae Rin mendengus perlahan. Tanpa sebarang kata dia berlalu dari situ. Malas melayan kata-kata sinis Hyun Min. Bukannya boleh menenangkan hatinya, tambah menyakitkan hatinya yang sudah sedia panas adalah!

         Hyun Min tercengang dengan tindakan Chae Rin. Jarang gadis itu mahu mengalah apabila dia mengatakan sesuatu yang tidak enak didengar. Segera dia mengekori langkah gadis itu.

         Dia mengeluh. Chae Rin sedang berdiri di luar sambil menikmati angin malam. Perlahan sahaja langkahnya mendekati gadis itu.

         “ Tak boleh ke kalau kau jangan ganggu aku masa-masa macam ni?” soal Chae Rin keras tanpa mengalihkan arah matanya. Ketawa Hyun Min terburai. Dia menyandar pada pagar beranda dewan itu.

         “ Aku tak ganggu kau. Aku datang sini nak ambil angin je. Kau teruskan je layan perasaan kau tu, aku takkan ganggu punyalah. Aku bukannya jenis yang suka kacau perempuan, tambah lagi yang cantik macam kau,” katanya. Kata-kata Hyun Min mengundang tawa Chae Rin. Gadis itu memalingkan wajah ke arah Hyun Min.

         “ Kau memang tahu semua taktik nak pikat perempuan, kan? Kat manalah kau belajar tu semua,” kata Chae Rin. Dia turut menyandar pada pagar itu. Gelas berkaki tinggi itu digoyang perlahan.

         Hyun Min menjungkit bahu. Matanya melihat pada langit malam.

         “ Aku pun tak pasti. Mungkin memang semula jadi sejak aku lahir kot?” katanya selamba. Chae Rin ketawa sekali lagi namun tidak lama. Tiba-tiba sahaja tawanya mati.

         “ Kenapa?”

         Chae Rin menggeleng perlahan.

         “ Aku tak tahu macam mana nak cakap. Kau kan tahu, aku kata aku sanggup buat apa saja untuk dapatkan Ji Hoon kembali, tapi aku rasa macam kurang yakin je,” luah Chae Rin. Hyun Min mengangguk tanpa sebarang kata. Dia hanya membiarkan sahaja gadis itu meluahkan perasaannya.

         “ Bila aku tengok mereka dalam tu, aku rasa Ji Hoon memang tak akan pandang aku langsung. Tapi, aku tetap nakkan dia. Aku tak tahu sama ada aku patut mengalah atau teruskan niat aku untuk dapatkan dia,” katanya lagi. Hyun Min ketawa kecil.

         “ Aku tak pandai nak nasihatkan kau. Kau fikirlah sendiri. Kalau kau rasa nak teruskan niat kau, aku tak ada hak untuk bantah walau aku tak setuju. Tapi, kalau kau nak biarkan saja, aku pun tak kisah. Terpulanglah pada kau,” nasihat Hyun Min. Dia menggeliat kecil. Matanya kembali pada Chae Rin.

         “ Aku nak masuk dalam. Kau...”

         Kata-kata Hyun Min mati. Chae Rin sudah tiada di sisinya. Dia melihat gadis itu menuju ke arah isteri Ji Hoon yang sedang duduk di tepi kolam lalu...


PANTAS dia menggelengkan kepala.  Tiada gunanya dia mengingati peristiwa itu. Memang benar Chae Rin ada mengatakan seolah-olah dia sudah berputus asa dalam merebut hati Ji Hoon, namun ternyata tidak. Pada malam itu, dia menyaksikan sendiri bagaimana gadis itu mencurah wain pada isteri Ji Hoon.

         Melalui tindakan Chae Rin, Hyun Min dapat mengagak bahawa gadis itu akan meneruskan niatnya. Mungkin kebencian Chae Rin pada gadis yang dikatakan telah merampas Ji Hoon daripadanya tidak dapat dibendung kerana sebaik sahaja Chae Rin melihat isteri Ji Hoon di hadapan mata, seolah-olah Chae Rin telah melupakan kata-katanya itu.

         Hyun Min mengeluh lagi. Sukar buatnya untuk menambat hati Chae Rin jika gadis itu berkeras dengan keputusannya. Mereka berdua sama-sama keras kepala.

         Ketika dia mengatakan bahawa dia tidak kisah jika Chae Rin meneruskan rancangannya, itu bohong belaka. Sebenarnya dia peduli jika gadis itu berkeras untuk meneruskan niatnya. Dia hanya tidak mahu Chae Rin menyoal jika dia membantah.

         Buat masa ini, Hyun Min tidak tahu apa yang patut dilakukan. Mungkin dia hanya boleh menunggu saja. Menunggu dan terus menunggu sehingga Chae Rin membatalkan niat untuk meruntuhkan rumah tangga Ji Hoon dan Eun Hee dan kembali berpaling kepadanya.


JI HOON keluar dari dapur terus ke beranda rumah. Telahannya tepat. Eun Hee sedang duduk di atas salah sebuah kerusi malas yang disediakan di kawasan kolam renang itu. Tunduk sahaja gadis itu. Seakan-akan ada sesuatu yang sedang difikirkan. Ji Hoon tersenyum sendirian. Perlahan-lahan dia mendekati gadis itu dengan idea nakal di minda.

         “ Hah! Buat apa tu?”

         Sergahan Ji Hoon mengejutkan Eun Hee. Pantas dia menoleh ke sisi. Betapa lega hatinya apabila melihat Ji Hoon yang sedang berdiri di sisinya. Berulang kali dia mengurut dada. Terkejut dia dengan sergahan Ji Hoon tadi.

         “ Maaf, salah Eun Hee jugak sebab tak perasan abang datang tadi,” kata Ji Hoon sambil ketawa. Dia mengambil tempat duduk di kerusi malas yang terletak bersebelahan dengan kerusi malas yang diduduki Eun Hee.

         Eun Hee memasamkan muka. Geram juga dengan tindakan suaminya tadi. Ji Hoon gemar mengusik dia. Walau apapun, mungkin itulah penyebab kenapa dia semakin sukakan lelaki itu.

         “ Tak payah nak masamkan muka tu. Buruk abang tengok.” Ji Hoon tidak habis-habis mengusik. Eun Hee tersenyum juga walau tidak lama. Akhirnya dia kembali muram.

         “ Kenapa? Eun Hee ada masalah? Nak beritahu pada abang?” tanya Ji Hoon. Kali ini dia merendahkan suara. Eun Hee menggeleng. Tidak perlulah suaminya tahu.

         “ Ceritalah, mungkin abang boleh bantu,” kata Ji Hoon lagi. Nadanya masih lagi lembut. Kalau boleh, dia tidak mahu memaksa Eun Hee jika isterinya tidak mahu menceritakan masalah itu.

         Eun Hee menggeleng lagi. Ji Hoon mengangguk perlahan. Tangan Eun Hee dielus lembut.

         “ Abang tak nak paksa tapi kalau Eun Hee dah bersedia nak beritahu abang, abang tak ada masalah. Malam dah makin lewat, Eun Hee tak nak masuk tidur lagi?” tanya Ji Hoon. Dia melihat pada taburan bintang di langit. Malap sahaja cahayanya.

         Eun Hee menggeleng perlahan. Dia menguntum senyum.

         “ Kalau macam tu, abang masuk tidur dululah. Esok abang nak pergi kerja. Jangan berjaga sampai lewat malam, tak elok untuk kesihatan tu, okey?” Ji Hoon menitip pesan. Eun Hee tersenyum lagi.

         “ Abang masuk tidur dulu. Selamat malam.”

         Dahi Eun Hee dikucup perlahan sebelum dia berjalan masuk ke dalam rumah. Eun Hee menggeleng. Kusut fikirannya saat ini.

         Dia masih memikirkan tentang lelaki yang dilihatnya tempoh hari. Keadaan lelaki itu yang mencurigakan membuatkan dia gagal menyingkir perihalnya dalam minda. Keselamatan Ryu Min yang difikirkan. Sekarang, masa kerja Pak Cik Dam Shik semakin tidak menentu. Kadang-kadang, dia hanya pulang untuk mandi sahaja.

         Eun Hee merenung kejauhan. Masih jelas dalam ingatannya bagaimana ibu bapanya dibunuh dengan kejam di hadapannya. Dia juga masih mengingati bagaimana wajah abangnya ketika maut semakin menjemput ketika kemalangan kereta itu berlaku. Dia tercampak ke luar namun saudara kandungnya itu tersepit di dalam kereta. Api sudah marak menyala. Abangnya kelihatan begitu lemah namun masih lantang bersuara menyuruh dia menjauhi kereta itu. Keselamatan Eun Hee masih menjadi keutamaan abangnya walau keadaan dia sendiri tidak dapat dijamin.

         Air matanya tumpah lagi. Dia sering bertanya sendirian, kenapa kejadian sedemikian berlaku dalam perjalanan hidupnya. Kematian ibu bapanya kerana dibunuh secara kejam manakala abangnya mati dalam nahas jalan raya. Adakah masa untuk dia bahagia bersama-sama ahli keluarganya hanya untuk sementara sahaja?

         Perlahan dia mengesat air tumpah yang mengalir. Kabur bintang di langit malam pada pandangannya. Tanpa Eun Hee sedari, suaminya sedang memerhatikan setiap tindak tanduknya sebentar tadi.

         Ji Hoon mengeluh. Dia perlu bersabar lagi. Dia tidak mampu membuang peristiwa pahit yang berlaku dalam hidup Eun Hee dengan mudah. Dia hanya mampu berdiri di sisi gadis itu dan melindunginya jika ditimpa musibah. Hanya Eun Hee sahaja yang mampu menghalau silam yang pahit itu.

         Langsir ditutup perlahan. Lemah kaki Ji Hoon melangkah ke katil. Matanya tertancap pada diari pemberian dia beberapa minggu lalu. Ada sebatang pen yang diletakkan di atas diari itu.

         Memang Ji Hoon pernah berkata bahawa dia akan membaca diari luahan hati Eun Hee itu tetapi dia hanya akan melakukan jika Eun Hee ada bersama. Itu janjinya. Dia dan Eun Hee akan sama-sama membaca apa yang telah Eun Hee luahkan dalam diari itu.

         Ji Hoon mengeluh. Selimut ditarik menutupi tubuh. Matanya masih tidak lelap walau jam sudah menginjak ke pukul 12. Eun Hee masih belum masuk ke dalam bilik walau hampir setengah jam berlalu. Akhirnya Ji Hoon terlena tanpa menyedari waktu isterinya kembali.

3 salam untukku:

epy elina said...

hohhoho....
kcian eun hee...
sape la org yg jhat 2 smpai nak bnhu kuarga eun hee???
x sbr nak thu next n3....

Unknown said...

ape2 pun mcm biasa cte awk mmg best! x sabar nk tunggu next episod! hehe

Unknown said...

ape2 pun ucapan dr sy teruskan menulis ok! sbb cte novel awk semua best!!!

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs