My Status Now

offline
pliz komen ;D





Friday, December 4, 2009

Endless Love 4


“ TERUK sangat ke, pak cik?”

         Ji Hoon berjalan ke beranda rumahnya. Telefon bimbit masih melekap pada telinganya. Walaupun dia sedang berbual, itu tidak menghalang dia mengunyah sebiji epal. Pak Cik Nam Gil baru sahaja menelefonnya untuk memaklumkan reaksi ibunya setelah mendapat tahu kepergian Ji Hoon.  

         “ Teruk sangat. Nyaris-nyaris pak cik tak mati sakit jantung,” kata Pak Cik Nam Gil sambil bergurau. Ji Hoon ketawa. Dia sudah mengagak kemungkinan itu. Ibu mana yang tidak marah atau risau jikalau anak mereka menghilangkan diri tanpa diberitahu?

         “ Tak kisahlah, pak cik. Ada apa-apa lagi tak?”

         “ Err… ada satu lagi.”

         Ji Hoon menyandarkan tubuhnya pada pagar beranda itu. Membelakangi pemandangan pantai yang dapat dilihat dari beranda itu. Dia kembali mengunyah epal. Asyik menikmati kemanisan buah itu tanpa menjangka khabar seterusnya.

         “ Apa dia?”

         “ Cik Lee datang cari tuan.”

         “ Apa?” Ji Hoon tersedak. Dia batuk berulang kali. Ji Hoon mengurut-urut dadanya kuat. Khabar baru yang disampaikan Pak Cik Nam Gil mengejutkannya. Chae Rin? Apa lagi yang dia nak?

         “ Betul ke pak cik?” tanyanya tergesa-gesa. Sebelah tangannya melekap pada pagar beranda. Ji Hoon seakan-akan tidak percaya dengan kata-kata lelaki tua itu. Hatinya terasa sakit secara tiba-tiba. 

         “ Ya, dia datang ke pejabat pagi kelmarin. Tapi tuan jangan risau. Pak cik tak beritahu tuan berada di mana,” kata Pak Cik Nam Gil. Suaranya diselubungi kerisauan. Dia tahu dan faham benar tentang kisah yang pernah terjadi antara Ji Hoon dan Chae Rin.

         Ji Hoon menghela nafas lega.“ Tak apalah, pak cik. Kalau dia datang lagi, jangan cakap apa-apa. Buat tak peduli je,” pesan Ji Hoon. Kenapalah dengan perempuan tu? Tak tahu malu ke?

         “ Baiklah.”

         “ Saya pergi dulu, pak cik,” ujar Ji Hoon meminta diri.

         “ Err… tuan nak ke mana pagi-pagi ni?” Jam di tangan dikerling. Masih terlalu awal. Matahari baru sahaja menjengah di balik gunung. Dahinya berkerut.

         Ji Hoon ketawa. “ Jalan-jalan tepi pantai. Itulah rutin harian saya setiap pagi dan petang.”

         “ Oh! Emm, macam mana dengan gadis tu?”

         “ Siapa? Eun Hee ke?” tanya Ji Hoon riang. Sekelip mata sahaja sakit hatinya hilang. Hatinya betul-betul berbunga jika soal Eun Hee diperkatakan.

         “ Yelah. Tuan dah jumpa dia ke?” tanya Pak Cik Nam Gil mengusik.

         Ji Hoon mengeluh. “ Belum. Saya harap sangat boleh jumpa dia.”

         “ Kalau ada jodoh, tuan masih dapat berjumpa dengan gadis tu. Doakan je. Baiklah, pak cik dah nak ke pejabat ni. Tuan jaga diri baik-baik, ye?” Pesanan buat Ji Hoon sempat dititipkan.

         “ Baiklah, pak cik. Pak cik jangan risau.” Perbualan diputuskan. Ji Hoon masuk ke dalam kamarnya dan menuju ke almari. Jaket dicapai lalu disarung ke tubuh. Ji Hoon melangkah keluar dari kamarnya, menuju ke tingkat bawah terus ke pintu keluar. Pintu pagar dikunci terlebih dahulu sebelum dia berjalan menuju ke pantai. 

         Beginilah rutinnya sehari-hari. Seawal tujuh pagi, dia akan pergi ke pantai dahulu untuk bersenam sebelum singgah di sebuah kafe yang terletak berdekatan untuk bersarapan. Kekerapan dia ke kafe itu setiap pagi membolehkan pemilik kafe itu mengenalinya. Pemilik kafe itu berbangsa Inggeris dan datang berhijrah ke Korea Selatan untuk mencari rezeki. Kerana sudah lama tinggal di Korea, lelaki yang dikenali dengan nama Zachary itu sudah fasih berbahasa Korea.

         Ji Hoon bersiul-siul kecil. Langkahnya ringan dihayun. Pantai itu memang tidak jauh dari rumahnya. Tidak sampai sepuluh minit berjalan, dia sudah pun sampai di pantai itu. Dia melompat seketika sebelum berlari menuju ke pantai.

         “ Harap-harap hari ni boleh jumpa dengan Eun Hee! Yeah!”


JI HOON mengesat peluh di dahinya. Hampir sejam dia berada di pantai sebelum dia ke D’Amour Cafe milik Zachary. Seperti biasa, dia akan berbual-bual dengan Alfed sambil menikmati sarapan paginya sebelum kembali ke pantai.

         Telefon bimbit diaktifkan kembali. Panggilan daripada ibunya berderet dalam Received Calls. Dia tersengih. Tentu ibunya sedang mengamuk sakan sekarang ni. Apa boleh buat. Lebih baik dia diamkan diri sahaja daripada menadah telinga mendengar ceramah pensyarah tidak bertauliah seperti ibunya.  

         “ Tolong! Tolong!”  

         Ji Hoon tersentak. Dia segera menoleh ke arah suara itu. Suara meminta tolong itu kedengaran tidak jauh dari tempatnya berjoging. Hatinya tertanya-tanya suara siapakah itu. Arah suara itu cuba dicam kedudukannya. Mungkin berdekatan dengan hutan yang berhampiran dengan pantai itu. Suara itu kedengaran lagi. Tanpa berlengah lagi dia segera berlari ke arah suara itu.

         “ Ryu Min?”

          Sebaik sahaja dia sampai di tempat itu, dia ternampak gadis idamannya berhampiran dengan sebuah lubang besar yang agak dalam. Wajah Eun Hee nampak cemas. Namun tiada suara yang keluar dari bibir gadis itu. Setelah didekati, Ji Hoon terkejut apabila mendapati kanak-kanak kecil itu berada di dalamnya.

         “ Ryu Min, pegang tangan abang!” arahnya cemas. Tangannya dihulur ke dalam lubang itu. Ryu Min mengesat matanya. Huluran tangan Ji Hoon dicapai. Sedaya upaya dia cuba naik ke atas. Tetapi, dia tergelincir lalu jatuh sekali lagi.

         “ Pegang kuat lagi dan cuba bertahan. Abang tarik lagi sekali, ye?”

         Ryu Min segera mengangguk cemas. Kakinya sakit.

         Ji Hoon menarik gadis kecil naik ke atas sekuat hatinya. Sebaik sahaja kaki Ryu Min mencecah tanah, Eun Hee segera memeluk Ryu Min. Wajahnya kelihatan kerisauan yang amat sangat. Kepala Ryu Min digosok berulang kali.

         “ Terima kasih, Abang Ji Hoon. Nasib baik abang ada,” ucap Ryu Min lemah.

         Ji Hoon mengukir senyum. ” Ryu Min boleh jalan ke?”

         Ryu Min cuba bangun dari duduknya, tetapi dia jatuh kembali. Kakinya terseliuh. Ji Hoon meneliti bahagian kakinya yang cedera. Ryu Min mengaduh kesakitan apabila Ji Hoon menekan bahagian yang tercedera itu. Dia menepis tangan Ji Hoon dari kakinya. Mukanya berkerut menahan sakit.

         “ Teruk ni,” kata Ji Hoon. Dia mengalih pandang pada wajah Eun Hee yang masih kelihatan cemas.

         “ Apa kata saya hantar Ryu Min pulang? Rumah awak kat mana?” tanyanya.

         Eun Hee kekal diam. Dia kelihatan teragak-agak. Dia melarikan wajahnya daripada tenungan Ji Hoon. Ji Hoon mendekati gadis itu.

         “ Kenapa diam? Payah kalau awak nak hantar Ryu Min pulang seorang diri. Lebih baik saya tolong. Kat mana rumah awak?” tanya Ji Hoon lagi. Eun Hee tetap tidak bersuara.

         “ Eun Hee, saya…”

         “ Abang, jangan tanya lagi,” celah Ryu Min kuat. Ji Hoon kehairanan. Wajah Ryu Min dipandang tepat. Menanti alasan yang bakal keluar dari bibir kanak-kanak itu. Entah kenapa, hatinya resah. Jangan-jangan...

         “ Kak Eun Hee tak boleh bercakap. Jangan tanya macam tu lagi, nanti dia sedih,” kata Ryu Min perlahan. Ji Hoon terperanjat. Eun Hee kembali dipandang. Dia serba salah. Adakah hati Eun Hee terluka dengan pertanyaannya tadi? Dia tertanya-tanya sendirian.

         “ Maaf, saya…”

         Eun Hee segera menguntum senyum. Mematikan ayat yang bakal keluar dari mulut Ji Hoon. Namun, matanya tidak dapat menyembunyikan kesedihannya.Ji Hoon terkesima. Apa yang didengarnya benar-benar mengejutkan dirinya.


 KAWASAN rumah itu diperhatikan. Bersih tetapi rumah itu sudah agak usang. Rupa-rupanya Eun Hee tinggal di sini. Ji Hoon tersenyum sendirian. Dapat jugak dia menjejakkan kaki di rumah Eun Hee. Namun, kenyataan yang keluar dari mulut Ryu Min tadi masih mengejutkannya.

         “ Err… Encik Park?” Sapaan seseorang mengejutkannya. Lantas dia mengalihkan pendangan ke arah lelaki yang menyapanya tadi. Pada awalnya dia terkejut apabila melihat muka itu, namun rasa terkejutnya ditolak itu. Dia mengukir senyum. Lelaki itu melabuhkan punggung di hadapannya.

         “ Saya nak ucapkan terima kasih sebab tolong anak saya. Kalau encik tak ada tadi, saya tak boleh bayangkan apa yang terjadi,” kata lelaki itu memulakan bicara. Bibirnya terherot sedikit menahan pedih luka di bibir. Ji Hoon cuba menganggar umur bapa Ryu Min, tetapi dia cuma menganggap lelaki itu baru sahaja dalam pertengahan 40-an.

         “ Tak ada apa-apa, pak cik. Kebetulan saya ada kat sana waktu tu. Saya pun kenal Ryu Min dan Eun Hee,” katanya lembut, hanya menurut adat berbudi bahasa.

         “ Nama pak cik Kim Dam Shik. Panggil je Pak Cik Dam Shik. Ryu Min tu anak bongsu pak cik. Anak lelaki pak cik pulak kerja kat Macau sekarang ni. Kerja buruh je,” kata Pak Cik Dam Shik merendah diri. Dia melihat lelaki muda di hadapannya. Dari segi berpakaian, nampaknya lelaki muda ini berasal dari keluarga yang berada. Walaupun hanya berpakaian sukan, jenama yang terpampang pada baju itu membuatkan dia tambah merendah diri.

         “ Encik Park tinggal kat mana?” tanya lelaki itu lagi.

         “ Tak usah berencik-encik dengan saya. Panggil je Ji Hoon. Saya tinggal kat rumah hujung jalan ni je.”

         “ Rumah besar warna putih tu? Kalau macam tu, dekat jelah. Lebih kurang selang lima buah rumah je dari sini.” Telahan Pak Cik Dam Shik tepat. Ji Hoon benar-benar berasal daripada keluarga yang berada.

         Ji Hoon mengangguk. Pada mulanya, dia terkejut juga. Rumah Eun Hee hanya selang beberapa buah rumah sahaja dari rumahnya. Nampaknya, dalam kawasan ini rumah milik Ji Hoonlah yang paling berada. Pintu diketuk. Eun Hee membawa sedulang minuman ke ruang tamu.

         “ Terima kasih, Eun Hee. Tolong tengok-tengokkan Ryu Min, ye?” kata Pak Cik Dam Shik. Eun Hee hanya mengangguk lantas segera berlalu dari ruang tamu. Ji Hoon yang sedang memandangnya langsung tidak dipedulikan.


         “ Yang tu Eun Hee, anak saudara pak cik. Ibunya kakak pak cik,” tutur lelaki itu lagi. Kali ini, Ji Hoon tekun memberi perhatian.

         “ Dia memang… err… maksud saya… bisu sejak lahir ke?” tanya Ji Hoon teragak-agak. Itulah soalan yang ingin ditanya oleh dia sejak tadi lagi. Dia benar-benar ingin tahu. Gelengan Pak Cik Dam Shik menjawab pertanyaannya.

         “ Dia tak bisu. Cuma…” Pak Cik Dam Shik mengeluh.

         “ Dia ada kisah sedih. Mungkin tak dapat dilupakan oleh Eun Hee buat seumur hidup,” kata lelaki itu lagi. Minuman yang disediakan Eun Hee dihirup sedikit.

         Kisah sedih?

         “ Boleh pak cik beritahu saya?” kata Ji Hoon. Dia cuba mengawal nada suaranya. Dia tidak mahu kelihatan terdesak mahu mengetahui kisah Eun Hee.

         Pak Cik Dam Shik mengangguk. “ Eun Hee mengalami trauma.”

         Trauma?

         “ Lebih kurang lima tahun dulu, masa Eun Hee baru je berumur 17 tahun, rumahnya dimasuki perompak. Pak cik masih ingat, malam tu hujan lebat. Guruh berdentum. Memang malam tu kelam kabut. Tambahan lagi kat laut ombak bergelora. Feri-feri yang dalam perjalanan ke sini tidak dapat datang disebabkan ombak. Rumahnya turut dibakar,” Pak Cik Dam Shik berhenti seketika, menghela nafas.

         “ Masa tu cuma Eun Hee dan ibu bapanya je yang berada dalam rumah. Abangnya tiada, belajar di Jepun. Ibu dan bapanya dibunuh oleh perompak tersebut kerana melawan. Bukan dibunuh macam biasa, sebaliknya tubuh mereka dikelar dan kepala mereka hampir putus dari tubuh mereka. Isi perut bapanya pula dikeluarkan. Pak cik fikir, mungkin mereka bukan sekadar perompak, sebaliknya turut merupakan pembunuh kejam. Kalau tidak, kenapa ibu bapanya dibunuh sebegitu rupa? Pak cik ingat lagi, masa pak cik dan penduduk kampung sampai kat rumah dia, darah ada di mana-mana sahaja,” cerita Pak Cik Dam Shik.

         “ Macam mana penduduk kampung tahu tentang rompakan tu?”

         “ Ada orang datang beritahu pak cik, dia dengar jeritan dari rumah Eun Hee. Tapi, dia tak pasti apa yang berlaku. Perompak tu baru je nak bunuh Eun Hee masa kami sampai.”

         “ Perompak tu sempat lari?”

         Pak Cik Dam Shik mengangguk. “ Dia sempat lari. Lagipun, masa tu kami lebih pentingkan keluarga Eun Hee. Eun Hee dah pengsan masa kami jumpa dia. Nasib baik dia tak alami cedera parah. Kami bawa dia ke hospital. Bila dia sedar, dia asyik menjerit. Macam kena histeria. Lepas tu, dia langsung tak bercakap. Tak pernah. Doktor kata, mungkin trauma yang dialami Eun Hee terlalu teruk sehingga mendorong dia untuk tidak bercakap lagi. Keinginan dia untuk bercakap sudah tiada.”

         Ji Hoon terkedu. “ Sampai sekarang dia tak nak bercakap?”

         “ Ya. Kemudian, abang Eun Hee pulang. Abang dia berkeras nak dia jalani terapi kat hospital. Dalam perjalanan ke sana, kereta yang dipandu kemalangan. Bertembung dengan lori kontena masa kat selekoh. Eun Hee tercampak keluar manakala abangnya tersepit dalam kereta. Api dah mula marak sebelum... kereta tu meletup.” Wajah Pak Cik Dam Shik berubah menjadi keruh. Ji Hoon langsung tidak berkata apa-apa. Dia langsung tidak menyangka hidup Eun Hee begitu tragik kisahnya.

         “ Sejak hari tu, dia langsung tak bercakap, senyum pun jarang. Pak cik ambil dia tinggal dengan pak cik. Pak ciklah ahli keluarga dia yang masih hidup. Keluarga bapanya pulak dah tiada. Bapa Eun Hee anak tunggal dan kedua-dua orang tuanya dah meninggal. Semua harta benda milik keluarganya musnah dalam kebakaran itu. Apa yang tinggal untuk Eun Hee hanyalah kedai bunga ibunya yang diuruskan olehnya sekarang.”

         “ Maksud pak cik, Paradise Florist dekat dengan hospital tu?” tanya Ji Hoon. Dia teringatkan kedai bunga itu. Tempat pertemuan dia dengan Eun Hee di mana dia sudah nekad untuk mengenali gadis itu.

         “ Ya. Dia amat sayangkan kedai tu. Yelah, sejak dia kecil lagi dia sering menolong ibunya di sana. Mungkin banyak kenangan manis untuk Eun Hee di sana.”

         “ Err... Eun Hee masih ada peluang untuk bercakap macam biasa?”

         Pak Cik Dam Shik mengangguk. “ Doktor kata, itu semua terserah pada Eun Hee sendiri. Hampir lima tahun dia tidak bercakap. Dia juga tak nak jalani terapi. Tapi, sekarang dah baik sedikit. Dia dah banyak senyum.”

         Ji Hoon senyap. Kalau boleh, dia mahu mendengar suara Eun Hee kembali. Cinta pandang pertamanya masih ada untuk Eun Hee walaupun dia mengetahui Eun Hee bukannya seperti gadis normal lain. Bukan! Bukan masih ada. Tetapi, ia akan kekal untuk selamanya. Dia pasti tentang itu.    

         “ Eun Hee…” Pak Cik Dam Shik kembali menyambung, “… dah saksikan sendiri bagaimana ibu bapanya dibunuh dengan kejam dan bagaimana abangnya mati dalam letupan tu. Dia dah banyak menderita.”

         Ji Hoon tunduk merenung lantai. Dia akan lakukan sesuatu. Dia mahu Eun Hee bersuara semula. Dia mengalih pandang pada bilik Ryu Min yang tertutup rapi. Eun Hee berada dalam bilik itu, sedang menjaga Ryu Min. Tajam dia memandang bilik itu. Seakan-akan tembus ke dalam. Ji Hoon mengeluh dalam diam.

         Ada ruang tak dalam hati kau untuk aku pulihkan masa silam itu? Ji Hoon tertanya-tanya sendirian. Dia tidak dapat menafikannya lagi. Dia benar-benar cintakan Eun Hee.


3 salam untukku:

~Siti Fatimah~ said...

benar-benar menyayatkan hati kisah Eun Hee tu..huhu..

kissdababysky said...

Salah eja...
Tempat pertempuan

Erm...Pak Cik Dam Syik tue ker yg kena ugut pd episod yg lepas? Maknernyer Pak Cik Dam Syik yg miskin tue diugut oleh along & along tue nk culik Eun Hee?

kissdababysky said...

Msih lg trtnya-tanya...

Yg last part episod 3 tue cuma kenangan silam Eun Hee atau Pak Cik Damsyik?

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs