My Status Now

offline
pliz komen ;D





Thursday, March 11, 2010

Endless Love 18


JI HOON membetulkan kedudukan tali leher selepas merapikan rambut. Dia mencebik sedikit. Tangan kembali mengusutkan rambut. Terlampau rapi pula bukan gayanya. Rambut panjang paras leher itu dikusutkan sedikit. Ji Hoon senyum puas hati.

         Dia duduk di sofa sementara menanti Eun Hee yang sedang bersiap di dalam bilik. Tidak sabar dia menanti majlis itu. Kata Pak Cik Nam Gil, majlis itu juga ada acara tari menari. Mendengar sahaja berkenaan majlis itu, terus dia mengajak Eun Hee menari waltz di ruang tamu. Dia tidak mahu isterinya dimalukan di hadapan khalayak ramai jika Eun Hee tidak tahu menari. Namun sangkaannya meleset. Eun Hee mahir dalam tarian waltz. Bila ditanya, segera gadis itu memberi penerangan panjang lebar atas sekeping kertas. Katanya, mendiang ibunya gemar menari lantaran itulah Eun Hee turut mempelajari tarian bersama-sama ibunya.

         Bunyi kasut tumit tinggi saling bertingkah menarik perhatian Ji Hoon untuk mendongak ke atas. Eun Hee sedang menuruni tangga. Terbeliak biji mata Ji Hoon melihat kejelitaan isterinya.

         Eun Hee mengenakan gaun putih, kena benar dengan kulit putih melepaknya. Bahagian leher berbentuk V itu dihiasi dengan taburan bunga-bunga kecil yang berwarna merah jambu. Rambut lurus Eun Hee dibiarkan lepas begitu sahaja tanpa disanggul. Hanya ada satu klip rambut mutiara yang menghiasi rambut panjang gadis itu. Ringkas tetapi tetap kelihatan cantik.

         “ Cantiknya isteri abang malam ni,” puji Ji Hoon sambil mendekati Eun Hee. Eun Hee mengukir senyum manis. Sebelah tangannya ditarik Ji Hoon.

         “ Boleh kita pergi sekarang, tuan puteri?” perlahan Ji Hoon menanya sebelum mengucup tangan isterinya. Perlahan Eun Hee mengangguk dengan tompokan merah pada pipi.

         Ji Hoon membuka pintu kereta buat Eun Hee, persis lelaki Inggeris. Eun Hee mengangguk sekilas sebelum memasuki kereta. Perjalanan mereka ke resort itu tidaklah memakan masa yang lama. Hanya 20 minit berkereta, kawasan resort yang dilimpahi dengan cahaya lampu sudah kelihatan di depan mata. Sudah banyak kereta diparkir di tempat letak kereta walaupun majlis hanya akan bermula dalam masa 15 minit lagi.

         Ji Hoon senyum sahaja apabila melihat wajah Eun Hee yang sudah keresahan. Dia menepuk tangan isterinya. “ Marilah kita masuk. Jangan risau. Kalau Eun Hee nak ke mana-mana, abang temankan. Marilah.”

         Eun Hee mengangguk. Sedikit sebanyak kata-kata suaminya mampu menenangkan debar hatinya. Dia menyambut huluran tangan Ji Hoon. Mereka beriringan masuk ke dalam dewan resort itu tetapi langkah mereka terhenti apabila melihat ibunya sedang menanti di luar dewan itu.

         “ Mak,” sapa Ji Hoon. Presiden Park menoleh ke belakang. Serta merta senyuman wanita itu mekar.

         “ Baguslah kamu berdua datang. Mak dah sediakan tempat di sini. Ji Hoon, mak akan kenalkan kamu sebagai pengurus resort ini. Resort ini akan berada dalam pengurusan kamu dan kamu yang akan tentukan apa yang terbaik untuk resort ini,” terang Presiden Park. Ji Hoon hanya mengangguk.

         Ji Hoon dan Eun Hee mengikuti Presiden Park daripada belakang. Sebaik sahaja kaki mereka menjejak lantai marmar dewan itu, tumpuan orang ramai beralih kepada mereka. Eun Hee sudah menggeletar walaupun dia masih melemparkan senyuman. Inilah kali pertama dia menghadiri majlis sebegini dan dia risau jika ada perilaku dia yang kurang menyenangkan.

         “ Kan abang dah cakap, tak payah risau. Abang ada di sini,” bisik Ji Hoon. Dia menyedari tangan Eun Hee sudah menggeletar. Pasti kerana tidak betah dengan renungan orang ramai. Eun Hee tersenyum cemas.

         “ Helo, Pengerusi Min. Kenalkan, ini anak tunggal saya Park Ji Hoon dan di sebelahnya isteri dia,” kata Presiden Park pada seorang lelaki separuh umur. Lelaki itu menghulurkan tangan kepada Ji Hoon.

         “ Gembira dapat bertemu. Tak sangka, dalam usia yang begitu muda kamu dah mahir mengurus syarikat,” kata Pengerusi Min sambil tersenyum lebar. Huluran tangannya disambut Ji Hoon yang ketawa kecil.

         “ Terima kasih. Jikalau tuan ada masa atau sedang bercuti di Pulau Jeju, datanglah ke resort ini. Kami akan menyediakan perkhidmatan yang terbaik,” kata Ji Hoon pula. Eun Hee di sisi masih tidak lekang dengan senyuman.

         Pengerusi Min mengangguk.

         “ Sudah pasti. Saya dah meninjau sekitar kawasan resort ni dan nampaknya kemudahan yang disediakan sudah lebih daripada lengkap. Layanan para pekerja juga baik,” kata Pengerusi Min. Ji Hoon mengangguk sekali lagi.

         “ Maaf, kami terpaksa pergi dulu. Gembira berjumpa awak, Pengerusi Min.”

         Ji Hoon tunduk hormat disusuli Eun Hee. Pengerusi Min mengangguk. Dia ketawa mesra.

         “ Silakan.”

         Presiden Park membawa mereka berdua ke sebuah meja yang terletak di hadapan dewan. Hanya Pak Cik Nam Gil, Mak Cik Yu Soo sahaja yang menunggu di situ. Kerusi ditarik Ji Hoon sebelum diduduki Eun Hee.

         “ Pengerusi Min tu pemilik syarikat akhbar paling berpengaruh di negara kita, Hanse Daily. Mak tak mahu dia memberi tanggapan buruk pada resort ni. Nama kumpulan syarikat kita boleh tercemar kalau cerita-cerita buruk pasal resort ni tersiar dalam akhbar dia. Mak gembira dengan apa yang kamu lakukan tadi,” kata Presiden Park. Ji Hoon mengangguk hormat.

         “ Tiada pula acara potong reben,” usik Ji Hoon. Presiden Park menjengilkan mata pada anaknya itu. 

         “ Kamu pun tahu mak tak suka main potong reben ni.”

         Ji Hoon ketawa. Dia memalingkan wajah pada Da Wei yang duduk di sebelahnya.

         “ Lama tak jumpa. Macam mana dengan kerja kau di pejabat. Okey tak?” soal Ji Hoon. Sudah lama dia tidak bertemu sepupunya itu sejak tinggal di pulau itu. Da Wei tersenyum.

         “ Macam biasa. Itu ke kakak ipar aku?” gurau Da Wei. Matanya melihat pada Eun Hee. Ji Hoon mengangguk.

         “ Kenalkan isteri aku. Da Wei, ini Eun Hee. Eun Hee, ini Da Wei sepupu abang yang turut bekerja dengan mak,” kata Ji Hoon. Eun Hee mengangguk sekilas.

         Da Wei ketawa. “ Pandailah kau. Kau okey tak dengan kehadiran dia kat sini? Aku dengar, lepas kejadian di rumah kau semalam dia mengamuk sakan.” Da Wei merendahkan suara.

         Ji Hoon dan Da Wei sama-sama menoleh ke arah Chae Rin yang sedang berdampingan di sisi Hyun Min. Mereka berdua sedang berbual dengan tetamu kenamaan lain. Ji Hoon ketawa sinis. Perlahan sahaja bunyinya.

         “ Aku tak kisah dia nak mengamuk macam mana asalkan dia jauhkan diri daripada aku dan isteri aku. Kau pun tahu perangai dia macam mana sejak kecil, kan?” bisik Ji Hoon.

         Da Wei mengangguk sekilas.

         “ Kita tunggu siapa lagi, mak? Ji Hoon nampak ada dua tempat kosong lagi,” kata Ji Hoon seraya memalingkan wajah kepada ibunya. Terganggu seketika perbualan wanita itu dengan Pak Cik Nam Gil.

         “ Oh, yang tu tempat duduk anak Pengerusi Han. Dia akan duduk di situ bersama temannya,” beritahu Presiden Park tanpa menyedari perubahan wajah Ji Hoon.

         “ Aku rasa pasti Chae Rin yang dimaksudkan,” bisik Da Wei tanpa melepaskan pandangannya pada Hyun Min dan Chae Rin. Ji Hoon mengangguk perlahan.

         Tepat sangkaan Da Wei. Hyun Min berjalan ke arah mereka sambil diapit oleh Chae Rin. Melebar senyuman gadis itu apabila melihat Ji Hoon. Ji Hoon pantas melarikan pandangannya ke arah Eun Hee. Isterinya sedang melayan bualan Mak Cik Yu Soo.

         “ Asyik je dengan Mak Cik Yu Soo. Abang kat tepi pun tak perasan,” kata Ji Hoon perlahan. Eun Hee tersentak lalu menoleh ke sisi. Dia menguntum senyum.

         Panas hati Chae Rin melihat adegan mesra mereka. Kalaulah dia boleh menarik Eun Hee ke tepi dan duduk di sisi Ji Hoon, sudah pasti dia akan lakukan itu. Tetapi jika difikirkan kembali, dia mencari nahas sahaja jika melakukan perkara sedemikian. Pasti Ji Hoon akan memarahinya.

         “ Selamat petang, semua,” sapa Hyun Min mesra. Dia mengambil tempat di sisi Presiden Park manakala Chae Rin duduk bertentangan dengan Da Wei.

         “ Selamat petang, Encik Han.”

         Hyun Min mengangguk hormat. Presiden Park mengambil peluang ini untuk berbicara dengan Hyun Min. Sekejap lagi dia akan memberi ucapan disusuli Ji Hoon dan Hyun Min.

         Ji Hoon tersenyum lega. Nampaknya Chae Rin tidak berani berbuat apa-apa. Setakat ini bolehlah dia berlapang dada.


EUN HEE duduk di atas tembok kolam air pancut. Pening kepala dia dengan suasana riuh di dalam dewan. Selepas acara tari menari, dia meminta diri ke luar. Apabila Ji Hoon mengatakan mahu menemaninya, pantas Eun Hee menggeleng. Suaminya perlu melayan tetamu-tetamu yang datang selaku pengurus resort itu.

         “ Macam mana dengan hidup kau lepas rampas dia daripada aku?”

         Eun Hee tersentak mendengarkan kata-kata sinis itu. Segera dia memalingkan wajah. Dia nampak Chae Rin sedang berdiri tidak jauh daripada tempat dia duduk. Eun Hee menelan liur. Terasa kesakitan pada pipinya berulang.

         Chae Rin menapak ke arahnya. Eun Hee mula tidak sedap hati.

         “ Kau memang tak guna. Senang je kau senyum masa kat dalam dewan tu. Tentu kau bangga, kan? Dapat berdampingan dengan pewaris tunggal kekayaan Park Da Hae yang popular di negara kita. Yalah, tiba-tiba je hidup kau yang miskin tu berubah jadi senang sekelip mata,” kata Chae Rin pedas. Gelas berkaki tinggi dalam tangannya digoyang perlahan.

         Eun Hee menggeleng. Sakit hatinya dihina sebegitu rupa. Tuduhan Chae Rin tidak benar. Dia mengetap bibir.

         “ Aku nak kau rasakan sakit hati aku! Rasakan!”

         Tanpa berlengah lagi Chae Rin menuang wain merah kepada Eun Hee. Mulut Eun Hee terlopong, terkejut dengan tindakan gadis itu. Matanya melihat pada warna merah samar yang melekat pada gaun putih itu. Kesan wain merah itu jelas kelihatan pada gaun itu.

         Chae Rin ketawa sinis. Dia segera melarikan diri masuk semula ke dalam dewan itu. Bahaya jika perlakuannya itu ditangkap Ji Hoon. Chae Rin pasti Ji Hoon tidak akan melepaskan dia.

         Eun Hee terpana. Resah dia memikirkan bagaimana untuk menghilangkan kesan wain itu. Matanya tertancap pada pili air yang terletak tidak jauh daripada kolam itu.

         Pili dibuka. Dia membiarkan sahaja air mencurah membasahi tangannya. Lama dia menggosok pada bahagian yang kotor namun kesan wain itu masih jelas. Tiada gunanya dia terus membasahi baju itu.

         “ Eun Hee? Kenapa duduk kat luar. Marilah masuk. Dewan pun hampir kosong,” kata Ji Hoon. Dia baru sahaja memasuki taman itu. Eun Hee tergamam. Pantas dia menutup pili air.

         “ Eun Hee? Apa dah jadi ni?” tanya Ji Hoon. Segera dia memusingkan tubuh itu berhadapan dengan dirinya.

         Dalam kesamaran, matanya dapat melihat kesan kotoran pada gaun putih gading itu. Mukanya berkerut.

         “ Chae Rin yang lakukan, betul tak?” duga Ji Hoon. Eun Hee menggeleng. Dia tidak mahu membesarkan perkara itu.

         “ Biar abang ajar dia!”

         Tangan Ji Hoon ditarik sekaligus mematikan langkah Ji Hoon yang ingin masuk ke dalam dewan. Dia melihat wajah isterinya. Penuh dengan kerisauan.

         “ Eun Hee, kalau kita biarkan je makin teruk dia nanti,” kata Ji Hoon perlahan. Eun Hee tetap menggeleng. Ji Hoon mengeluh.

         “ Kita balik ke rumahlah, okey?”

         Kali ini Eun Hee mengangguk. Pegangan tangannya dilepaskan. Ji Hoon meletakkan kot hitamnya pada tubuh Eun Hee. Ketika gadis itu menyerahkan kot itu kembali, pantas Ji Hoon menggeleng.

         “ Lindung kesan kotoran tu. Tentu Eun Hee tak nak mak tanya kenapa baju Eun Hee kotor, kan?” lembut Ji Hoon bersuara. Benar juga apa yang dikatakan oleh Ji Hoon. Dia tidak mahu ibu mentuanya menyoal yang bukan-bukan. Eun Hee mengangguk perlahan.

         “ Kita masuk jumpa mak dulu, kemudian kita balik terus. Mari,” ajak Ji Hoon. Bahu Eun Hee dipaut erat sebelum mereka beriringan masuk ke dalam.


DIA mendengus marah. Kedengaran suara Tae Hwan ketawa di hujung talian. Sinis sahaja bunyinya.

         “ Betul tak apa yang aku katakan? Dia memang kat sana,” ujar lelaki itu. Tae Hwan menyambung tawa sinisnya.

         “ Aku akan laksanakan rancangan aku. Duit tu aku akan masukkan ke dalam akaun kau. Kalau ada apa-apa lagi, aku akan telefon kau,” perlahan sahaja dia bersuara. Khuatir jika ada orang yang mendengar perbualannya di talian.

         “ Aku akan tunggu duit tu.”

         Ketawanya meletus juga. Senang hatinya kerana berjaya menemui lelaki yang bakal menjadi mangsa dalam rancangannya.

         “ Selamat tinggal.”

         Talian diputuskan sebelum sempat Tae Hwan berkata-kata. Dia sudah kelegaan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menunggu waktu yang sesuai sebelum rancangan itu dijalankan.

         “ Kau tunggulah nasib kau, Ji Hoon.”

         Lekas dia memasuki bilik. Suasana sekitar sepi sahaja. Tubuh dibaringkan di atas katil. Mulai malam ini, bolehlah dia tidur dengan lena. Tanpa ditahan lagi, ketawanya keluar juga. Kuat mendominasi bilik itu.   

3 salam untukku:

epy elina said...

hohohoho...
sape yg nak cderakan ji hoon???
hrp2 x ada apa2 yg brlaku kat ji hoon...
kcian eun hee...
best2x....

ஜ Arza Far ஜ said...

hmm.
han Hyun Min tu awak ambik dari cerita Hanakimi kan?
yang Nanba Senpai tu kan?
Nanba Minami..btl x??

Unknown said...

to epy> sila tunggu ye.. ;D

to amethyst gurlz> hoho. kalu tengok sekali imbas je memang nampak cam Mizushima Hiro yang bawa watak Nanba Senpai dalam Hana Kimi. tapi tu bukan Mizushima Hiro tapi tu Matsumoto Jun a.k.a. MatsuJun. pnanyi grup Arashi n' yg bawa watak utama dalam Hana Yori Dango. kalu Mizushima Hiro plak, Hana amik dia ntuk watak Hiro dalam citer Lovin' You. kalu nak tengok tekan je Lovin' You's Casts kat blog Colours, Melody and Harmony tu

;D

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs