My Status Now

offline
pliz komen ;D





Thursday, February 11, 2010

Endless Love 14


PINTU pejabat dibuka lantas dia menjengukkan kepala ke dalam. Lelaki yang dianggap sebagai pengurus projek ini sedang berbicara dengan beberapa orang pekerja. Serius bunyinya. Hyun Min menapak masuk ke dalam bilik itu. Kehadiran dia disedari mereka.

         “ Encik Han, ada apa-apa yang diperlukan?”

         Pekerja-pekerja tadi berlalu meninggalkan mereka berdua di dalam. Hyun Min meneliti wajah lelaki yang berdiri di hadapannya.

         “ Encik…” Sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya lelaki itu memintas.

         “ Panggil je Pak Cik Nam Gil.”


         Pak Cik Nam Gil mempelawa Hyun Min duduk. Hyun Min hanya menurut sahaja. Dia melabuhkan duduk di atas sofa disertai Pak Cik Nam Gil.

         “ Majlis perasmian diadakan pada esok hari, kan?” soal Hyun Min. Pak Cik Nam Gil mengangguk.

         “ Kami sedang menunggu kedatangan beberapa orang penting. Majlis itu akan berlangsung seperti yang dijadualkan. Oh ya! Alang-alang dah datang ke sini, apa kata kalau Encik Han berjalan-jalan di pantai? Semuanya dah sedia dan kalau ada sesiapa yang nak berjalan-jalan dulu dipersilakanlah,” cadang Pak Cik Nam Gil.

         Hyun Min ketawa. “ Sejak semalam lagi saya meneroka pulau ni,” dia berseloroh. Pak Cik Nam Gil turut ketawa.

         “ Saya dengar, anak Presiden Park tidak dapat datang. Boleh saya tahu kenapa?” tanya Hyun Min walaupun dia sudah tahu sebabnya. Sejak dahulu lagi Chae Rin telah menceritakan segala-galanya.

         Pak Cik Nam Gil tersentak. Dia mula gelisah. “ Tuan Park... dia pergi bercuti buat masa sekarang. Mungkin mengelilingi dunia.”

         Hyun Min mengukir senyum. Dia bangun daripada sofa empuk itu. “ Baiklah, pak cik. Saya keluar dulu.”

                 Pak Cik Nam Gil mengangguk. Dia mengiringi lelaki itu ke muda pintu. Setelah Hyun Min keluar, Pak Cik Nam Gil pula yang menjejakkan kaki ke luar bilik. Pak Cik Nam Gil keluar dari bilik itu dengan seribu persoalan bersarang di dada. Kelmarin, sewaktu melihat anak lelaki Pengerusi Han yang ditugaskan datang ke sini untuk mewakili bapanya sedang berbual mesra dengan Chae Rin di lobi resort, dia hairan serta-merta. Setahu Pak Cik Nam Gil, Presiden Park langsung tiada menyebut tentang kedatangan Chae Rin sempena perasmian resort itu. Kalau bukan dijemput oleh Presiden Park, macam mana gadis itu boleh berada di sini. Dan, apa hubungan Chae Rin dengan Hyun Min? Mungkin Hyun Minlah lelaki yang disebut oleh Ji Hoon dahulu sewaktu dia baru putus cinta dengan Chae Rin.

         Pintu pejabat diketuk dahulu sebelum dibuka. Kelihatan Presiden Park sedang membincangkan sesuatu dengan Da Wei. Beberapa buah fail tergeletak di atas meja. Ketukan di pintu mengalih perhatian mereka berdua.

         “ Pak cik! Ada apa-apa masalah ke?” Presiden Park melontar pertanyaan. Pak Cik Nam Gil menggelengkan kepala selepas memberi tunduk hormat. Dia berjalan mendekati kedua-dua orang atasannya itu.

         “ Saya nak minta kebenaran puan untuk keluar sebentar,” tutur lelaki itu perlahan. Penuh budi bahasa dia berbicara.

         Presiden Park mengangguk. “ Saya fikirkan ada hal penting tadi. Baiklah.”

         Pak Cik Nam Gil tunduk hormat sekali lagi. Dia baru sahaja berpusing ke belakang sebelum namanya diseru Da Wei. Terpaksalah dia berpatah balik. Wajah Da Wei direnung.

         “ Pak cik nak ke mana?”

         Pertanyaan Da Wei menyesakkan nafasnya secara tiba-tiba. Takkanlah dia nak beritahu kepada mereka berdua bahawa dia ingin menemui Ji Hoon. Mati dia kalau Presiden Park mula menyoal. Ji Hoon itu pun belum tentu boleh hidup lagi atau tak lepas ni. Alahai.

         “ Yalah. Pak cik nak ke mana sebenarnya?” Kali ini Presiden Park pula yang menyoal. Semakin menambahkan gugup Pak Cik Nam Gil. Dia langsung tidak tahu apa yang patut dikatakan saat ini. Lama dia mendiamkan diri sehinggalah Presiden Park kembali bersuara.

         “ Tak apalah kalau pak cik tak nak beritahu. Mungkin ianya peribadi. Pak cik boleh pergi sekarang,” kata Presiden Park sambil tersenyum. Kata-kata wanita itu melegakan Pak Cik Nam Gil.

         “ Te… terima kasih, puan. Pak cik pergi dulu.”

         Tergesa-gesa Pak Cik Nam Gil keluar dari pejabat itu. Da Wei dan Presiden Park hanya memerhatikan sahaja langkah lelaki itu. Dalam hati sudah terselit pertanyaan tetapi mereka hanya mendiamkan diri sebagai tanda menghormati lelaki itu.

         “ Da Wei?” panggil Presiden Park. Dia kembali memandang wajah anak saudaranya itu.

         “ Ada apa, mak cik?”

         “ Mari kita sambung perbincangan kita,” kata Presiden Park sambil berjalan ke arah mejanya. Da Wei hanya menurut sahaja.


EUN HEE menjenguk ke dalam bilik. Tiada. Ke mana pula suaminya pergi? Boleh dikatakan satu rumah ini dijelajahi dia sejak tadi lagi kerana mencari Ji Hoon, namun bayang lelaki itu juga dia tidak nampak. Biasanya, kalau Ji Hoon mahu ke mana-mana, dia pasti akan memberitahu Eun Hee terlebih dahulu.

         Dia melangkah masuk ke dalam bilik. Liar matanya mencari di sekitar bilik sebelum pandangannya tertancap pada sesuatu yang diletakkan di tengah-tengah katil. Ada sebuah anak patung beruang yang memegang sebuah bantal kecil berbentuk hati. I Love You tertulis pada bantal berbentuk hati itu. Apa yang lebih menarik hatinya merupakan sebuah buku yang terselit di antara bantal berbentuk hati itu. Tangannya mencapai beruang itu. Setelah ditilik, buku yang terselit itu merupakan sebuah diari! Diari berkulit hitam dengan taburan warna perak itu dibuka.


         “ Suka tak dengan hadiah tu?” Sapaan seseorang mengejutkan Eun Hee. Pantas dia menoleh ke belakang. Ji Hoon sedang berdiri di belakangnya. Santai bersandar pada belakang pintu.

         Eun Hee kembali melihat pada diari itu. Ji Hoon sudah berjalan mendekati dia.

         “ Diari ni…”, tangan sudah mencapai diari hitam itu sebelum dibuka, “… abang nak Eun Hee guna. Tulis setiap perasaan Eun Hee dalamnya.”

         Wajah suaminya ditilik. Buat apa dia menulis diari? Eun Hee sendiri tidak pernah mempunyai diari sepanjang umur remajanya.

         “ Abang nak Eun Hee tulis apa yang Eun Hee rasa dalam diari ni. Setiap perasaan Eun Hee. Tidak kira sedih atau gembira. Dan, kita akan sama-sama baca diari ni pada waktunya, ya?” Ji Hoon menjelaskan tujuannya. Eun Hee masih termangu.

         “ Kita akan baca sama-sama,” ulang Ji Hoon lagi perlahan. Sebelah tangan Eun Hee dicapai dan diletakkan pada diari berkenaan. Lembut tangan itu dielus perlahan. Mata Ji Hoon kekal pada wajah isterinya.

         Eun Hee yang pada mulanya hanya kaku, akhirnya mengangguk perlahan-lahan. Dia terharu. Lelaki yang berada di hadapannya ini benar-benar membuatkan dia kembali mengerti apa itu bahagia. Setiap kata-kata Ji Hoon, setiap perlakuan Ji Hoon, akan memberi makna kepadanya. Tanpa dapat ditahan, air matanya menitik jua.

         “ Kenapa nangis ni? Eun Hee tak suka ke? Kalau Eun Hee tak suka, Eun Hee tak payah buat,” lembut dia menyoal. Jemarinya sudah hinggap pada tubir mata isterinya. Mengesat mutiara jernih yang menitik itu. Dia gusar apabila melihat gadis itu menangis walaupun dia tahu, gadis itu bukannya menangis kerana tindakannya. Sebaliknya kerana perkara lain yang Ji Hoon tidak ketahui.  

         Eun Hee menggeleng. Dia tersenyum kembali. Ji Hoon sudah menarik nafas lega. Diusap lembut ubun-ubun kepala isterinya. Dikucup perlahan sebelum dia kembali bersuara.

         “ Abang nak tahu setiap perasaan yang Eun Hee rasakan untuk dulu, sekarang dan masa hadapan. Dan, abang nak Eun Hee tahu yang abang tak salahkan Eun Hee jika Eun Hee tidak mahu bersuara,” perlahan dia menutur kata. Bimbang hati si isteri akan terluka.

         Dia sudah berjanji pada dirinya sendiri saat Eun Hee bersetuju menerima lamarannya. Setiap kelebihan dan kekurangan gadis itu akan diterima tanpa alasan. Apa yang dia perlukan bukannya kesempurnaan melainkan kesetiaan. Cukuplah hatinya luka dengan perbuatan Chae Rin dahulu.

         “ Jangan nangis lagi. Mari kita turun. Abang rasa ada orang datanglah,” kata Ji Hoon lagi. Kedengaran loceng pintu ditekan berkali-kali. Pastinya ada tetamu yang hadir. Eun Hee mengangguk. Diari itu diletakkan kembali di atas katil sebelum mereka sama-sama keluar dari kamar itu.


WAJAH Pak Cik Nam Gil singgah di hadapan mata sebaik sahaja pintu dibuka. Ji Hoon segera mengukir senyum. Lelaki itu dipelawa masuk ke dalam rumah. Ji Hoon membawa Pak Cik Nam Gil ke beranda rumah, tempat kegemaran dia sementara Eun Hee menuju ke dapur.

         “ Macam mana pak cik boleh terlepas ke rumah saya?” tanya Ji Hoon berseloroh. Pak Cik Nam Gil ketawa kecil. Mereka berdua duduk di kerusi yang berhadapan dengan kolam renang.

         “ Adalah cara pak cik. Setakat ni, ada apa-apa yang berlaku ke?” Pak Cik Nam Gil melontar soalan. Ji Hoon menggeleng.

         “ Tak ada apa-apa. Mak saya apa khabar?” soal Ji Hoon pula. Walaupun dia bersembunyi daripada ibunya, namun keadaan wanita yang telah melahirkan dia itu sentiasa dipantau. Risau jika ada perkara buruk yang menimpa ibunya.


         Kali ini giliran Pak Cik Nam Gil pula yang menggeleng. “ Presiden Park sihat.Cuma, sekarang ni tengah sibuk dengan urusan resort tu.”

         Ji Hoon mengangguk. Ini kali pertama kumpulan syarikat milik keluarganya bekerjasama dengan Han Group, semestinya dua-dua pihak mahu semuanya berjalan dengan lancar. Eun Hee berjalan ke beranda sambil menatang sedulang minuman bersama dua potong kek. Pak Cik Nam Gil menyapa gadis itu.

         “ Macam mana? Boleh ke puan tahan dengan perangai tuan ni?” tanya Pak Cik Nam Gil sambil ketawa. Eun Hee menguntum senyum. Ji Hoon turut ketawa. Eun Hee ditarik duduk di sebelahnya.

         “ Hari-hari kena kacau. Nasib baik Eun Hee ni jenis sabar,” kata Ji Hoon. Wajah Eun Hee yang mula merah ditatap. Pak Cik Nam Gil menggelengkan kepalanya dengan tawa yang masih bersisa.

         “ Nasib puanlah. Tuan ni memang kuat menyakat orang. Terutamanya dengan orang yang dia rapat,” cerita Pak Cik Nam Gil.

         “ Ada perkara yang pak cik nak beritahu tuan,” kata Pak Cik Nam Gil secara mendadak. Ji Hoon berhenti ketawa.

         “ Perkara apa?”

         Pak Cik Nam Gil diam seketika. Dia menghela nafas berulang kali sebelum menyambung kata, “ Dia ada sekali untuk majlis perasmian resort tu.”

         Dahi Ji Hoon berkerut. Lama dia memerah otak sebelum memahami maksud Pak Cik Nam Gil. Pastinya Chae Rin yang dimaksudkan oleh Pak Cik Nam Gil. Jika bukan dia, siapa lagi?

         “ Macam mana dia boleh ada sekali?” Kehairanan menerjah minda. Tidak mungkin ibunya yang mempelawa gadis itu setelah rancangan perkahwinan mereka musnah. Lagi, Chae Rin tiada kaitan langsung dengan projek itu. Macam mana dia boleh berada di sini?

         “ Pak cik rasa dia datang dengan anak lelaki Pengerusi Han, Han Hyun Min. Mungkin mereka kenalan lama,” andai Pak Cik Nam Gil.

         Sewaktu mereka berdua berada bersama-sama, seolah-olah pernah menjalinkan hubungan istimewa. Chae Rin juga kelihatan tidak kekok dengan Hyun Min.

         Ji Hoon berdehem. “ Tak kisahlah. Jemput makan, pak cik. Eun Hee sendiri yang buat kek ni.”

         Pak Cik Nam Gil mengangguk. Mungkin Ji Hoon tidak mahu membincangkan hal ini. Jika difikirkan kembali, memang betul tindakan yang Ji Hoon ambil, mendiamkan diri sahaja dengan perkara yang berkaitan Chae Rin. Lelaki itu sudah berkahwin dan bahagia dengan kehidupannya sekarang. Maka, apa lagi sebab untuk Ji Hoon mengetahui hidup Chae Rin? Lainlah jikalau dia masih belum melupakan Chae Rin.

         Suapan demi suapan masuk ke dalam mulut Pak Cik Nam Gil. Dia beralih pandang pada wajah Eun Hee yang kekal duduk di sisi Ji Hoon. Pak Cik Nam Gil tersenyum.

         “ Sedap kek ni. Pandai puan buat,” puji Pak Cik Nam Gil. Eun Hee tersenyum sambil mengangguk sedikit. Ji Hoon yang turut menikmati kek itu juga tersenyum.


         “ Tengoklah isteri siapa yang buat,” katanya sambil memandang Eun Hee. Sesaat kemudian, ketawanya dan Pak Cik Nam Gil bersatu. Riang sahaja bunyinya.

         Hampir satu jam Pak Cik Nam Gil berada di rumah Ji Hoon. Saling bertukar cerita manakala Eun Hee hanya bertindak sebagai pendengar. Setelah menyedari waktu yang kian pergi, Pak Cik Nam Gil meminta diri. Bimbang jika Presiden Park menyoal bertalu-talu kerana ketiadaan dia yang lama. Boleh terlepas apa yang dirahsiakan selama ini.

         “ Pak cik minta diri dulu. Kalau ada apa-apa, pak cik akan telefon tuan,” ujar lelaki itu sebelum masuk ke dalam kereta.

         “ Hati-hati semasa memandu,” kata Ji Hoon menitip pesan. Pak Cik Nam Gil mengangguk. Keretanya bergerak menuju ke resort itu kembali. Ji Hoon dan Eun Hee menunggu di pintu pagar sehinggalah kereta tersebut hilang daripada pandangan.

         “ Pergilah bersiap,” ujar Ji Hoon sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam rumah. Eun Hee memalingkan wajah ke arah suaminya. Nak pergi mana pula?

         Senyuman terukir di wajah Ji Hoon. “ Kita ke pasar raya. Abang nak beli barang sikit.”

         “ Dah! Cepatlah!” Belakang Eun Hee ditolak ke arah tangga. Terpaksalah gadis itu naik ke bilik mereka. Kunci kereta dicapai daripada laci dapur. Ji Hoon sudah berlari ke arah garaj. Enjin kereta dipanaskan.

         “ Abang nak beli baju dan keperluan dapur. Dah nak habis barang dapur kita tu,” kata Ji Hoon sambil memandu ke sebuah kompleks beli belah. Eun Hee tersenyum geli hati. Prihatin juga suaminya dengan keadaan dapur.

         Irama sentimental menemani mereka sepanjang perjalanan. Dalam minda Eun Hee, dia sedang memikirkan sesuatu. Suaminya kelihatan seperti datang daripada keluarga yang benar-benar berada. Jika tidak, bagaimana lelaki itu dapat melunaskan hutang Pak Cik Dam Shik? Terasa kerdil juga apabila berdampingan dengan lelaki itu. Apa yang menghairankan dia, kenapa lelaki itu boleh sampai ke pulau ini? Malah, sepanjang tempoh perkahwinan mereka, Ji Hoon langsung tidak keluar untuk bekerja. Pasti ada sesuatu yang membawa lelaki itu ke sini.

         “ Dah sampai!” Ji Hoon bertindak sebagai juru acara. Mata Eun Hee fokus ke hadapan. Sebuah kompleks beli belah tersergam indah di hadapan mata. Mereka berjalan masuk melalui pintu utama. Seperti kebiasaan, tangan Ji Hoon tidak lepas daripada memegang tangan isterinya. Macam dah kena glu.

         Butik Everlast dimasuki pasangan itu. Lama juga Eun Hee menunggu suaminya memilih pakaian. Daripada kemeja T sehinggalah sweater, semuanya diteliti dengan sempurna. Daripada segi jahitannya, warnanya dan juga saiznya. Kalah perempuan!

         Dari satu kedai ke satu kedai dimasuki mereka. Semakin bertambah beg kertas di tangan Ji Hoon. Kali ini dia membawa Eun Hee ke sebuah butik pakaian wanita. Dia ingin membeli pakaian baharu buat gadis itu.

         “ Eun Hee nak beli apa? Pergilah pilih,” kata Ji Hoon. Kasihan melihat si isteri yang kelihatan keletihan. Memang tabiat Ji Hoon sebegitu. Jika ingin membeli sesuatu, harus menjalani pemeriksaan rapi daripada dia dahulu. Jika tidak berpuas hati, premis lain pula yang akan menjadi sasarannya. Eun Hee menggeleng.

         Eun Hee bukannya seorang gadis yang gemar membeli belah. Jika begitu penting, barulah dia akan membeli pakaian baharu. Berlainan sekali dengan suaminya. Walaupun Ji Hoon jarang membeli belah, sekali dia melakukan aktiviti itu memang lama masa diperuntukkan.

         “ Atau… Eun Hee nak baju ni?” Ji Hoon menyakat. Sehelai gaun tidur berwarna merah yang sedikit seksi diambil dan disua kepada Eun Hee. Pantas Eun Hee menggeleng. Muka dah merah mengalahkan strawberi. Malu!

         Ji Hoon ketawa geli hati. Gaun tidur itu diletak kembali pada tempatnya.

         “ Eun Hee tak nak beli apa-apa ke? Dari tadi lagi Eun Hee ikut abang je. Pergilah pilih mana-mana yang Eun Hee berkenan,” kata Ji Hoon lagi. Sekali lagi Eun Hee menggeleng. Ji Hoon mengeluh.

         “ Tak apalah kalau macam tu. Nak makan ais krim tak? Lepas makan, kita pergi beli barang dapur. Lepas tu baru kita singgah restoran, okey?” cadang Ji Hoon. Kali ini Eun Hee mengangguk. Bimbang juga jikalau Ji Hoon tersinggung kerana menolak permintaannya.

         Akhirnya mereka keluar tanpa membeli apa-apa. Ji Hoon dan Eun Hee singgah di sebuah kiosk makanan ringan. Ji Hoon membeli minuman sedangkan Eun Hee pula mahukan ais krim. Mereka berdua duduk berhampiran penghadang. Sambil menikmati makanan ringan itu, mata Ji Hoon liar memerhati suasana sekeliling. Tiba-tiba sahaja dia mencuit lengan Eun Hee. Eun Hee berpaling ke arah suaminya.

         “ Nampak tak tiga batu hiasan kat tengah-tengah ruang legar tu?” Jari Ji Hoon menuding ke arah ruang legar kompleks beli belah itu. Statik tiga batu kapur yang dijadikan hiasan di situ. Eun Hee mengangguk sambil mengagak apa yang ingin Ji Hoon katakan.


         “ Abang teringat suatu kisah. Eun Hee pernah dengar tak legenda The Three Sisters di Australia?” tanya Ji Hoon secara tiba-tiba. Eun Hee menggeleng. Nama The Three Sisters pun tak pernah hinggap dalam mindanya.

         “ Kononnya, dahulu ada tiga adik beradik perempuan yang cintakan tiga lelaki daripada puak lain. Mereka merancang untuk berkahwin tetapi perkahwinan mereka dihalang kerana perkahwinan antara puak yang berlainan dianggap menentang hukum puak masing-masing. Nak dijadikan cerita, peperangan meletus dan ada seorang lelaki tua telah menukar ketiga-tiga beradik itu menjadi batu,” cerita Ji Hoon tanpa berhenti. Dilihat wajah Eun Hee yang kelihatan teruja. Dia kembali menyambung bicaranya.

         “ Malangnya, lelaki tua itu mati sebelum sempat menukar ketiga-tiga beradik itu menjadi manusia kembali. Jadi, mereka bertiga kekal sebagai batu sehingga hari ini. Tak silap abang, kakak dipanggil Meehni, yang kedua Wimlah manakala yang terakhir Gunnedoo.”

         Eun Hee senyum sahaja. Macam tidak boleh percaya sahaja dengan kata-kata suaminya. Masakan tidak, nama untuk batu-batu itu boleh dihafal satu-satu! Tawa perlahan Ji Hoon mematikan senyuman Eun Hee.

         “ Itu cuma legenda je. Batu-batu tu berada di Blue Mountains. Abang dah ke sana lebih dua kali. Tempat tu cantik sangat. Kalau ada peluang, abang nak bawa Eun Hee ke sana. Nak tak?” pelawa Ji Hoon.

         Sudah lama dia jatuh hati dengan pemandangan di Blue Mountains itu. Setiap kali dia ke Australia kerana urusan perniagaan, tidak sah kunjungannya tanpa melawati tempat itu. Pemandangan yang cantik dengan udara yang nyaman telah memikat hati Ji Hoon.

         Eun Hee senyum meleret. Ji Hoon ketawa sekali lagi. Dia bangun daripada bangku itu.

         “ Mari ke bahagian kelengkapan dapur pulak. Lepas siap semua urusan beli belah, kita ke restoran pula. Eun Hee tentu lapar. Jom,” ujar Ji Hoon seraya menarik Eun Hee bangun. Tangan kanan memegang tangan isterinya manakala tangan kiri pula membimbit beg kertas yang dah lebih daripada sepuluh itu. Seperti di pantai tadi, gelagat mereka disaksikan seseorang. Namun mata yang menyaksikan gelagat mereka itu berlainan dengan yang tadi. Dia yang menyaksikan perilaku mesra dua pasangan itu mengetap bibir geram.     

6 salam untukku:

fallenmoon ( Liya Zafrina ) said...

Sapelah agaknya yang mengintai tu?
:)
Best!

Nina Aziz said...

hmm..cm sgt sweet jer cter tu...
spe la ek yg mengintai tu,,,

epy elina said...

hooho...
btul2...
sweet la part ni....
bila la eun hee blh brckp ni?
mst dia trlalu trauma smpai x blh brckp....

Unknown said...

moon, nina n' epy

tq 4 ur komen
pasal yg epy tnya tu, hana cume leh cakap trauma eun hee mmg teruk ;D

Unknown said...

best jugak cte awk ni... mne dpt idea?? hebat la.... mmg sy tabik la awk!!!!

akira_bita said...

wah.... bahagianya eun hee... hahahah!! bestnya!!

klo hana ckp trauma eun hee tu teruk mesti seseorg dri masa silam dia dlu kan?? huhuhu just guessing... ataupun chea rin?? hahahah

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs