My Status Now

offline
pliz komen ;D





Friday, January 22, 2010

Endless Love 11


memakirkan kereta di garaj kereta rumah Hyun Min. Hyun Min sedang menunggunya di hadapan rumah. Tempoh hari, lelaki itu telah menelefonnya dan mengatakan mahu berjumpa dengannya. Kerana kesibukannya, baru dia boleh menemui lelaki itu pada hari ini. Chae Rin keluar daripada kereta.
CHAE RIN

         “ Kenapa kau beria-ria benar nak jumpa aku ni? Sekarang baru pukul 10 pagi,” kata Chae Rin terus sebelum sempat lelaki itu menyapa. Hyun Min ketawa.

         “ Kalau kau nak sembur aku dengan pertanyaan pun, masuklah dalam dulu. Takkan kau nak berbual kat luar ni pulak. Dah, jom masuk,” pelawa Hyun Min. Chae Rin mengangguk. Mengekori langkah lelaki itu. 

         Suasana rumah itu sepi tanpa suara. Banglo mewah dua tingkat itu hanya dihuni Hyun Min seorang. Lelaki itu mengambil keputusan untuk tinggal berseorangan sebaik sahaja pulang ke Korea. Hanya ada seorang wanita yang akan datang ke rumah Hyun Min pada awal pagi untuk mengemas.

         “ Kau dah sarapan? Kalau belum, marilah sarapan sekali dengan aku,” tanya Hyun Min sekadar berbasa-basi. Chae Rin mengeleng.

         “ Aku dah sarapan kat rumah tadi.”

         Beg diletakkan di atas meja. Matanya tertumpu pada Hyun Min.

         “ Kau nak cakap apa dengan aku?”

         Ketawa Hyun Min kedengaran lagi. Dia membuka peti sejuk dan mengeluarkan sekarton susu segar. Susu dituang ke dalam gelas dan dia mula menyapu mentega pada roti bakar yang sudah terhidang.

         “ Duduklah dulu. Aku belum sarapan lagi ni,” kata lelaki itu. Sengaja mahu melengahkan masa. Chae Rin mula tidak sabar. Kesabaran dia sudah menipis. Tangannya mengetuk meja kuat.

         “ Boleh tak kau cakap je apa yang kau nak beritahu aku?” Suara gadis itu mula meninggi. Chae Rin bukannya seorang gadis yang mempunyai kesabaran. Dibesarkan oleh keluarganya yang cukup memanjakan dia menyebabkan gadis itu tidak mempunyai pekerti mulia seorang gadis tipikal.

         “ Yang kau nak melulu ni kenapa? Rilekslah dulu.” Hyun Min masih tenang. Digigit roti bakar itu dan dikunyah perlahan. Wajah Chae Rin yang mula membara langsung tidak menakutkan dia.

         “ Hyun Min! Tolonglah! Cepat beritahu aku apa yang kau nak cakap! Aku tak ada masa nak main-main!” Kesabaran Chae Rin sudah habis. Roti bakar yang berada dalam tangan Hyun Min diambil dan dibuang ke lantai. Hyun Min terkesima dengan tindak tanduk gadis itu. Matanya terbeliak.

           “ Baik! Kau nak tau sangat, kan?” Hyun Min bingkas bangun daripada duduknya. Wajahnya mula tegang. Langsung dia tidak menyangka bahawa gadis itu akan bertindak senekad itu.

         Chae Rin duduk memeluk tubuh. Dia puas. Kemenangan sudah berada dalam pihaknya walaupun terpaksa melihat Hyun Min menahan marah padanya. Dia berdiri menghadap tingkap.

         “ Apa yang kau nak beritahu aku?” tanya Chae Rin lagi.

         Hyun Min kembali duduk. Dia menghirup kopi sejenak sebelum kembali bersuara. Matanya fokus pada air kopi yang hitam itu. Sehitam mata Chae Rin apabila sepasang mata milik gadis itu menatap wajahnya. Lama dahulu semasa mereka masih lagi berkasih.

         “ Syarikat aku jalankan usahasama dengan pihak Royal Imperial Group,” kata Hyun Min perlahan. Chae Rin terkejut. Matanya kembali pada Hyun Min.

         “ Maksud kau, organisasi milik keluarga Ji Hoon? Betul ke?” Apa yang dikatakan oleh Hyun Min langsung tidak boleh dipercayai. Bagaimana pula syarikat mereka berdua menjalinkan usahasama sedangkan bidang yang diceburi berlainan?

         Hyun Min mengangguk sekilas. “ Syarikat kami akan mempunyai sebuah resort dan kami tiada kepakaran dalam bidang ini. Ayah aku nak kami berkerjasama dengan Royal Imperial Group. Resort itu akan dirasmikan tak lama lagi dan...”

         “ Pasal Ji Hoon ke?” Kata-kata yang diungkapkan Hyun Min mendatangkan sangsi. Adakah lelaki itu tahu tentang keberadaan Ji Hoon.

         “ Ya.”

         “ Apa yang kau tau pasal dia? Kau tau kat mana dia sekarang?” tanya Chae Rin tidak sabar. Jika Hyun Min tahu, hari ini juga dia akan ke sana.

         Gelengan Hyun Min mengecewakan dia. Chae Rin mengeluh berat. Hyun Min tenang meminum kopi sedangkan Chae Rin sudah mula gelisah.

         “ Habis tu, kau nak cakap pasal apa pulak?” Chae Rin sudah kembali duduk bertentangan dengan Hyun Min. Dia sudah berminat dengan apa yang akan dikatakan.

         Sudah lama dia menjejaki Ji Hoon, namun masih belum menampakkan hasil. Lelaki itu begitu licik dalam menyembunyikan dirinya. Seolah-olah dia tidak lagi wujud di dunia ini. Walaupun begitu, Chae Rin tetap tidak berputus asa. Dia akan menjejaki Ji Hoon sampai dapat dan tidak akan melepaskan lelaki itu lagi.

         “ Sepatutnya resort tu bawah kelolaan Ji Hoon. Tapi, nampaknya tidak. Sampai sekarang dia masih belum ditemui,” sambung Hyun Min. 

         Walaupun dia tidak menunjukkan reaksi sebenarnya di hadapan Chae Rin, namun hatinya sedang berperang saat ini. Sama ada mahu mengenggam gadis itu kembali atau membiarkan sahaja Chae Rin bahagia dengan Ji Hoon. Dia sendiri tidak tahu.

         Chae Rin memikirkan sesuatu. Tetapi, dia sendiri tidak pasti dengan apa yang difikirkan olehnya sekarang. Bagaimana mahu mengejar lelaki itu sekiranya Ji Hoon terus menyepi. Tambahan pula perkahwinan mereka sudah dibatalkan. Hyun Min kembali menjadi santapan matanya.

         “ Di mana resort tu?”

         “ Pulau Jeju.”


TERLOPONG mulut Ji Hoon sebaik sahaja dia selesai mendengar apa yang dikatakan oleh Pak Cik Nam Gil. Dia menggelengkan kepala tanda tidak percaya.

         “ Mak adakan usahasama dengan Han Group? Dan, resort tu kat sini?” tanya Ji Hoon tidak percaya.  

         Pak Cik Nam Gil terpaksa mengiakan walaupun dia sendiri serba salah. Lelaki itu sudah menceritakan tentang usaha sama antara Royal Imperial Group dengan Han’s Group. Dia sendiri menjangka bahawa Ji Hoon akan terkejut apatah lagi resort itu akan mula beroperasi bulan depan.

         “ Apa tuan nak buat sekarang? Tuan nak pindah ke tempat lain ke? Maksud pak cik, mungkin jauh dari Seoul,” kata Pak Cik Nam Gil.

         Saat ini, majlis sambutan perkahwinan dia dan Eun Hee diadakan di perkarangan kolam renang banglo putih itu. Hanya jiran terdekat sahaja yang diajak memeriahkan majlis. Pihak D’Amour Cafe yang bertanggungjawab dalam menyediakan katering.

         Ketika Ji Hoon sedang melayani tetamu yang datang sebentar tadi, Pak Cik Nam Gil menggamitnya ke ruang yang agak lengang. Katanya, ada sesuatu yang penting harus disampaikan segera. Dan, dia langsung tidak menyangka apa yang akan dituturkan Pak Cik Nam Gil akan mengejutkan dia.  

         Ji Hoon diam sejenak. Dia menoleh ke belakang, melihat kepada Eun Hee yang sedang melayani tetamu berhampiran dengan kolam renang. Dia membalas senyuman gadis itu yang dilemparkan buatnya apabila Eun Hee perasan akan pandangannya. Ji Hoon kembali menghadap Pak Cik Nam Gil.

         “ Saya tak tahu. Apa yang saya fikirkan buat masa sekarang hanyalah Eun Hee.”

         “ Habis tu? Tuan nak buat apa sekarang?”

         “ Kalau memang masanya sudah tiba untuk keluar daripada persembunyian saya, saya akan terima. Dan, kalau mak marah kerana perkahwinan ini saya akan pertahankannya juga. Saya tak nak Eun Hee kecewa lagi,” kata Ji Hoon perlahan.

         “ Apa maksud tuan?” Kehairanan bercambah di sudut hati. Apa maksud anak muda di hadapannya ini?

         Keluhan berat dilepaskan. Matanya melihat pada air kolam renang yang jernih dan beralun lembut. Matanya dipejamkan seketika. “ Kan saya pernah kata nak beritahu pak cik sesuatu? Apa yang saya nak beritahu ni pasal Eun Hee.”

         “ Kenapa dengan dia?” Eun Hee di hujung kolam diperhatikan.

         “ Dia tak boleh bercakap,” kata Ji Hoon tanpa sekatan. Dia tidak mahu menipu lelaki yang setia kepadanya itu lagi. Lebih baik dia berterus-terang sahaja daripada terus mendiamkan diri.

         “ Apa?”

         Pak Cik Nam Gil terkejut. Persoalannya terjawab sudah. Patutlah gadis itu langsung tidak bersuara dalam kereta tadi. Dia langsung tidak menyangka bahawa gadis itu bisu. Semasa di gereja tadi, itu pertemuan pertama Pak Cik Nam Gil dan Eun Hee. Ji Hoon tidak pernah memberitahunya pasal itu.

         “ Maksud tuan, dia bisu?”

         Gelengan Ji Hoon menambah kehairanan Pak Cik Nam Gil. Bukan bisu? Apa lagi yang boleh dikatakan jika gadis itu tidak bisu? Hanya orang bisu sahaja yang tidak boleh bercakap.

         “ Kalau bukan bisu, apa?” tanya Pak Cik Nam Gil lagi. Permainan apa yang Ji Hoon sedang lakukan ini? Penuh dengan teka-teki.

         “ Dia trauma. Dia tidak mahu bercakap sejak hari yang telah meragut warna-warna ceria dalam hidupnya. Dan, saya akan buat dia bercakap kembali,” serius Ji Hoon menuturkan ayat. Mata Pak Cik Nam Gil terbeliak.

         “ Tuan jatuh cinta dengan perempuan yang... yang...” Pak Cik Nam Gil tidak tahu apa yang harus dikatakan. Dia kehilangan kata-kata. Bimbang apa yang keluar akan menyakitkan hati Ji Hoon.

         “ Maksud pak cik, bisu? Ada kekurangan? Cacat?” Sinis dia menuturkan.

         Pak cik Nam Gil menggeleng. Mula tidak selesa dengan intonasi percakapan Ji Hoon. Jarang anak muda itu bercakap dengan nada sedemikian.

         “ Bukan maksud pak cik nak perlekehkan dia. Pak cik minta maaf kalau kata-kata pak cik dah melukakan hati tuan,” kata Pak Cik Nam Gil.

         “ Saya tak salahkan pak cik.” Wain putih disisip perlahan sebelum matanya kembali bertemu wajah lelaki yang berhadapan dengannya itu.

         Pak Cik Nam Gil mengeluh berat. “ Pak cik ada satu perkara lagi nak beritahu tuan.”

         Ji Hoon tidak berkata apa-apa. Menanti tutur Pak Cik Nam Gil. Apa lagi?

         “ Cik Lee sering datang cari tuan. Pak cik rasa, dia akan lakukan apa sahaja sehingga dia menemui tuan.”

         Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Apa lagi yang gadis itu mahukan? Dia sudah bahagia sekarang dan dia tidak perlukan Chae Rin lagi dalam kamus hidupnya. Nama gadis itu sudah lama terpadam daripada menghiasi hatinya. Jika gadis itu mahu menghancurkan kebahagiaan dia dengan Eun Hee, dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan. Dia tidak akan membenarkan Chae Rin dengan sewenang-wenangnya menghancurkan hidupnya dengan Eun Hee.

         “ Tak payah pedulikan dia. Walau apa pun yang terjadi, saya tak akan kembali pada Chae Rin. Saya sudah ada Eun Hee dan saya tidak perlukan seorang yang tidak setia,” keras Ji Hoon bersuara menyebabkan Pak Cik Nam Gil terkejut. Pak Cik Nam Gil mengangguk akur.

         “ Baiklah.”

         Ji Hoon atur langkah ke ruang hadapan. Matanya tetap pada Eun Hee. Seolah-olah sudah melekat pada raut lembut itu. Kebanyakan tetamu sudah beransur-ansur beredar meninggalkan perkarangan rumahnya. Hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi. Permukaan jam dilihat. Sudah hampir menjengah pukul sembilan malam. Patutlah.

         “ Eun Hee,” sapanya sebaik sahaja tubuh gadis itu didekati. Eun Hee yang pada mulanya tersentak, mula menguntum senyum pada suami yang baru dinikahinya tadi.

         “ Dah nak lewat malam ni. Tak letih ke? Tetamu dah pulang,” kata Ji Hoon perlahan. Wajah si isteri ditatap penuh kasih. Eun Hee menggeleng.

         Bahu Ji Hoon ditepuk perlahan. Zachary muncul di sisinya. Lelaki itu menghulurkan sekotak hadiah yang sudah dibalut cantik. Ji Hoon tergamam. Namun dia tetap menyambut huluran itu.

         “ Aku nak kasi hadiah ni tadi, tapi kau sibuk. Aku harap korang suka. Aku balik dulu, pekerja aku akan bersihkan semua ni esok,” kata Zachary.

         Ji Hoon mengangguk. “ Terima kasih, Zack. Aku banyak terhutang budi dengan kau.”

         Zachary ketawa. Bahu Ji Hoon ditepuk sekali lagi.

         “ Rilekslah. Kau kan kawan aku. Nampaknya, esok kau tak datang ke kafe akulah,” kata lelaki itu. Dia mengenyit mata pada Ryu Min yang berada di sebelahnya. Ryu Min ketawa.

         “ Kenapa pulak kau cakap macam tu?” Ji Hoon kehairanan. Langsung tidak memahami maksud yang ingin disampaikan oleh Zachary. Ketawa Zachary terhambur keluar.

         “ Yelah. Mulai esok, Eun Hee pulak yang kena sediakan makan minum kau. Takkan kau nak sarapan kat kafe aku lagi kalau kau dah ada tukang masak istimewa.” Eun Hee yang turut tersenyum dipandang. Ji Hoon ketawa apabila menyedari kealpaannya.

         “ Ye tak ye. Kau jangan risau, aku tetap akan ke kafe kau kalau ada masa.” Ketawa Ji Hoon masih bersisa.

         “ Okeylah. Selamat pengantin baru dan moga kekal bahagia. Aku dah nak balik. Tumpangkan Ryu Min dan ayahnya sekali.” Zachary menoleh kepada Pak Cik Dam Shik yang berada di belakang. Lelaki itu mengangguk.

         “ Tak susahkan kau ke?” soal Ji Hoon.

         Zachary menggeleng. “ Tak ada susahnya. Rumah aku pun dalam kawasan ni jugak. Cuma kau je yang tak tau.”

         Sindiran Zachary dirasakan tepat pada wajahnya walaupun Ji Hoon tahu lelaki itu hanya bergurau. Ji Hoon mempelawa mereka bertiga untuk dihantar ke ruang hadapan. Eun Hee mengekor langkah Ji Hoon.

         “ Hati-hati semasa memandu tu.” Pesan dititipkan pada Zachary yang sudah berada di dalam kereta. Zachary hanya mengangguk. Cermin kereta diturunkan. Lelaki itu menjenguk ke luar.

         “ Kami pulang dulu. Ada apa-apa hal, telefon aku,” kata Zachary. Ji Hoon mengangguk. Mereka berdua melambai sehinggalah Ford Escape itu menghilang ditelan kegelapan malam. Tangannya yang terasa digenggam halus menghentikan tingkah Eun Hee. Dia menoleh ke arah Ji Hoon. Ji Hoon sedang tersenyum manis untuknya.

         “ Marilah masuk. Eun Hee tentu dah letih. Lepas mandi, terus tidur, ye? Esok, abang kena hantar Pak Cik Nam Gil dan Mak Cik Yu Soo ke lapangan terbang. Mereka kena balik terus ke Seoul esok,” jelas Ji Hoon. Eun Hee mengangguk.

         Benar apa yang dikatakan oleh suaminya itu. Dia sudah mula terkuap-kuap. Apa yang dia nampak sekarang hanyalah bantal dan tilam sahaja. Enaknya kalau sekarang juga dia boleh tidur.

         “ Jomlah, masuk. Abang tunjukkan mana bilik kita.”

         Mereka berdua beriringan masuk ke dalam rumah. Pak Cik Nam Gil dan Mak Cik Yu Soo sudah masuk ke dalam rumah. Perkarangan rumah bertambah lengang. Bulan kelihatan tenang di angkasa. Eun Hee hanya menurut langkah Ji Hoon sehinggalah mereka berdua berhenti di hadapan sebuah bilik.

         “ Inilah bilik kita.” Pintu bilik dibuka. Mata Eun Hee terbeliak. Cantiknya bilik ni, hatinya berkata. Jauh berbeza dengan biliknya di rumah Pak Cik Dam Shik. Konsep hitam putih jelas kelihatan melalui dekorasi bilik ini. Eun Hee mengelipkan mata berulang kali.


         “ Marilah masuk.” Tangannya ditarik Ji Hoon apabila melihat gadis itu kaku di tempatnya. Kaki Eun Hee jejak juga di dalam bilik itu. Dia memerhati sekeliling. Ji Hoon sudah berada di hadapan almari.

         “ Abang nak mandi dulu. Panas. Kalau Eun Hee nak terus tidur pun, tidurlah. Abang tahu Eun Hee penat.” Satu demi satu pakaiannya dibuang. Eun Hee pantas menoleh ke arah lain apabila melihat Ji Hoon yang berseluar sahaja. Dia segan melihat Ji Hoon yang berada keadaan sebegitu. Ji Hoon yang perasan akan keadaan Eun Hee hanya ketawa.

         “ Maaf. Abang lupa pulak,” kata Ji Hoon sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tangannya mencapai tuala sebelum memasuki bilik air. Dia tahu Eun Hee tentu tidak selesa. Apatah lagi ini semestinya kali pertama gadis itu berada sebilik dengan lelaki asing.

         “ Abang dah masuk bilik mandi! Eun Hee dah boleh tengok dalam bilik!” Walaupun sudah berada di dalam kamar mandi, Ji Hoon tetap mengusik Eun Hee. Eun Hee tersenyum sahaja mendengarkan usikan itu. Kedengaran air mencurah ke lantai menandakan suaminya sedang mandi sekarang. Eun Hee mengambil peluang ketiadaan Ji Hoon untuk melihat keadaan sekeliling.

         Almari dibuka. Kelihatan pakaiannya tergantung kemas di dalam. Eun Hee senyum sendirian. Pandai juga lelaki itu menguruskan diri tanpa bantuan sesiapa! Kabinet sederhana besar di sebelah almari dibuka. Berderet buku-buku berbahasa Inggeris di situ. Kebanyakannya karya Dan Brown dan koleksi novel Sherlock Holmes. Tentu Ji Hoon hantu buku! Kalau tidak, masakan kabinet itu dipenuhi dengan buku sahaja?

         Fikirannya melayang seketika. Agaknya, apakah yang akan terjadi jikalau hutang bapa saudaranya tidak dilunaskan? Dia tidak sanggup memikirkan apa yang akan menimpanya. Ketika di perkarangan kolam renang tadi, Pak Cik Dam Shik sudah menceritakan segala-galanya. Hakikat bahawa dia akan dijadikan pelacur jika hutang tersebut tidak dibayar benar-benar menakutkan dia.

         Eun Hee menarik nafas dalam-dalam. Pandangannya jatuh pada gambar Ji Hoon yang terletak di atas meja kecil di tepi katil. Kasihnya masih belum tumpah sepenuhnya buat lelaki itu. Tetapi, dia sudah berjanji pada dirinya. Cintanya hanya akan diserahkan pada lelaki itu kerana dia yakin bahawa lelaki itu akan membahagiakan dia. Tiada lelaki lain.

0 salam untukku:

Endless Love Theme Song With Subs

Endless Love

Endless Love
Park Ji Hoon + Song Eun Hee

Endless Love

Endless Love
Silent love opens my heart

Fave Blogs